Toyota Camry Baharu: Kesinambungan Ikon Berkualiti Toyota!

Toyota Camry 2013.12

Sejak dilancarkan di Malaysia pada tahun 1994, Toyota Camry telah menjadi antara kereta sedan bersaiz sederhana paling popular. Faktanya setakat 2011, sebanyak 95 ribu unit model itu telah terjual dan juga menjadi peneraju pasaran di dalam kelasnya untuk beberapa tahun. Antara faktor pencapaian itu ialah rekabentuk yang pintar, keselesaan dan prestasinya. Paling utama ialah keyakinan terhadap jenama Toyota itu sendiri di samping kualiti, tahan lasak dan boleh dipercayai. UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah melancarkan Camry serba baharu pada tahun 2012 dengan tiga varian iaitu Camry 2.5V, Camry 2.0G, Camry 2.0E dengan empat pilihan warna termasuk warna baharu iaitu Attitude Black. Kesemua varian itu dikuasakan oleh enjin tersohor Toyota dengan teknologi VVT-i dan transmisi automatik.

Toyota Camry 2013.15

Pasukan pereka Camry baharu telah menggunakan tema “Rational Tech Dinamism” dengan penampilan sporty. Memahami citarasa pembeli Camry dan juga input daripada pelanggan, perekanya telah memilih rekaan yang ringkas tetapi menonjol dengan fokus pada kualiti permukaan menggunakan kaedah kemasan baharu. Jika dipandang dari sudut depan, wajah Camry baharu kini nampak lebih gah di mana bonet telah ditinggikan manakala lampu utama dan gril direka supaya tampak lebar. Dipandang dari sisi pula, Camry nampak seimbang, moden dan elegan di samping saiznya yang besar. Sisi penumpang belakang telah ditinggikan dan menurun ke hadapan seperti huruf V (wedge) yang menghasilkan seolah-olah kereta sedang bergerak walaupun di dalam keadaan statik. Bahagian belakang pula menekankan bentuk yang lebar melalui beberapa peralatan seperti palang hiasan (garnish), bentuk lampu dan juga posisi lampu reflektor.

Kecekapan aerodinamik juga adalah ciri yang penting bagi menghasilkan kereta yang stabil, selesa dan penggunaan minyak yang rendah. Bucu badan Camry telah dibentuk supaya mesra rintangan angin manakala ruang terbuka di bawah kereta telah dikurangkan dan penutup ruang turut ditambah supaya aliran udara lebih lancar. Sebagai tambahan, terdapat sirip kecil pada penghujung kereta supaya gelora angin yang menyebabkan seretan dan ketidakstabilan dapat dikurangkan. Kajian ekstensif yang dilakukan di terowong angin Toyota mendapati bahawa aliran angin pada sisi kereta sangat kuat dan jika ianya dapat dikurangkan kestabilan kereta akan bertambah baik. Untuk mengatasi senario itu, sirip penstabil aerodinamik telah ditambah pada tapak cermin sisi dan hasilnya kereta menjadi lebih stabil.

Toyota Camry 2013.13

Untuk bahagian dalaman pula, perekanya telah mensasarkan untuk menimbulkan rasa suasana yang berkualiti, dengan tanggapan fizikal dan visual yang luas. Caranya ialah dengan menyemak semula pakej interior bagi mengeksploitasi saiz kabin yang diperbesarkan dan juga mereka semula beberapa komponen seperti pedal minyak dan kerusi depan yang telah dianjak ke hadapan manakala posisi kedudukan pinggul kerusi belakang telah ditarik ke belakang. Selain daripada itu, rasa yang lebih luas juga telah dicapai melalui pembaikan pada visual yang boleh dinikmati penumpang dengan mereka semula tiang A dan B kereta. Juga direka semula ialah bentuk belakang pada kerusi depan dan konsol tengah yang memberi lebih efek keluasan. Selain daripada itu, untuk memberi lebih keselesaan pada penumpang, rangka kerusi turut direka kembali. Ketinggian sandaran dan panjang kerusi telah ditambah menghasilkan lebih permukaan untuk sokongan badan.

Meter Optitron yang besar dengan tiga gugusan pula berfungsi pada semua keadaan pencahayaan manakala Multi Info Display (MID) pula menyediakan maklumat jarak perjalanan, suhu luar, purata kelajuan, jarak laju jajap (cruising speed), penggunaan minyak dan masa perjalanan. Baharu untuk Camry ialah meter penggunaan minyak semasa dan purata. Juga baharu ialah Eco Driving Indicator Light yang dapat membantu pemandu bagi mendapatkan pemanduan yang menjimatkan. Suis-suis seperti kawalan audio, penyaman udara, dan MID dipasangkan pada stereng yang dapat mengurangkan pergerakan pemandu. Untuk Camry 2.5V, sistem audionya didatangkan dengan skrin sentuh bersaiz 6.1 inci, pemain DVD dan fungsi tambahan seperti sambungan Bluetooth dan paparan kamera undur.

Toyota Camry 2013.05

Dengan keadaan suhu negara tropikal yang panas, menyejukkan kabin adalah tugas yang penting dan sistem penyaman udara dua zon pada Camry baharu telah diuji secara ekstensif di dalam cuaca Malaysia bagi memastikan prestasi yang terbaik. Sistem itu boleh ditetapkan pada mode Auto yang mengekalkan tahap kesejukan di dalam kabin atau pun ditetapkan secara manual. Penumpang belakang turut dibekalkan dengan corong penyaman udara melalui belakang konsol tengah supaya suhu sejuk diedarkan dengan lebih menyeluruh. Penumpang belakang terus diutamakan apabila cermin belakang dipasangkan bidai elektronik dan bidai manual untuk cermin sisi.

Menguasakan Camry baharu ialah dua pilihan enjin iaitu 2.5 liter 2AR-FE dan 2.0 liter 1AZ-FE. Kedua-dua enjin yang diperbuat daripada aluminium itu mempunyai teknologi VVT-i yang merupakan sistem termaju dalam meningkatkan kuasa dengan penggunaan minyak yang efisyen dan mengurangkan kadar emisi berbahaya. VVT-i membolehkan enjin berfungsi pada kedudukan terbaik melalui teknologi injap pemasaan yang sentiasa berubah mengikut corak pemanduan. Sementara enjin 1 AZ-FE ditambah baik daripada model sebelumnya, enjin 2AR-FE merupakan nadi kuasa baharu untuk Camry dengan teknologi Dual VVT-i yang lebih canggih dengan mengoptimumkan pemasaan bukan sahaja pada injap pengambilan tetapi juga pada injap ekzos. Kaedah itu menambah baik prestasi enjin dan penggunaan minyak serta mengurangkan pencemaran udara. Kuasa enjin dan tork untuk kedua enjin tersebut dikatakan antara yang terbaik di dalam kelasnya. Untuk enjin 2AR-FE, kuasa maksimum ialah 181ps pada 6,000 rpm dengan tork 231Nm pada 4,100 rpm manakala enjin 1AZ-FE dengan beberapa perubahan dalaman pula berkuasa 148ps pada 6,000 rpm dan tork 190Nm pada 4,000 rpm.

Toyota Camry 2013.09

Dipadankan pada Camry 2.5V ialah transmisi automatik Super ECT enam kelajuan. Transmisi tersebut mempunyai fungsi manual apabila pemandu inginkan pemanduan yang lebih ‘drama’. Dengan enam nisbah kelajuan, transmisi itu membolehkan penukaran di antara gear lebih lancar dan pada kelajuan yang lebih tinggi dan pada masa yang sama kelajuan enjin boleh dikurangkan untuk penjimatan minyak. Transmisi Camry 2.5V turut mempunyai Flex-start control yang menggunakan fungsi klac kuncian untuk memperbaiki kecekapan pemindahan kuasa dan terlebih dahulu mengurangkan kuasa enjin yang juga menyumbang kepada penggunaan minyak yang ekonomikal. Sebagai tambahan, Flex lock-up control turut berfungsi selepas tukaran gear kedua. Buat Camry 2.0E dan 2.0G, Toyota masih mengekalkan transmisi empat kelajuan automatik Super ECT dengan fungsi tukaran manual yang menawarkan respon yang pantas, tukaran yang lancar dan penjimatan minyak hasil daripada teknologi geseran rendah yang digunakan. Tambahan pula, transmisi tersebut sudah pun teruji pada Camry generasi sebelumnya.

Sistem suspensi Camry baharu adalah sama seperti model sebelumnya yang sudah terbukti. Pasukan jurutera telah mengambil kira faktor aerodinamik yang telah di tambah baik pada model ini. Faktor tersebut telah menyumbang kepada lebih kestabilan seterusnya mengoptimumkan prestasi hentakan untuk memberi lebih keselesaan. Kestabilan pada laluan lurus dan tahap pemanduan yang lebih fokus akan lebih dirasai pada Camry baharu. Teknologi stereng rak dan pinan berkuasa kini didatangkan dengan motor elektrik berbanding pam kuasa. Penggunaan minyak lebih baik apabila kuasa enjin tidak lagi digunakan untuk menggerakkan pam kuasa stereng. Selain daripada itu, bantuan motor elektrik hanya dibekalkan apabila diperlukan dan dari sudut alam sekitar, ianya lebih baik memandangkan tiada minyak digunakan pada sistem itu. Lebih menarik jumlah bantuan kuasa berkadaran dengan kelajuan kereta iaitu dilebihkan pada kelajuan rendah untuk senang dikemudi dan dkurangkan pada kelajuan tinggi untuk memberi lebih kawalan pada pemandu.

Toyota Camry 2013.14

Toyota komited dalam menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang mempunyai sistem keselamatan yang bagus sama ada daripada aspek keselamatan Aktif dan Pasif. Standard yang digunakan adalah berdasarkan sistem dalaman yang dikenali sebagai Global Outstanding Assesment (GOA) yang menetapkan sasaran yang sama ada setara atau lebih baik daripada standard antarabangsa. Setiap model baharu Toyota termasuk Camry perlu disahkan melalui kaedah GOA sebelum dijual kepada umum. Untuk Camry, brek cakera yang besar dipasangkan pada tayar depan dan belakang untuk meningkatkan kuasa pemberhentian. Sistem brek dilengkapi dengan ABS manakala penggerak (actuator) brek baharu yang lebih kompak telah dipasang. Ciri tambahan lain yang turut dipasang ialah Electronic Brakeforce Distribution (EBD) yang berkerja dengan unit kawalan ABD bagi melaras kuasa brek ke depan dan belakang berdasarkan keadaan jalan dan beban muatan. Brake Assist (BA) juga standard dan membekalkan kuasa tambahan semasa brek kecemasan untuk mengurangkan defisit kuasa apabila pemandu kurang memberi kuasa pada pedal brek seperti sepatutnya.

Walaupun ciri-ciri keselamatan Aktif pada Camry baharu boleh membantu pemandu mengelakkan kemalangan, Toyota turut memastikan chasis yang telah melalui proses GOA membekalkan ciri-ciri keselamatan Pasif. Struktur Camry telah direka untuk menyerap tenaga hentakan dan mengurangkan impak pada penumpang kereta. Besi ketegangan tinggi (HT steel) digunakan pada poin strategik untuk mengurangkan kesan sewaktu hentakan pada sisi kereta. Di dalam kabin, rangka kerusi juga dibina untuk menyerap hentakan dari tepi dan anggota silang (crossmeber) di tengah-tengah lantai juga direka untuk fungsi yang sama. Chasis terus diperkuatkan dengan menyambung cowl (tutup) depan pada bahagian atas suspensi.

Toyota Camry 2013.10

Toyota turut mengambil kira pengguna jalan lain apabila bonet dan struktur Camry direka supaya dapat mengurangkan kecederaan kepada pejalan kaki apabila berlaku pelanggaran. Jika berlaku pelanggaran, pemandu dan penumpang turut dibekalkan dengan beg udara depan (SRS) dengan tali pinggang keledar pra tegang untuk mengurangkan pergerakan ke depan. Buat penumpang Camry 2.5V terdapat tambahan beg udara sisi yang dapat melindungi mereka sewaktu pelanggaran sisi. Kerusi Camry turut didatangkan dengan Whiplash Injury Lessening (WIL) yang dapat mengurangkan kecederaan kepada sewaktu pelanggaran dari belakang. Kebiasaannya kepala akan bergerak ke belakang secara mengejut dan WIL memberi sokongan kepada kepala dan bahagian atas belakang bagi mengurangkan kecederaan jenis itu. Walaupun penumpang akan tertahan dengan tali pinggang keledar, kepala mereka akan bergerak dan mengenai bahagian dalaman kabin yang menyebabkan kecederaan. Untuk bahagian atas kabin, Toyota menggunakan bahan yang dapat menyerap hentakan bagi mengurangkan kecederaan.

Untuk mereka yang inginkan kelainan, UMW Toyota Motor menawarkan kit aero yang dapat memberikan penampilan yang lebih sporty dan agresif pada Camry mereka. Pelanggan boleh memesan aksesori tersebut sewaktu pembelian kereta dan kit tersebut akan dipasang di pusat aksesori UMW di Bukit Raja, Selangor. Terdapat beberapa aksesori lain seperti filem penebat haba dan keselamatan Premium dan DVD Audio Visual Navigation (DVDAV) dengan kamera undur untuk varian 2.0G dan 2.0E. Toyota Camry baharu didatangkan dengan waranti selama 3 tahun atau 100,000 km yang mana dahulu.

Silakan kongsi:

1 comment

    • Dr. Amir on 30/12/2013 at 12:09 PM
    • Reply

    Thailand – teksi mereka menggunakan Toyota Camry 🙂

Leave a Reply to Dr. AmirCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.