Peugeot 208 dan 2008 Puretech Dilancarkan – Enjin Terbaik Dunia Tahun 2015 dan 2016 Kini Di Malaysia

peugeot-208-dan-2008-2017-08

Enjin Puretech 1.2 Turbo yang dihasilkan Peugeot telah 2 kali memenangi Anugerah Enjin Terbaik Dunia iaitu pada tahun 2015 dan 2016. Suatu yang mengujakan apabila Peugeot 208 dan 2008 pasaran tempatan kini dilengkapi dengan enjin canggih 3 silinder tersebut. Kedua-dua model sebelum ini menggunakan enjin 1.6 aspirasi normal (N/A) empat silinder.

Bukan sahaja dilengkapi enjin baharu, kedua-dua model turut didatangkan dengan beberapa perubahan seperti transmisi 6 kelajuan automatik dengan tukaran pantas, sistem hidup/henti automatik, skrin HD 7″ warna dan beberapa perubahan kosmetik lain. Harga Peugeot 2008 Puretech juga lebih rendah dari model sebelum ini.

Nadi kuasa

Enjin Puretech 1.2L Turbo pada model 208 dan 2008 berkuasa 112 ps dengan tork yang tinggi untuk sesarannya iaitu 205 Nm. Menariknya, walaupun dengan output kuasa tersebut penggunaan minyak mengikut spesifikasi di atas kertas ialah hanya 4.2L untuk perjalanan sejauh 100km. Menurut Nasim Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi kenderaan Peugeot, pemilik dapat menjimatkan wang untuk petrol sebanyak RM600 setahun berbanding kereta yang berada dalam segmen sama.

peugeot-208-2008-2017-08

Luaran

Peugeot 208 Puretech menerima beberapa perubahan kosmetik antaranya rim 16 inci baharu, bampar depan dengan jeriji yang lebih panjang dan kemasan krom yang lebih besar, lampu utama baharu dan lampu belakang dengan reka bentuk 3D serta nyalaan LED. Gayaan baharu menampakkan 208 lebih garang, menyerlah dan maskular.

Peugeot 2008 Puretech pula dilengkapi jeriji baharu dengan corak vertikal dan logo Singa di tengah-tengah grid. Rim yang digunakan pula bersaiz 17 inci dengan nama Hydre Antra yang berwarna dua tona. Peralatan baharu lain ialah lampu DRL LED, lampu kabus dengan bantuan nyalaan selekoh dan lampu belakang 3D.

Peugeot 208 Puretech mempunyai enam opsyen warna iaitu Digital White, Virtual Blue, Nera Black, Atomic Orang, Rouge Red dan Aluminium.

Peugeot 2008 Puretech pula ada empat pilihan warna iaitu Digital White, Ultimate Red, Emerald dan Artense Grey.

peugeot-208-dan-2008-2017-04

Dalaman

Kecemerlangan Peugeot 208 dan 2008 bukan setakat enjin sahaja malah rekaan dalamannya turut memenangi anugerah Interior Paling Cantik di Festival Tahunan Automobil Antarabangsa ke 29. Interior yang dikenali sebagai i-Cockpit itu tampak kemas dan seperti mempelawa pemandu dan penumpang untuk masuk ke dalam menikmatinya. Baharu untuk kedua-dua model ini ialah skrin warna definisi tinggi (HD) dengan saiz 7 inci yang meletakkan pelbagai kawalan fungsi kenderaan pada hujung jari. Terus menyenangkan pemandu ialah paparan meter (head up display) pada cermin depan tanpa perlu mengalihkan pandangan.

Peralatan lain yang dilengkapi ialah sistem audio 3D Arkhamys dengan 6 pembesar suara, sambungan digital USB dan Bluetooth, kawalan suhu penyaman udara dua zon melalui skrin sentuh dan bumbung panorama dengan nyalaan LED untuk model 2008 Puretech.

peugeot-208-dan-2008-2017-02

Keselamatan

Kedua-dua model 208 dan 2008 Puretech menerima skor lima bintang Euro NCAP. Model baharu ini dilengkapi enam beg udara, ESP, ABS, EBD, Emergency Brake Assist (EBA), Anti-Skid Regulation (ASR) dan Dynamic Stability Control (DSC), HSA, poin ISOFIX, tali pinggang keledar pra tegangan dengan had bebanan dan penggera audio. Kerangka kedua-dua model juga kukuh melalui penggunaan besi dengan kekuatan sangat tinggi (Very High Strength Steel).

Waranti

Peugeot 208 dan 2008 Puretech dibekalkan jaminan selama 5 tahun atau perbatuan 120 ribu km yang mana dahulu. Nasim turut memberikan bantuan sisi jalan selama 3 tahun, akses eksklusif di Peugeot Lounge Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege untuk kesenangan dan pengalaman terbaik pelanggan.

peugeot-208-dan-2008-2017-06

Harga

Peugeot 208 Puretech dipasarkan pada harga RM89,888 manakala Peugeot 2008 Puretech pula berharga RM109,888. Untuk perbandingan dengan model sebelum ini, harga Peugeot 208 Puretech meningkat sebanyak RM4,000 manakala Peugeot 2008 Puretech pula RM10,000 lebih murah.

Nasim Sdn Bhd mensasarkan untuk menjual sebanyak 2,500 unit kenderaan untuk tahun 2017 di mana sebanyak 44% atau 1,100 unit disumbangkan oleh Peugeot 208 dan 2008 Puretech.

Untuk makluman, Peugeot 208 varian 2 pintu tidak ditawarkan lagi namun ada berita baik untuk mereka yang gemarkan varian sport. Peugeot 208 GTi 1.6 THP wajah baharu bakal dipasarkan semula di Malaysia dan kini dengan output kuasa yang lebih tinggi!

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.