PROTON BERSEDIA MENGHASILKAN KERETA GLOBALNYA

Proton Lancar Persona R ke 2011.02

TANJUNG MALIM, 25 JULAI 2011 – Syarikat kereta nasional PROTON Holdings Berhad hari ini menzahirkan komitmennya dalam menghasilkan kereta untuk pasaran global serta mengumumkan kebersediaan persiapan kilangnya untuk mengeluarkan model kereta globalnya. Model terbaru PROTON yang diberikan nama samaran ‘P3-21A’ ini, dijangka akan mula dipasarkan awal tahun hadapan dan akan dikeluarkan di kilang PROTON di Tanjung Malim. Dengan P3-21A, masanya sudah tiba untuk PROTON mengeluarkan sebuah kereta global, bukan sahaja untuk diterima di Malaysia atau kawasan serantau dan pasaran-pasaran tertentu sahaja, tetapi kereta yang memenuhi piawaian Negara-negara maju dan juga boleh menambat hati dan menepati citarasa dan kehendak-kehendak pembeli di serata dunia.

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Pengarah Urusan Kumpulan PROTON, Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam majlis ‘Pengumuman Persediaan Pengeluaran Kereta Global P3-21A’ yang turut menyaksikan bacaan ikrar jaminan kualiti oleh kakitangan PROTON dan 108 pembekal dan pembuat komponen PROTON yang terlibat dengan projek pengeluaran model tersebut.

“PROTON komited dalam menghasilkan kenderaan buatan Malaysia yang bukan sahaja kompetitif dari segi harga, kualiti, prestasi dan rekabentuk, tetapi lebih berdayasaing untuk menambat hati pembeli di mana sahaja ia dipasarkan di seluruh dunia. Hari ini merupakan satu titik permulaan yang baru bagi PROTON seiring dengan aspirasi syarikat untuk memperluaskan pengaruhnya dalam industri automotif di peringkat antarabangsa,” kata Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin.

Proton Lancar Persona R ke 2011.01

Pengiktirafan sebagai sebuah syarikat automotif global tambah Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin lagi, tidak seharusnya hanya bergantung kepada kejayaan sesebuah syarikat itu dalam mengeksport kenderaannya ke luar Negara. Apa yang lebih penting adalah untuk ia turut menitikberatkan elemen-elemen seperti kualiti, keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan, harga yang kompetitif dan penghantaran dan pengedaran kenderaan yang lebih baik.

Justeru, PROTON hari ini turut menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi meningkatkan kebolehan pembekal dan pembuat komponennya dengan cara mempraktikkan kaedah-kaedah kecemerlangan perniagaan atau Business Excellence Practices (BEx).

BEx merupakan satu rangka kerja yang kini digunakan oleh anggota-anggota Majlis Model Kecemerlangan Global atau Global Excellence Model (GEM) Council di 80 negara bagi menilai prestasi sesebuah syarikat di dalam 7 bidang iaitu – Kepimpinan, Perancangan, Informasi, Fokus Pelanggan, Orang-ramai, Proses dan Hasil. Program BEx akan meningkatkan prestasi perniagaan vendor-vendor PROTON dan memantapkan dayasaing organisasi mereka dengan memastikan tumpuan terhadap inisiatif-inisiatif produktiviti dan peningkatan inovasi dilaksanakan. Ini termasuklah inisiatif seperti penilaian kekurangan sedia ada, program intervensi, penanda aras dan perkongsian amalan-amalan terbaik berdasarkan kepada model kecemerlangan perniagaan yang diterima pakai secara global. Ia merupakan salah satu inisiatif strategik PROTON untuk membangunkan vendor-vendor yang kompetitif di peringkat global menjelang tahun 2016.

Proton Lancar Persona R ke 2011.03

Pengeluaran model terbaru P3-21A juga menyaksikan buat kali pertama, pemilihan pembekal dan pembuat komponen PROTON dibuat berdasarkan prestasi yang dinilai mengikut model BEx. MPC sebagai anggota Majlis GEM, yang juga merupakan anggota Asian Productivity Organisation (APO) Center of Excellence for Business Excellence, bertindak sebagai sumber yang penting bagi PROTON memperolehi maklumat industri yang terbaru untuk dibuat perbandingan dan penilaian. Maklumat yang diperolehi ini juga akan membolehkan syarikat-syarikat pembekal komponen tempatan mengukur prestasi mereka berbanding rakan-rakan di Negara ASEAN dan di seluruh dunia.

“Matlamat yang disasarkan adalah untuk meningkatkan kebolehan para pembekal dan pembuat komponen kereta PROTON agar lebih berdaya-saing seiring dengan inisiatif Kerajaan yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian ataupun lebih dikenali sebagai Industrial Master Plan 3 (IMP-3),” kata Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.