Subaru Levorg Sports Tourer Concept

Subaru Levorg 2014.02

Pengeluar kereta biasanya mempamerkan kereta konsep bagi memberi bayangan produk masa depan dan kebolehan dalam menghasilkan sesebuah teknologi atau kereta. Kebanyakan kereta konsep direka dengan format futuristik namun ada juga yang tampil seperti siap untuk dikilangkan dan anehnya pengeluar masih memanggilnya sebagai kereta konsep. Contoh terdekat ialah Subaru Levorg Tourer Concept yang pertama kali dipertontonkan di Tokyo pada November 2013. Subaru memberi sedikit pencerahan dengan berkongsi maksud Levorg iaitu gabungan perkataan Legacy yang merupakan nama salah satu model sedia ada, Revolution dan Touring.

Subaru Levorg dibina berdasarkan praktikaliti sebuah tourer dengan rekaan bergaya dan karakter kereta sport. Bahagian depan kereta melambangkan identiti Subaru seperti gril heksagon manakala bentuk lampu “mata burung helang” memberi efek bentuk yang rendah dan lebar. Bahagian sisi kereta yang sleek dioptimumkan untuk aerodinamik selain dari indikasi potensi prestasi yang boleh dieksploitasi dan praktikaliti sebagai sifat asalnya.

Subaru Levorg 2014.01

Subaru Levorg Concept dipasangkan enjin baharu iaitu 1.6 liter horizontally-opposed direct injection turbo (DIT) boxer berkuasa 168bho dan tork 184 lb ft. Subaru juga berkira-kira untuk menggunakan enjin 2.0 liter DIT Boxer yang berkuasa 296bhp dan tork 295 lb ft. Tidak dapat dipastikan reaksi peminat sejati Subaru apabila kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT. Transmisi Sport Lineartronic yang dipasangkan standard pada versi 2.0 liter mempunyai mode lapan kelajuan untuk pemanduan yang lebih bersahaja atau sporty. Subaru Levorg menggunakan besi ultra high tensile secara ekstensif pada badannya untuk mengurangkan berat dan ketegaran. Sistem suspensi bebas (independent) dan stereng kuasa elektrik menyediakan respon pantas kepada arahan pemandu dan semasa kelajuan tinggi pada selekoh dalam semua keadaan tanpa memberi kompromi kepada tahap keselesaan sebuah tourer yang praktikal.

Subaru Levorg 2014

Dengan badan kereta yang tegar, ringan dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru, Levorg mempunyai standard keselamatan tahap dunia. Teknologi seperti Vehicle Dynamic Control (VDC) dan Active Torque Vectoring memastikan pengendalian kereta lebih mudah dan di antara sistem pencegahan bahaya yang terbaik di dalam kelasnya. Struktur keselamatan baharu pada bonet dan bahagian depan serta penggunaan material penyerap hentakan yang lebih banyak di dalam ruang enjin telah memperbaiki prestasi semasa kemalangan dan perlindungan pejalan kaki. Subaru turut menggunakan Levorg untuk mempamerkan teknologi baharu yang bakal digunakan pada model masa depan seperti Hazard Avoidance Assist yang memberi bantuan pada stereng jika sistem mengesan kemungkinan berlakunya pelanggaran. Pre-Collision Reverse Throttle Management pula mengekang output enjin apabila pedal minyak ditekan secara mengejut semasa kereta mengundur.

Sistem bantuan pemandu Subaru yang inovatif iaitu EyeSight telah diperbaharui untuk kegunaan Levorg dan kini mempunyai kebolehlihatan yang lebih jelas dan tahap pandangan yang lebih lebar seperti Active Cruise Control dan sistem Pre-Collision Braking Control. Sistem EyeSight pada masa akan datang pula bakal mempunyai sistem Active Lane Keep baharu.

Subaru Levorg 2014.03

Bahagian dalaman Levorg pula dihias dengan material berkualiti tinggi seperti kemasan piano black dan besi. Pencahayaan instrumen pula menggunakan warna biru ais bagi menampakkan imej berteknologi tinggi manakala skrin 3.5 inci LCD memberi status kereta kepada pemandu. Lebih sporty apabila Levorg menggunakan stereng berdiameter kecil dengan bentuk D ala kereta berprestasi tinggi.

Biasanya kereta konsep mempunyai peratus yang sama banyak sama ada akan dikeluarkan atau sebaliknya namun suatu yang menarik apabila Subaru memperkenalkan Legacy Sedan di Chicago pada 12 Februari lepas. Walaupun Legacy itu berbentuk sedan namun terdapat beberapa persamaan yang hampir dengan Subaru Levorg Sports Tourer Concept.

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.