Proton Ertiga 1.4 Dilancarkan – RM58.8K Hingga RM64.8K

proton-ertiga-2016-10

Demi mencapai komitmen dalam melancarkan 4 buah kereta pada tahun 2016, PROTON Holdings Bhd secara rasmi melancarkan Proton Ertiga di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Selangor. Proton Ertiga ialah model keempat dan terakhir dilancarkan oleh Syarikat pada tahun ini. Majlis dirasmikan oleh YBhg Brigadier General (K) Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Haji Mohd Khamil Jamil, Pengerusi DRB-HICOM.

Proton Ertiga ialah model pertama hasil kerjasama PROTON dan Suzuki Motor Corporation Japan. Ia didatangkan dalam 2 varian – Executive (manual [MT] dan automatik [AT]); dan Executive Plus (AT) dengan harga bermula dari RM58,800 – RM64,800 di Semenanjung Malaysia.

“Proton Ertiga ialah MPV kompak pertama Malaysia berstatus Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang disahkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI). Kereta famili dengan 6 tempat duduk ini dilengkapi enjin 1.4 VVT (pemasaan injap variabel) yang diperbuat daripada aluminium ringan untuk kedua-dua varian. Suntikan kuasa multipoin (MPI) menghasilkan penjimatan penggunaan bahan api pada 5.7L/100km bagi (MT) dan 6.0L/100km bagi (AT) mengikut Kitaran Pemanduan Eropah (New European Driving Cycle, NEDC) yang menggabungkan kedua-dua kitaran bandar dan luar bandar. Selain itu, teknologi drive-by-wire memantapkan lagi prestasi kereta untuk lebih responsif,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

proton-ertiga-2016-09

“Anda akan dapat merasakan kehalusan kereta ini pada kelajuan 110km/h dan 2900 rpm di mana enjin agak senyap dan penyerapan bunyi jalan serta angin yang baik membuatkan pemanduan kereta lebih selesa kerana kesenyapan ketara dari segi tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH),” sambung Dato’ Fuaad.

Beliau menambah, “Bagi menepati cita rasa dinamik dan gaya hidup keluarga moden masa kini, Proton Ertiga bukan sahaja jimat minyak, malah kereta ini juga direka untuk menawarkan keluasan ruang dan keselesaan. Ventilasi penyaman udara yang luas di barisan kedua memastikan udara sampai sehingga ke barisan ketiga bersama ruang atas yang luas serta ruang letak kaki yang cukup selesa untuk menampung 2 orang dewasa. Tuil akses pintar dengan satu sentuhan pada kerusi barisan kedua membolehkan penumpang masuk atau keluar dengan cepat dan mudah ke barisan ketiga. Tempat duduk belakang boleh lipat bukan sekadar menyediakan kepelbagaian susunan tempat duduk, tetapi juga mewujudkan ruang kabin yang mencukupi untuk memuatkan barangan lebih muatan, di mana barisan kedua dan ketiga boleh dilipat untuk menampung ruang sehingga 735 liter.”

“Tambahan lagi, warna cerah dan hangat mewujudkan suasana mewah dan luas di dalam kabin. Tempat duduk diperbuat dari fabrik kalis air yang berkualiti tinggi untuk memastikan yang ianya bersih dan mudah dijaga,” ujar Dato’ Fuaad.

proton-ertiga-2016-03

Dari segi dimensinya pula, Proton Ertiga memiliki panjang-4265mm, lebar-1695mm, tinggi-1685mm dan jarak roda-2740mm. Jarak dasar kereta pada 185mm membantu kereta meredah permukaan bentuk muka bumi tidak rata selain memberikan sudut pandangan tinggi buat pemandu. Sejajar dengan status EEV, saiz tangki yang mencukupi iaitu 45 liter membolehkan kereta ini bergerak lebih jauh.

Kedua-dua varian menawarkan keselesaan dan ciri-ciri selesa seperti konfigurasi kerusi gelongsor yang memberikan ruang mencukupi di tempat duduk yang ke-3, barisan kedua boleh dilipat secara 60:40, manakala barisan ketiga boleh dilipat 50:50, barisan kedua boleh direbahkan 45 darjah, perehat lengan di barisan kedua, pengarasan lampu depan dan 4 pembesar suara. Kereta ini juga didatangkan dengan stereng elektrik yang boleh dilaraskan, termasuk radio/CD/MP3 dan USB/jeki Pod.

Varian Executive Plus didatangkan dengan cermin sisi boleh lipat automatik, suis audio di stereng, 2 twiter, tambahan kepada 4 pembesar suara dan poket belakang kerusi bagi bahagian pemandu dan penumpang, signal belok di sebalik cermin sisi (OSRVM) dan pelaras ketinggian kerusi pemandu. Tambahan lagi, hendal pintu dalaman krom, kemasan krom pada lampu kabus serta cermin filem gelap menghasilkan rasa yang mewah.

proton-ertiga-2016-08

Bagi ciri keselamatan pula, kedua-dua varian mendapat penarafan 4 bintang ASEAN NCAP dan dilengkapi dengan pelbagai ciri aktif dan pasif seperti ISOFIX dan pautan atas, 2 beg udara hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), tingkap kuasa boleh naik automatik dan anti-jepit (di bahagian pemandu), lampu kabus hadapan dan belakang, dan sensor undur.

Proton Ertiga kini boleh dipandu uji dan ditempah di semua cawangan Proton Edar seluruh negara.

Baca ulasan penuh pandu uji Proton Ertiga yang telah diterbitkan:

Pandu uji Proton Ertiga – MPV kompak sepadan harga

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.