SUV Perodua Aruz Kini Di Pasaran, RM72.9K dan RM77.9K

Perodua secara rasminya telah melancarkan Kenderaan Sport Utiliti (SUV) terbaharu, Aruz, yang telah menerima 2,200 tempahan sejak ianya dibuka untuk tempahan bermula 3hb Januari lalu.

SUV tujuh-tempat duduk ini dilancarkan petang tadi oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Yang Berhormat Datuk Darell Leiking dengan disaksikan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr Makio Miyagawa.

Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian, iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance, yang masing-masing berharga RM72,900 and RM77,900 (atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia), menjadikan ianya antara SUV yang paling berpatutan di pasaran Malaysia.

“Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, Perodua sentiasa berusaha untuk menjadikan teknologi dan trend automotif terkini mampu dimiliki oleh semua rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Permintaan SUV semakin meningkat di seluruh dunia. Pelanggan menggemari ciri-ciri SUV seperti serba boleh, selesa, kedudukan memandu yang tinggi, penglihatan yang baik serta ruang yang luas dan dalam masa yang sama mengekalkan tapak yang kompak. Dengan kesemua ciri tersebut, kenderaan ini mempamerkan gaya hidup aktif, mencabar dan beraspirasi,” kata Dato’ Zainal.

Dengan 95% daripada komponennya daripada pengilang tempatan, Perodua Aruz merupakan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) keempat daripada syarikat tersebut, yang memberi kecekapan bahan api terbaik dalam segmen – 15.6 km/l. Waranti selama lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu) turut ditawarkan.

“Perodua Aruz dijangka melengkapkan barisan produk kami yang sedia ada dan berdasarkan pakej produk yang ditawarkan, kami mensasarkan jualan purata bulanan sebanyak 2,500 unit atau 31,200 unit untuk tahun 2019,” kata Dato’ Zainal.

Ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada semua varian Perodua Aruz termasuk Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ISOFIX dan enam beg udara.

Varian Advance dilengkapi dengan sistem Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang telah dinaiktaraf dengan penambahan pengesanan pejalan kaki dan peningkatan kelajuan operasi.

Perodua Aruz juga telah dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang ASEAN NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Lima warna luaran ditawarkan – Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green.

Perodua Aruz AV

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.