Perodua Aruz Dibuka Untuk Tempahan, Harga Anggaran Daripada RM72,200

Perodua Aruz, Kenderaan Sport Utiliti (SUV) tiga-barisan tujuh-tempat duduk kini dibuka untuk tempahan dengan anggaran harga antara RM72,200 dan RM77,200 (harga atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia).

Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance dengan lima warna pilihan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu, Amazon Green.

“Perodua Aruz adalah model transformasi keempat kami yang menetapkan piawaian baharu dari sudut kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan – yang mana ianya telah diperakui dengan penarafan keselamatan 5-bintang oleh ASEAN NCAP.

“Dengan pelbagai aspek yang dipertingkatkan, Perodua Aruz adalah antara SUV  yang menawarkan nilai terbaik di Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad, sambil menambah bahawa kenderaan tersebut dilengkapi dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

5-Bintang ASEAN NCAP dan ASA 2.0

Turut menyumbang kepada penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP bagi model baharu ini adalah ciri-ciri seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula-Daki (HSA), ISOFIX dan enam beg udara. Semua ciri-ciri tersebut terdapat pada semua varian.

“Perodua Aruz dijangka melengkapkan barisan produk kami yang sedia ada dan berdasarkan pakej produk yang ditawarkan, kami mensasarkan jualan purata bulanan sebanyak 2,500 unit atau 31,200 unit untuk tahun 2019,” tambah Dato’ Zainal.

Aruz Advance tampil dengan sistem bantuan pemanduan selamat (ASA) yang telah dipertingkatkan, dipanggil ASA 2.0.

ASA adalah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran dan bukan gantian kepada pemanduan selamat.

Ciri-ciri baharu ASA 2.0 adalah pengesan pejalan kaki sehingga 50 km/j dan kelajuan operasi yang ditingkatkan sehingga 100 km/j untuk Amaran Pra-Pelanggaran dan 80 km/j untuk sistem Brek Pra-Pelanggaran.

Sistem keselamatan ini juga menggabungkan Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (Front Departure Alert) dan Kawalan Kesilapan Menekan Pedal (Pedal Misoperation Control).

“Perodua Aruz amat sesuai untuk keluarga dan mereka yang mempunyai gaya hidup yang aktif dan beraspirasi. Posisi tempat duduk yang tinggi memberikan penglihatan yang baik ketika memandu, manakala ruang yang luas dan susunan tempat duduk yang fleksibel menjadikan model ini serba boleh dan boleh disesuaikan dengan apa-apa aktiviti yang anda ingin lakukan,” kata Dato’ Zainal.

Enjin 1.5L Dual VVT-i dan transmisi E-AT 4 kelajuan

Nadikuasa yang cekap untuk Perodua Aruz dibina di Sendayan, Negeri Sembilan, terdiri daripada enjin empat silinder 1.5 liter blok aluminium dengan Dual VVT-i dan transmisi automatik yang dikawal secara elektronik (E-AT).

Ianya digabungkan dengan Sistem Melahu Eko (Eco Idle) untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l dan membolehkan ia diiktiraf oleh kerajaan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Kelengkapan moden

Memaparkan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me-Home (lampu auto pada varian Advance), Perodua Aruz juga diggayakan dengan rim aloi dwi-tona berukuran 17-inci, dengan ketinggian 220 mm dari aras tanah.

Akses Pintar dengan Butang Mula/Henti Enjin adalah standard untuk semua varian, manakala untuk varian Advance, lampu kabus dan rel bumbung ditambah untuk memberikan gaya yang lebih kepada varian tersebut.

Bahagian dalaman menyerlahkan lagi fungsi, gaya dan praktikal, di mana model ini turut dilengkapi dengan cangkuk anti-ragut untuk menghalang kecurian dan cangkuk utiliti di bahagian belakang kerusi.

Semua varian dilengkapi radio skrin sesentuh dengan paparan kamera undur, penghawa dingin digital dengan dua tetapan memori, corong penyaman udara untuk penumpang belakang dan alat pembaca kad tol terbina dalam.

Tiga barisan tempat duduk

Barisan tempat duduk kedua dibahagi 60:40, manakala barisan ketiga 50:50. Kedua-dua barisan tempat duduk ini boleh dilaras, dilipat dan digolek, menghasilkan banyak ruang dan konfigurasi untuk memenuhi setiap acara dan gaya hidup. Terdapat port pengecasan untuk ketiga-tiga barisan tempat duduk.

Bahagian dalaman untuk varian Advance adalah lebih eksklusif dengan kemasan kerusi kulit, stereng yang dibalut kulit dengan kawalan terima panggilan, serta perakam video memandu bersepadu. Varian teratas juga turut dilengkapi dengan HDMI, Smart Link, Bluetooth dan navigasi yang mana ditambah ke dalam sistem skrin sesentuh.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.