Porsche 911 50 Years Edition

Porsche 911 50 Years Edition 2013.09

Selama lima dekad model 911 merupakan jantung hati Porsche. Hanya beberapa kereta sahaja di dunia yang mempunyai tradisi dan kesinambungan seperti Porsche 911. Model tersebut telah menjadi inspirasi untuk ramai penggemar kereta sejak pertama kali diperkenalkan (901) di IAA International Automotive Show, Frankfurt pada September 1963. Hari ini, 911 adalah sebuah model yang menjadi penanda aras untuk pesaing lain. 911 turut dijadikan sebagai rujukan untuk kesemua model Porsche dan setiap model tersebut membawa falsafah 911.

Porsche 911 50 Years Edition 2013.04

Sehingga kini sudah lebih 820,000 Porsche 911 telah dibina yang menjadikannya kereta sport paling berjaya di dunia. Untuk ketujuh-tujuh generasinya, para jurutera di Zuffenhausen dan Weissach memperbaharuinya berkali-kali sebagai simbol kuasa inovatif Porsche. Kelebihan 911 terletak pada adunan sifat kontradiksi seperti sporty dengan praktikaliti harian, tradisi dengan inovasi, eksklusif dengan penerimaan sosial dan rekaan dengan kebolehgunaan. Sebagai tambahan kepada ciri-cirinya yang klasik dan unik, Porsche 911 selalu dipuji melalui teknologinya yang maju. Banyak idea dan teknologi diperkenalkan pada model 911 dilahirkan daripada trek perlumbaan. 911 sememangnya dibangunkan berdasarkan prinsip perlumbaan daripada awal dan perlumbaan merupakan medan ujian paling penting untuk model itu. Daripada permulaan, ‘habitat’ 911 adalah di litar dan venue rali di serata dunia dengan reputasi sebagai sebuah kereta yang pantas dan boleh menang. Faktanya, dua pertiga daripada 30,000 kemenangan yang diperoleh Porsche disumbangkan oleh 911.

Porsche 911 50 Years Edition 2013.05

Pada bulan September depan di International Motor Show (IAA) di Frankfurt, Porsche akan menyambut ulang tahun ke 50 911 dengan memperkenalkan model edisi istimewa (SE) 50 Years Edition – separuh abad sejak model ikonik itu diperkenalkan di Jerman. Menariknya model SE itu hanya akan dihadkan kepada 1,963 unit iaitu mengikut tahun 911 dilahirkan. Seperti coupé pertama, model 911 50 Years Edition didatangkan dengan enjin flat-six pacuan roda belakang. Prestasi yang efisyen, suspensi sports active dan gayaan badan yang eksklusif menambah lagi penampilan kontemporari 911. Model SE diasaskan daripada model 911 Carrera S tetapi dilitupi dengan badan yang lebih lebar iaitu 44 mm pada arca roda belakang yang sebenarnya untuk model pacuan kesemua roda Carrera 4.

Porsche 911 50 Years Edition 2013.02

Keunikan luaran 911 SE diilhamkan daripada 50 tahun kejayaan model itu. Sebagai contoh, Porsche Active Suspension Management (PASM) di tala semula supaya berpadanan dengan peningkatan lebar jarak roda yang memberi lebih dinamik sewaktu mengambil selekoh. Model itu turut dipasangkan dengan sistem ekzos baharu bagi meningkatkan lagi tarikan emosi pada pemandu. Dikuasakan oleh enjin 3.8 liter flat six berkuasa 400hp, 911 50 Years Edition mampu memecut dari sifar hingga 100km/j dengan hanya 4.5 saat atau 4.3 saat bagi model PDK dengan kelajuan maksimum 299km/j dan 298km/j untuk model PDK.

Porsche 911 50 Years Edition 2013.01

Memberi indikasi jelas lokasi enjin flat six yang berada di belakang ialah jaluran krom pada sirip gril bonet enjin. Aksesori tersebut diteruskan pada ruang suapan udara depan dan di antara lampu belakang. Paling menonjol untuk model SE ialah rim ‘old school’ lima jejari yang diinspirasikan daripada rim yang dikenali sebagai Fuchs yang merupakan rim lagenda yang pertama kali digunakan pada model 911 tahun 1966. Rim bersaiz 20 inci tersebut diwarnakan dengan hitam kusam dan kilatan mesin. Selain daripada peralatan khas, pakej standard 911 Carrera S terdiri daripada Porsche Torque Vectoring (PTV) dengan limited slip differential belakang, skrin sesentuh berwarna 4.6 inci Porsche Management dengan navigasi satelit, kawalan suhu automatik, lampu utama Bi-Xenon, audio antara muka yang mempunyai sambungan MP3 dengan waranti selama 3 tahun.

Porsche 911 50 Years Edition 2013.06

Pada bahagian dalam pula gayaannya banyak mengikut semula rekabentuk 911 asal seperti label hijau pada instrumen dengan jarum berwarna putih dan penutup berwarna perak di atas meter. Satu lagi ciri istimewa ialah panel tengah pada kerusi kulit yang direka dengan corak fabrik yang mengingatkan semula pada rekaan Pepita tartan daripada model 60 an. Balutan kulit pula boleh dipilih sama ada berwarna Agate Grey atau Hitam. Kerusinya pula boleh dilaras dengan 14 arah dan jika itu tidak memadai terdapat pilihan kerusi Sport Seats Plus dengan 18 arah larasan. Porsche 911 50 Years Edition sudah boleh ditempah di Porsche Centre tetapi di UK dan Ireland sahaja pada harga bermula dari GBP 92,257 atau sekitar RM453,000 sahaja!

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

1 comment

    • Pakcik kayo on 13/06/2013 at 11:10 PM
    • Reply

    berapa riban???? usd?

Leave a Reply to Pakcik kayoCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.