Pandu Uji Volvo XC60: Selamat, Bergaya dan Mewah!

Jika ditanya kebanyakan penggemar kereta mengenai Volvo, saya yakin jawapan mereka ialah sebuah jenama kereta yang selamat. Penjenamaan tersebut memang melekat di dalam minda dan ianya bukan hanya setakat pelaris jualan sahaja. Inovasi keselamatan Volvo bermula sejak berpuluh tahun dahulu yang di antaranya ialah cermin hadapan berlamina, talipinggang keledar 3 poin, zon remuk bahagian depan dan belakang kereta dan paling baharu sekali ialah beg udara untuk pejalan kaki yang dipasangkan pada bahagian luar cermin hadapan. Dengan inovasi tersebut, boleh dikatakan Volvo bukan sahaja mementingkan keselamatan nyawa pemandu dan penumpang bahkan nyawa mereka yang berada di luar kereta. Ini merupakan inovasi besar dalam sejarah keselamatan kenderaan dan diyakini langkah tersebut bakal menjadi turutan pesaing seperti inovasi lain yang telah dicetuskan oleh Volvo. Harus tahu, Volvo tidak mempatenkan ciptaan talipinggang keledar 3 poin supaya kemudahan tersebut dapat dinikmati semua.

Baru-baru ini saya berpeluang memandu uji Volvo XC60 T5 yang merupakan anggota famili siri XC selepas model XC90. XC60 T5 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi Powershift enam kelajuan. Ekstrak kuasa daripada enjin tersebut ialah 240hp dengan 320Nm. Sewaktu mengambil model ini daripada wakil Volvo, saya dimaklumkan bahawa XC60 adalah model tempatan terlaris jenama dari Sweden itu. Di peringkat global pula, katanya XC60 turut menjadi model terlaris sejak tahun 2009. Jualan pada tahun 2011 ialah sebanyak 97,183 unit. Tidak hairan kenapa XC60 begitu laris, sebab utamanya ialah rekabentuk yang beremosi dan menangkap mata. Walaupun rekabentuknya kelihatan lari daripada kebiasaan Volvo hakikatnya apa yang dibuat oleh perekanya ialah dengan mengevolusikan bahasa rekaan sedia ada. Identiti Volvo masih dikekalkan seperti bahu sisi dan rekaan lampu belakang yang diteruskan hingga ke model V40 baharu. Cuma beza ketara di antara bahasa rekaan lama dan baharu ialah lenggokan yang keras kini dilembutkan dan nampak lebih fluid dan seksi. Selain daripada ciri-ciri tersebut, XC60 mempunyai nyalaan lampu belakang yang cantik. Tidak seperti lampu belakang kenderaan lain yang hanya menyala pada satu atau dua kelompok, nyalaan lampu belakang XC60 lebih menarik dengan jaluran dari atas ke bawah yang membentuk satu garisan.

Menjelajah ke dalam interior model ini, saiznya sederhana, kerusi pemandu dan penumpangnya tegap menyokong belakang badan. Cuma jangkaan saya mengenai kerusi belakang agak mengena apabila tahap keselesaannya biasa-biasa sahaja atau boleh dikatakan sebagai tidak empuk ataupun sedikit keras. Saya tidak pasti tetapi kebanyakan kerusi belakang kereta buatan Eropah yang saya cuba sifatnya begitu, boleh jadi tahap keselesaan sedemikian adalah sifat lazim pengeluar di sana. Walaupun begitu, saiz kerusi belakang yang lebar tidak mendatangkan masalah untuk membawa tiga penumpang sekaligus. Memandangkan XC60 bakal dibeli oleh mereka yang berkeluarga, saiz ruang bagasi agak penting. Di atas kertas, kapasiti kargonya ialah 523 liter. Mengikut pengalaman pandu uji peribadi ke Cameron Highland, saiz ruang bagasinya sudah memadai dan cukup untuk membawa beg-beg penumpang, tambahan pula pintu belakang boleh dibuka dan ditutup dengan kawalan automatik seterusnya memudahkan pengguna.

Daripada segi pengalaman pemanduan pula, adalah lebih senang untuk meletakkan sasaran apabila memandu uji sebuah SUV. Walaupun XC60 adalah SUV yang tipikal tinggi namun dinamik pemanduannya bergerak dengan harmoni. Mengejutkan juga apabila XC60 tidak menggunakan pacuan empat roda dan hanya dipacu oleh roda hadapan sahaja. Walau bagaimanapun itu tidak menjadi masalah besar kerana pendakian naik dan turun ke Cameron Highlands tidak membawa masalah. Walaupun hentakan suspensi apabila melalui lopak dan bonggol terasa keras namun secara keseluruhannya SUV itu berasa selesa dan cemerlang membawa penumpang. Kuasa enjin yang disumberkan daripada enjin 2.0 liter turbo pula tidak mengecewakan. Walaupun fizikal XC60 nampak berat namun apabila ditekan pedal minyak terasa seperti memandu kereta sedan biasa, ditambah pula dengan transmisi Powershift terasa seperti setiap band kuasa dapat diekstrak dengan menyeronokkan.

Tidak lengkap jika menulis mengenai Volvo tanpa bercerita mengenai sistem keselamatannya. Dengan pelbagai jargon yang digunakan seperti City Safety, BLIS dan sebagainya tujuannya ialah satu iaitu untuk mengelakkan kenderaan daripada terlibat langsung dengan kemalangan. Sebagai contoh, sistem City Safety berfungsi pada kesesakan jalan raya dengan menghentikan kereta secara automatik dengan kenderaan hadapan dan kemudian akan bergerak semula juga secara automatik jika kenderaan hadapan mula bergerak. Sistem lain ialah amaran pelanggaran dengan laungan bunyi yang agak kuat jika objek hadapan semakin hampir. XC60 juga mempunyai sistem auto cruise yang canggih di mana jika terdapat kenderaan dihadapan, sistem tersebut akan memperlahankan kenderaan yang dipandu mengikut kelajuan kenderaan di hadapan dan kemudian kelajuan akan ditingkatkan semula apabila laluan hadapan bebas daripada kenderaan.

Apa yang saya nyatakan di atas hanyalah secebis sahaja daripada keistimewaan XC60. Secara peribadinya, SUV Volvo tersebut mempunyai pakej lengkap. Rupa yang menarik, enjin berkuasa dan paling penting sekali ciri-ciri keselamatan canggih yang kini baru hendak diikuti oleh pesaing lain. Harga XC60 bermula dari RM300 ribu yang sememangnya berada di dalam kategori premium. Jika dibandingkan dengan model pesaing lain di dalam kategori premium ternyata XC60 mempunyai kelebihan tersendiri, jawapannya ialah ciri-ciri keselamatannya. Sebagai bukti slogan dan kempen yang dilaungkan, janji ditepati.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

3 comments

    • bijaN kazaR & hamsoR on 20/10/2012 at 3:42 PM
    • Reply

    Janji dicapati… parpu Yilek! hehe

    • PoCHI on 24/10/2012 at 6:04 AM
    • Reply

    lol…volvo mmg keresss…skali langgar mau lagi…

    • lateh on 30/10/2012 at 2:13 PM
    • Reply

    pasai pa hampa tak pernah nampak volvo eksiden… jawapannya… keta tu pun jarang2 nampak…

Leave a Reply to latehCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.