Proton Perdana 2016 Semakin Hampir Dilancarkan – Suku Pertama Tahun Ini

Proton Perdana 2016.01

Proton Perdana yang sedang hangat diperkatakan kini semakin hampir dilancarkan. Syarikat pengeluar kereta nasional, Proton pada kelmarin mempertontonkan bahagian luar, dalaman dan enjin Perdana di dalam sesi previu media. Model yang menggunakan platform Honda Accord generasi kelapan dijangka menarik perhatian ramai melalui rekabentuknya yang menarik dan segar. Berikut merupakan informasi awalan yang dikongsi semasa sesi previu Proton Perdana 2016

1.Logo Baharu

Proton pada tahun ini memasuki usianya yang ke-31. Logo Harimau yang digunakan kini ditambah baik dan dikemaskini dengan sentuhan segar. Lambang kepala Harimau dibesarkan dan garisan bulat yang melingkarinya dijelaskan lagi manakala perkataan Proton ditiadakan. Lagi pula, kewujudan perkataan Proton tidak mempunyai sebab yang jelas memandangkan logo Harimau itu sendiri sudah melambangkan jenama Proton apatah lagi di pasaran tempatan. Logo baharu juga nampak dinamik dengan kesan 3D. Proton Perdana 2016 merupakan model pertama yang akan menggunakan logo baharu ini.

Proton Perdana 2016.03

2. Rekabentuk Luaran

Berbanding model penjenamaan semula seperti Proton Inspira dan Proton Perdana yang eksklusif untuk kerajaan, Proton Perdana 2016 membawa perubahan luaran yang signifikan. Rekabentuk luarannya kemas, elegan dan segak seolah-olah ejen perisikan British yang rapi lengkap dengan sut. Khabarnya Tun Dr. Mahathir sendiri yang membuat ukuran bagaimana tiang C harus ‘landing’ ke atas bonet belakang. Dari bahagian depan, rupanya lembut seperti Proton Iriz dengan bahagian sisi yang ‘edgy’ manakala bahagian belakang pula provokatif. Senang kata, rekabentuk luaran Perdana 2016 seimbang, tidak terlalu sport dan eksekutif dan paling penting tampil dengan imej tersendiri tanpa dipengaruhi kereta asal. Meneruskan gayaan Iriz, sisi lampu depan dicetak tulisan kecil Proton dan diulang semula di dalam kelongsong lampu belakang. Bahagian fender pula diperincikan dengan sisip udara lagak kereta mewah. Pada bahagian dalaman pula, pengaruh Honda Accord masih kuat tetapi dikemaskan dengan tona warna cerah dan gelap. Butang kawalan pada konsol tengah pula digantikan dengan skrin sebagai tambahan kepada skrin yang terdapat pada papan pemuka. Skrin atas mempunyai fungsi GPS manakala skrin kedua mengandungi sistem hiburan.

Proton Perdana 2016.02

3. Tiga Varian, Dua Sesaran Enjin

Proton Perdana 2016 bakal ditampilkan dengan 3 varian iaitu Standard, Executive dan Premium. Sama seperti Honda, Proton Perdana turut mengguna pakai enjin 2.0 dan 2.4 i-VTEC dan varian itu dibezakan dengan aksesori standard seperti kit badan, aksesori dan rekabentuk rim. Untuk tahun akan datang, Proton Perdana akan menggunakan enjin baharu keluaran Proton sendiri. Talaan pemanduan juga tidak banyak disentuh dan DNA Proton akan lebih signifikan yang akan dipakejkan sekali dengan nadi kuasa baharu nanti.

4. Harga

Proton masih belum memuktamadkan lagi harga rasmi tetapi melalui pengumuman yang dibuat ianya bermula dari RM100 ribu hingga RM150 ribu bergantung kepada varian dan sesaran enjin. Memandangkan Proton adalah kereta nasional, faktor nilai untuk wang dan pesaing segmen di dalam kelasnya akan diambil kira.

5. Tarikh Pelancaran

Proton Perdana 2016 sudah boleh ditempah tetapi majlis pelancaran rasmi masih belum didedahkan. Proton merancang untuk melancarkannya di dalam suku pertama tahun ini, insya Allah.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.