Sejak pertama kali diperkenalkan ke pasaran pada September 2014, lebih 45,000 unit Proton Iriz telah terjual menjadikannya model Proton kedua terlaris selepas Proton Saga. Bagi mengekalkan kelangsungan model itu serta menarik pada mata pelanggan, Proton telah melancarkan Iriz yang kini tampak lebih segar dengan pakej baharu.
Naik taraf itu susulan maklum balas orang ramai memandangkan Iriz berkongsi platform yang sama dengan Persona di mana model sedan itu hadir dengan pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran serta penjimatan bahan api yang lebih baik.
Kini Proton Iriz turut menerima ciri-ciri yang sama seperti pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran yang lebih baik.
Selain itu, Proton turut menambah ciri Bantuan Pemanduan Eco serta penghalusan pada penentukuran ECU yang menyediakan tindak balas selari untuk pemanduan yang lebih baik.
Proton Iriz 1.3L Executive juga menerima penambahbaikan dari segi butang penghidup enjin yang sebelum ini hanya dipasang dalam varian 1.6L.
Proton Iriz 1.6L Premium pula kini didatangkan dengan dua tona warna pada bahagian luaran iaitu di bahagian bumbung, spoiler dan cermin sisi. Bahagian dalaman pula dilengkapi dengan jahitan merah pada stereng dan tempat duduk separa kulit menjadikan Iriz kelihatan lebih cantik, bergaya dan menonjol.
Sementara itu, ciri-ciri keselamatan standard Iriz masih sama seperti sebelum ini. Iriz sememangnya dikenali dengan ciri-ciri keselamatan yang hebat dan struktur Hot Press Forming (HPF).
Iriz juga mendapat penarafan lima bintang dari ASEAN NCAP untuk semua varian, dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif secara menyeluruh seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Tarikan, Bantuan Brek, Sistem Brek Anti-kunci (ABS), Bantuan Kawalan Cerun, ISOFIX dan top tether serta 6 beg udara untuk varian Premium.
Proton Iriz juga diiktiraf sebagai model bertaraf ASEAN NCAP 5 bintang yang paling mampu dimiliki di rantau ini.
Proton Iriz turut memenangi pelbagai anugerah seperti Compact Hatchback Car of the Year dan People’s Choice Award di NST Car of the Year 2014, Best Industrial Design 2015 oleh Intellectual Property Corporation, Most Affordable 5-Star ASEAN NCAP Car in Malaysia di ASEAN NCAP Grand Prix Award 2016 dan Budget Car Of The Year di 2016 ASEAN Car of The Year Awards.
Proton Iriz baharu ini didatangkan dalam empat varian – 1.3L Standard (MT & CVT), 1.3L Executive CVT dan 1.6L Premium CVT, berharga dari RM43,800 ke RM58,800, dan boleh didapati dalam dua warna baharu, Ruby Red dan Carnelian Brown, selain dari warna Iriz sedia ada iaitu Graphite Grey, Atlantic Blue dan Cotton White.
Galeri gambar Proton Iriz 2017
Ciri-ciri baharu pada Proton Iriz 2017