Juara bertahan Perlumbaan Sepang 1000KM (S1K), Pasukan Honda Malaysia Racing (HMRT) bakal menggunakan dua kereta baharu iaitu Honda Jazz dan City buat pertama kali pada perlumbaan S1K pada bulan Disember depan. Kedua-dua model itu baru diperkenalkan di Malaysia pada tahun ini.
HMRT melangkah setapak lagi di dalam menguji mantra “Semangat Mencabar” dengan pengenalan dua kereta lumba ini selepas berada di tempat pertama dan tempat kesembilan pada perlumbaan tahun lepas menggunakan dua buah Honda Jazz generasi kedua. Honda Jazz baharu akan dikenali sebagai kereta 26 manakala City dikenali sebagai kereta 27.
Mengulas mengenai dua buah kereta lumba tersebut, Pengarah HMRT, Encik Akkbar Danial berkata, “Pasukan telah bekerja keras membangunkan kedua-dua buah kereta sejak bulan Mac lagi. Kami membuat keputusan untuk menggunakan City buat kali pertama tahun ini kerana ianya mematuhi syarat-syarat kelas 1600cc. City juga menggunakan platform yang sama dengan Jazz baharu yang sesuai untuk dijadikan kereta lumba dengan beberapa modifikasi terutama sekali pada suspensi.”
Jazz dan City baharu mempunyai platform yang direka dengan baik dan chasis yang seimbang seterusnya membolehkan pasukan untuk mengubahsuai kereta supaya lebih sesuai dan untuk pembelokan yang lebih baik. Pasukan telah mereka bentuk ball joint khas untuk melaras roll center dan bump steer supaya kereta lebih senang dikendalikan. Selain dari itu, pasukan juga telah menanggalkan beberapa peralatan dalaman untuk meringankan berat kereta yang kini hanya 1030kg.
“Pasukan telah banyak menimba pengalaman dan pengetahuan di dalam dua perlumbaan sebelum ini di dalam membina Jazz untuk S1K. Saya yakin dengan azam yang tinggi untuk mencabar had kemampuan kami, pasukan mampu untuk menjadikan Jazz dan City sebagai jentera perlumbaan unggul pada perlumbaan bulan depan.” tambah Encik Akkbar.
HMRT terdiri dari 42 rakan kerja Honda tempatan yang bekerja sepenuh masa dengan Honda Malaysia. Setiap ahli pasukan komited dalam mencapai kejayaan di dalam sukan permotoran dan berusaha keras untuk mengatasi halangan yang timbul berdasarkan mantra Semangat Mencabar.
Cabaran HMRT akan diteruskan dengan pemandu setia iaitu Eddie Lew, Aaron Lim dan Farriz Fauzy. Ketiga-tiga pemandu mempunyai pengalaman terkumpul melebihi sepuluh tahun di dalam perlumbaan dan telah dua tahun bersama untuk perlumbaan S1K. Seorang lagi pemandu HMRT akan diumumkan kemudian.
“Objektif HMRT ialah untuk menambah baik pengetahuan teknikal dan kemahiran rakan kerja Honda melalui penglibatan di dalam dunia perlumbaan. Honda Malaysia akan meneruskan komitmen di dalam aktiviti perlumbaan dan menyumbang sumber dan sokongan penuh kepada HMRT untuk mengukuhkan kedudukan jenama di dalam litar lumba tempatan dan berkongsi keterujaannya dengan rakyat Malaysia,” tambah Encik Akkbar.