Perodua Global Berjaya Hasilkan 250,000 Axia dan Bezza sejak Ogos 2014

Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB), kilang pembuatan kenderaan tercanggih di bawah kumpulan Perodua, telah berjaya mengeluarkan 250,000 unit kenderaan baru-baru ini sejak ia mula beroperasi pada Ogos 2014.

Daripada jumlah 250,000 itu, 85% ialah model Axia (sejak Ogos 2014) manakala 15% adalah Bezza (sejak Jun 2016).

“Ini merupakan satu pencapaian bersejarah bagi seluruh kumpulan Perodua kerana warga kerja PGMSB telah bekerja keras untuk memastikan bahawa pesanan pelanggan kami dapat diserahkan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, YBhg Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Untuk 10 bulan pertama tahun ini, Perodua telah menjual sebanyak 167,000 kenderaan dengan jumlah peratus bagi model kenderaan Axia sebanyak 44.2%  diikuti dengan Myvi sebanyak 24.9%, Alza 17.3% dan Bezza 13.6% (sejak 21 Julai 2016).

Mengenai model keluaran terbaru iaitu Bezza, Perodua telah menyerahkan lebih 22,000 unit sejak ia dilancarkan Julai lalu dan waktu menunggu bagi model ini ialah kurang dari 2 minggu selepas urusan pinjaman kenderaan diluluskan oleh institusi kewangan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sokongan mereka dan kami akan terus meningkatkan lagi operasi kami untuk memastikan para pelanggan mendapat produk dan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Aminar berkata, Perodua kini sedang memaksimumkan penghantaran semua pesanan pelanggan sejajar dengan ikrar Perodua untuk menjadi pengeluar kereta kompak yang dapat menyerahkan kenderaan kepada pelanggan tepat pada masanya.

“Selain itu, kami juga sedang menjalankan beberapa kempen jualan kepada orang ramai. Sila lawati bilik pameran Perodua yang terdekat dan bertemu dengan wakil jualan kami yang sah untuk maklumat lanjut, ” katanya.

Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB) ditubuhkan pada 26 Februari 2013 merupakan inisiatif Perodua untuk menjadi jenama automotif berdaya saing di peringkat global dan merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi Perodua.

Kilang PGMSB juga diperakui sebagai cekap tenaga oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana menggunakan tenaga yang minimum serta bahan kimia yang mesra alam.

PGMSB mempunyai 2,150 kakitangan dan mampu menghasilkan 200,000 unit kenderaan setahun dengan dua syif kitaran kerja.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.