Porsche 911 Turbo: Lagenda Klasik dan Kini!

Porsche 911 Turbo 2013.01

Sebelum ini saya tidak berapa endahkan sangat jenama Porsche. Sekadar mengambil tahu tentang model-model yang dilancarkan sahaja dan bagaimana syarikat dari Jerman itu membuat revolusi dengan memperkenalkan model SUV Cayenne dan model penumpang Panamera. Pandangan terhadap Porsche semakin rendah apabila Nissan GT-R antara pemegang rekod kereta produksi paling pantas di litar Nurburgring. Masakan tidak, GT-R jauh lebih murah dan apa hebatnya bila pengeluar Jepun berjaya ‘menapau’ seperti di dalam siri ujian yang dilakukan oleh majalah Autocar (lawan Porsche 911 GT3) dan majalah CAR (lawan 911 Turbo). Iya, Porsche ada model hebat seperti 911 GT3 yang lengkap dengan rangka keselamatan (roll cage) tetapi apa gunanya kerana jenama itu berada di dalam pasaran premium. Pada saya, Porsche adalah sebuah Eropah yang mahal untuk dibeli dan diselenggara. Walau bagaimanapun, sikap pandang sebelah mata tersebut mula terhakis apabila majikan tempat saya bekerja membawa pulang sebuah Porsche dari United Kingdom. Mendengar bunyi ekzos yang kasar dan operasi enjin sudah pasti menggetarkan jiwa.

Porsche 911 Turbo 2013.02

Momen jatuh hati dengan Porsche 911 (dibaca nine-eleven) terus mekar apabila blog permotoran luar negara menerbitkan entri mengenai model lama Porsche dengan konsep binaan yang ringkas dan malar segar. Tambahan pula Nissan sendiri sudah lama mengambil inspirasi daripada Porsche untuk model-model sport mereka. Lama kelamaan terdetik di hati perasaan kagum terhadap karakter asli jenama itu. Untuk pengetahuan walaupun rekabentuk kereta Porsche lebih kurang sama sahaja untuk sesebuah model namun jenis-jenis enjinnya tidak sama. Jika ada yang perasan, di sebalik casis yang sama ada satu varian yang mempunyai lencana Turbo. Sejarah model itu bermula pada tahun 1973 di Pameran Kereta Frankfurt apabila Porsche menayangkan kepada umum model prototaip berwarna perak yang banyak menarik perhatian. Pada model konsep itu dilekatkan perkataan Turbo dan dari situlah bermulanya sebuah legenda dalam segmen kereta sport. Tersimpan di dalam bonet belakang ialah enjin 3.0 liter flat-six berkuasa 280hp.

Porsche 911 Turbo 2013.03

Diinspirasikan oleh program permotoran, jurutera Porsche sebenarnya sudah lama membuat kajian untuk meningkatkan kuasa enjin, pada tahun 1969 misalnya, Porsche telah membina enjin flat-16 silinder bersesaran 6.0 liter aspirasi normal versi lumba Can-Am dengan output 770hp. Mengikut kiraan juruteranya, dengan sesaran 7.2 liter output yang boleh dicapai ialah sebanyak 880hp tetapi pada masa yang sama ada sebuah lagi enjin yang sedang dibina iaitu 5.0 liter flat-12 dengan pengecas turbo daripada model 917 turbo menghasilkan output yang mengejutkan iaitu sebanyak 900hp! Bahkan ianya antara enjin paling berkuasa dengan output setinggi 1200hp! Apa lagi yang Porsche mahu!?

Porsche 911 Turbo 2013.04

Sejak dari itu bermulalah sejarah Porcshe dengan enjin turbo dengan pelbagai anugerah perlumbaan. Dengan kemahiran yang ada Porsche menggunakannya pada model 911. Walaupun terdapat krisis minyak pada tahun 70 an, Porsche tetap meneruskan program itu dan pada tahun 1974 memperkenalkan model 3.0 liter yang berkuasa 260 hp dengan 343 Nm tork. Pada tahun 1978, model 911 Turbo atau juga dikenali sebagai 930 secara dalaman (1975 – 1989) telah melalui beberapa evolusi antaranya saiz enjin yang dibesarkan kepada 3.3 liter, penambahan intercooler, tayar yang lebih lebar dan sistem brek baharu yang dibangunkan daripada model 917. Model 911 Turbo diteruskan hingga tahun 1989 dengan perubahan minimum dan pada tahun akhir produksi model itu dipasangkan dengan transmisi lima kelajuan. Tahun-tahun itu merupakan era pertama kereta super GT Porsche.

Porsche 911 Turbo 2013.06

911 Turbo kemudian kembali diperkenalkan pada tahun 1991 yang diasaskan daripada generasi 964. Dengan ciri-ciri aerodinamik yang lebih baik, stereng berkuasa dan juga kuasa yang lebih tinggi, model Turbo telah naik setingkat lagi ke arah kereta sport harian yang bagus. Pada tahun 1993, 911 Turbo dipasangkan enjin baharu bersesaran 3.6 liter yang dibina daripada model generasi baharu 964 flat-six. Model itu merupakan yang terakhir daripada konsep asal dengan pengecas turbo tunggal dengan pacuan roda belakang. Episod seterusnya ialah penanda aras baharu bagi prestasi kereta. Revolusi baharu dimulakan oleh 911 Turbo yang diasaskan daripada model 993 dan pertama kali diperkenalkan di Pameran Kereta Geneva tahun 1995. Enjin 3.6 liter dipasangkan dengan pengecas turbo berkembar yang diselia oleh sistem pengurusan enjin yang sofistikated. Kuasanya ialah 408hp dengan 540 Nm tork. Model itu menggunakan sistem pacuan empat roda dan daripada situlah bermulanya era Turbo dengan pacuan empat roda.

Porsche 911 Turbo 2013.05

Sebuah lagi sejarah tercipta dengan keluarnya enjin sejukan air pada model 996 Carrera pada tahun 1997 yang mana model baharu 911 Turbo diasaskan. Pada masa itu jugalah terhasilnya enjin yang dikenali sebagai Mezger sempena nama pereka enjin tersebut iaitu Hans Mezger. Model 911 Turbo berkongsi asas yang sama dengan model GT3 yang berkuasa 420 hp. Juga tambahan baharu ialah Porsche Stability Management (PSM) control system. Sekali lagi pada tahun 2006, model 911 Turbo yang diasaskan daripada model 997 mencipta sejarah dengan kuasa tork sebanyak 679 Nm melalui penggunaan ‘temporary turbo overboost’. Model baharu itu juga menggunakan sistem Porsche Traction Management (PTM).

Porsche 911 Turbo 2013.07

Pada tahun 2010, Porsche memperkenalkan 997 Turbo generasi kedua dan menggantikan enjin Mezger dengan enjin baharu 3.8 liter turbo berkembar flat-six dengan sistem pancitan terus berkuasa 500hp dengan tork 700 Nm semasa overboost. Porsche juga buat pertama kalinya berjaya memadankan model 911 Turbo dengan transmisi klac berkembar PDK. Harus tahu, model nine-eleven turbo dan Turbo S baharu sudah pun diperkenalkan kepada umum pada Mei lepas dan baru sahaja diperkenalkan pada minggu ini ialah varian Turbo dan Turbo S Cabriolet. Sensasi pemanduan tanpa bumbung!

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.