Selepas memandu uji Volvo S60 T6 baru-baru ini saya diberi peluang untuk memandu uji XC60 T6, SUV yang banyak menarik perhatian dengan rekabentuk baharu dan segar dari Volvo. Sehingga hari ini, XC60 tetap kelihatan unik dan elegan dengan rekabentuk lembut yang merubah rekabentuk berkotak Volvo. Bukan setakat unik di dalam barisan produk Volvo malah di antara pesaing lain. Bandingkan model ini dengan BMW X3 atau Audi Q5 dan mungkin anda nampak apa yang saya cuba maksudkan. Walaupun kedua-dua model itu telah menerima produk gantian namun XC60 tetap berbeza dengan gayaan tersendiri.
Luaran
Satu fakta yang menarik apabila XC60 telah berada di pasaran global sejak tahun 2008. Genap 2 tahun lagi model ini akan berusia 10 tahun dan rekabentuknya sehingga kini kekal elegan dan relevan. Di dalam merekabentuk produk, terdapat satu falsafah atau ciri yang dipegang pereka iaitu timeless atau tidak luput masa. Gayaan ini banyak diaplikasikan pada produk keluaran Eropah dan anda boleh lihat perbezaan yang jelas di antara benua tersebut dengan negara Jepun misalnya. Produk keluaran Eropah lebih bersahaja dan adakalanya membosankan berbanding Honda, Nissan, Toyota dan Lexus yang lebih berani, mencabar falsafah dan bersifat revolusi. Aspek ini jelas boleh diperhatikan pada rekaan terkini Lexus dan Toyota yang sudah seperti robot di dalam filem animasi.
Satu lagi contoh tipikal ialah rekaan perabot IKEA, saya tidak mahu mengulangi contoh yang sudah diulang oleh penerbitan lain atau biasa di sebut di dalam artikel Volvo tetapi faktanya begitu. Rekaannya sesuai di dalam pelbagai keadaan sama ada anda suka menggayakan kediaman, pejabat atau premis perniagaan melalui konsep moden, klasik atau tanpa apa falsafah sekali pun. Rekabentuknya sebati di dalam banyak keadaan serta di zaman berbeza yang mendefinisikan rekaan tidak luput masa.
Jadi, apabila anda mempunyai sebuah kereta yang sudah pun 8 tahun di pasaran dan masih kekal relevan dan anggun boleh dikatakan anda adalah seorang pereka yang hebat. Daripada segi kewangan pula, syarikat dapat menjimatkan banyak wang dari dilaburkan untuk produk baharu setiap kitaran penuh yang biasanya mengambil tempoh 6 atau 5 tahun. Saiz pasaran global Volvo yang kecil pula menjadikannya lebih kreatif untuk bersaing dan ini berjaya dijelmakan pada XC60.
Permukaan badan SUV ini dibentuk lembut dengan garisan karakter pada sisi kenderaan. Paling menyerlah ialah bagaimana tingkap dan garis bahu menuruni secara sopan dari belakang hingga ke pintu depan dengan bergaya. Gabungan lampu dan bonet belakang yang merupakan identiti Volvo pula memprovokasi minda dan menarik perhatian untuk ditenung lama. Kontra dengan bahagian belakang, wajah depan XC60 lebih ringkas dan tidak seagresif pesaing seperti Audi, BMW atau Lexus. Wajah depan XC60 lebih garang jika membawa imej XC90 baharu dengan bukaan gril yang besar dan lampu utama tukul Thor.
Dalaman
Bahagian dalaman XC60 T6 tidak banyak berubah berbanding model sebelum kecuali meter Adaptive Digital Display (ADD) yang mempunyai tiga mode iaitu Eco, Elegance dan Perfomance. Meter ADD ini tidak mempunyai jarum analog seperti kereta kebanyakan dan menggunakan teknologi digital sepenuhnya seperti paparan telefon pintar atau skrin komputer. Papan pemuka XC60 menggunakan konsep minimalis dan ringkas dengan konsol pemuka terapung seperti sebuah tablet. Bahagian belakangnya mempunyai ruang simpanan untuk barangan kecil seperti telefon bimbit atau unit Smart Tag. Sistem multimedia pula canggih dengan skrin 7 inci yang mempunyai fungsi pemain DVD dan MP3. Sistem itu turut dilengkapi fungsi navigasi serta Sensus Connect High Performance audio system dengan 8 pembesar suara yang digabungkan amplifier 4x45W.
Sistem penyaman udara XC60 T6 bukan setakat mendinginkan udara dalaman sahaja tetapi mempunyai fungsi yang lebih canggih. Sistem itu dilengkapi Electronic Climate Control (ECC), Interior Air Quality System (IAQS) dengan multi active filter and sensor dan Clean Zone Interior Package bagi memastikan udara sihat dan berkualiti untuk pemandu dan penumpang. Bahagian belakang dinyamankan melalui corong pada tiang B dan bukan pada belakang konsol perehat lengan seperti kebanyakan kereta lain.
Kerusi pemandu dan penumpang depan pula boleh dikawal secara elektrik. Kedua-dua kerusi binaan Volvo ini memang terkenal selesa dan menyokong kontur badan. Kerusi belakang pula walaupun dengan jumlah ruang yang agak selesa terasa sedikit kecil berbanding Volvo S60 yang saya pandu uji baru-baru ini. Kerusi belakang sedan itu rasa lebih selesa berbanding SUV ini cuma sebagai bonus pelapik duduk dipasangkan bolster yang boleh diangkat supaya lebih tinggi untuk kegunaan kanak-kanak. Selain daripada itu, kerusi belakang boleh dibaring ke depan melalui pisahan 40/20/40 atau tiga lipatan yang terdiri dari bahagian tengah atau sisi kanan dan kiri.
Suasana interior nampak mewah dan kemas dengan tona warna hitam yang dirias dengan selingan krom pada papan pemuka, stereng dan pelapik pintu. Untuk memudahkan pengisian barang, bonet belakang boleh dibuka dan ditutup melalui kawalan elektrik.
Sistem Keselamatan
Di antara sebab utama pembelian Volvo ialah bagaimana kenderaannya dikaitkan dengan sistem keselamatan. Ianya adalah mengenai melindungi keselamatan pemandu dan penumpang melalui pelbagai teknologi keselamatan yang terbina di dalam kereta keluaran mereka. Kemewahan Volvo terletak pada spesifikasi keselamatan yang tidak semuanya dilengkapi pada kereta premium lain terutama sekali untuk pasaran tempatan.
XC60 T6 dilengkapi dengan pelbagai akronim keselamatan seperti ABS, EBD, Hydraulic Brake Assist (HBA), Ready Alert Brake (RAB), Fading Brake Support (FBS) dan Roll Stability Assist. Kesemua itu untuk teknologi pemberhentian serta pengendalian dan tidak termasuk pelbagai lagi ciri canggih seperti Adaptive Cruise Control yang berupaya untuk mengikuti kereta depan dan memperlahankan kelajuan secara automatik atau terus menghentikan kenderaan apabila ada pejalan kaki atau penunggang basikal yang melintas secara tiba-tiba melalui teknologi radar. Sebelum itu, kereta akan mengeluarkan bunyi amaran melalui sistem Collision Warning untuk objek mendatang. Sistem amaran turut mengawasi pemandu yang mengantuk atau tersasar dari laluan melalui teknologi Driver Alert Control dan Lane Departure Warning. Berbeza dengan S60 T6, SUV ini tidak dilengkapi teknologi Lane Keeping Aid (LKA) yang akan membetulkan stereng secara automatik mengikut laluan sepatutnya. Secara peribadi, saya rasakan LKA lebih bersesuaian untuk dipasangkan pada XC60 yang sememangnya kereta keluarga berbanding S60 yang lebih menjurus kepada kereta sedan berprestasi.
Pengalaman Pemanduan dan Nadi Kuasa
Jujurnya saya mempunyai jangkaan tinggi untuk memandu uji XC60 T6 susulan pandu uji S60 T6 dengan prestasi enjin mengagumkan. Sama seperti kereta sedan itu, XC60 dilengkapi nadi kuasa baharu Drive-E dengan transmisi 8 kelajuan automatik. Di atas kertas, SUV ini berkuasa 306hp dengan 400Nm yang dibekalkan oleh dua jantung utama iaitu supercaj dan pengecas turbo pada enjin bersesaran 1969 cc. Angka dan kombinasi itu mengujakan ditambah pula kesemua kuasa disalurkan pada dua roda hadapan sahaja tanpa pacuan pada kesemua roda. Tetapi kuasa sedia ada tidak diserakkan semuanya dan pemanduan terasa sopan dan tidak segah S60 T6. Mungkin saya tersilap jangka sedangkan ini adalah sebuah SUV dan bukan kereta sedan. Saiz yang tinggi dan hanya dua pacuan roda mungkin menghadkan prestasi maksimum SUV ini. Terasa benar kuasa lebih memberat pada roda hadapan dan lebih asyik dan engaging jika keempat-empat roda disalurkan kuasa supaya lebih melekat di atas jalan raya. Dengan angka kuasa yang besar dan hanya pacuan dua roda, tim jurutera menyiapkan XC60 dengan teknologi Dynamic Stability and Traction Control (DSTC) by Torque Vectoring. Angka sebesar itu bukanlah perkara yang boleh dipandang biasa dan melalui teknologi tersebut, XC60 diselia secara elektronik untuk melepasi selekoh tanpa understeer dan kekal pada laluan sepatutnya.
Talaan suspensi XC60 menjalankan tugas yang diberi supaya pemandu dan penumpang selesa dan menyerap hentak dengan baik. Teknologi Adaptive Cruise Control pula merupakan fungsi yang menyenangkan dan apabila sudah terbiasa, pemandu tidak perlu meletakkan kaki pada pedal minyak atau brek semasa memandu dan hanya perlu memahirkan diri menggunakan suis kawalan Cruise Control yang terletak pada jari sebelah kiri stereng. Untuk pemanduan ekonomikal, XC60 ini dilengkapi Eco Mode dan juga Auto Start/Stop yang berupaya menghentikan operasi enjin di dalam keadaan melahu. Sama seperti S60 T6, kamera undur tidak dibekalkan sebagai kelengkapan standard dan sebagai ganti SUV ini dilengkapi Cross Traffic Alert yang mempunyai jangkauan luas untuk mengesan objek sewaktu keluar dari petak parkir.
Kesimpulan
Setelah 4 hari 3 malam memandu uji XC60 T6 saya berpendapat tim jurutera dan pereka Volvo telah berjaya menyegarkan produk yang sedia bagus ini. Walaupun sudah 8 tahun di pasaran global ianya masih nampak relevan dan kontemporari. Bahagian luaran dan dalaman tidak kalah dengan pesaing lain, penggunaan enjin baharu membuktikan keupayaan kejuruteraan dalaman Volvo di dalam membangunkan enjin sendiri yang canggih malah ekonomikal apabila saya mencatat purata penggunaan petrol RON 95 sebanyak 11.2l/100 km.
Mengenai harga pula, ada berita menarik apabila Volvo Car Malaysia mengumumkan pengurangan dari RM318,888 kepada RM298,888 untuk model ini manakala S60 T6 yang saya pandu uji sebelumnya turun dari RM288,888 kepada RM266,888. Pengurangan harga sebanyak RM20 ribu itu adalah susulan status EEV yang diperolehi untuk kedua model tersebut.
Perbandingan kedua-dua model di atas sengaja dibuat kerana sedan S60 T6 mempunyai beberapa kelebihan seperti kelengkapan dan pemanduan lebih mengasyikkan pada tanda harga yang lebih rendah. Tetapi jika anda memerlukan sebuah SUV yang semestinya mempunyai kelebihan hakiki seperti jarak kelegaan bumi tinggi, ruang pandang lebih luas dan saiz bonet belakang, Volvo XC60 T6 memberi jawapan yang baik.
Faktor utama jualan SUV ini terletak pada harga kompetitif, rekabentuk dan lebih nilai terutama sekali sistem keselamatan jika dibandingkan dengan pesaing lain. Itulah ciri yang membezakan Volvo di dalam pasaran dan apa yang menjadikan Volvo sebagai sebuah Volvo.
*Harga yang dinyatakan ialah di atas jalan termasuk CBP tanpa insurans.