Apakah yang menjadikan Proton sebagai sebuah kereta Proton? Lazimnya orang akan kata, ini adalah kereta Malaysia dan sejak Proton mula mengeluarkan produk buatan sendiri bermula dengan Waja, Gen.2, Savvy, Neo, Persona, Saga (BLM, FLX), Exora dan Preve ada sahaja yang tidak kena dan menjadi buah mulut pasaran.
Membangunkan kereta dengan hasil tangan sendiri tanpa bantuan asing yang signifikan bukanlah tugas mudah. Analogi ringkas ialah seperti pelajar yang menghadapi peperiksaan tanpa mengetahui topik tertentu yang bakal diuji oleh pensyarah. Jika apa yang diulangkaji itu ditanya di dalam kertas peperiksaan, anda orang yang bertuah dan jika sebaliknya, anda ada waktu 2 jam untuk tidur di atas meja. Begitu juga Proton, berjuang bersendirian dan mengutip ilmu dan pengalaman di lapangan. Mereka belajar, mencari pengalaman sebagai pedoman untuk kesenangan masa depan. Orang kata, bersusah payah dan berdikari di jalanan, learn the hard way.
Setelah 16 tahun menghasilkan kereta sendiri iaitu Proton Waja, tim kejuruteraan dan pereka semakin menemui rentak di dalam menghasilkan kereta yang diperlukan dan dikehendaki pasaran umum. Jurutera dan pereka yang dahulunya muda belia kini menjadi ‘orang lama’ dan di dada mereka penuh dengan ilmu dan pengalaman. Apa yang mereka miliki itu kini digunakan untuk memimpin dan menyelia generasi jurutera dan pereka muda yang mendefinisikan semula apakah yang dimaksudkan sebagai kenderaan Proton.
Hasil gabungan senior dan orang muda ini sebenarnya nampak ketara pada Proton Iriz lagi. Kereta bandar itu memeriahkan jalan serata Malaysia dengan rekabentuk classy dan berketerampilan yang setidak-tidaknya menafikan pencemaran visual oleh pengeluar asing yang melambakkan kereta Asean atau kereta kos rendah mereka di rantau ini. Pencarian Proton untuk menghasilkan kereta yang sempurna boleh saya katakan dinoktahkan oleh Proton Persona baharu.
Tajuk artikel ini mungkin nampak klise atau berbau seperti advertorial tetapi sebelum itu, di bawah ini ialah LIMA sebab kenapa saya katakan Proton Persona setanding dengan kereta import.
1. Rekabentuk – Tanpa berselindung, iya, Persona baharu diasaskan dari Iriz. Bahkan saiznya adalah sama cuma Persona lebih panjang dengan bonet belakang. Merekabentuk kereta hatchback kepada sedan bukan tugas yang mudah, tersalah buat maka jadilah sebuah kereta yang canggung. Bab ini, Proton memang mahir, lihat saja bagaimana Gen.2 diolah menjadi Persona atau sedan kepada hatchback seperti Preve menjadi Suprima S. Rekabentuknya tidak pelik malah nampak harmoni. Persona baharu juga begitu, ianya tidak nampak seperti Iriz yang disedankan di mana wajah depan disegarkan dengan gayaan baharu. Paling menarik ialah trend terkini dengan bukaan gril bawah yang besar seperti AUDI dimaniskan dengan lirikan seperti misai pada bawah lampu kabus. Bahagian sisi masih mengekalkan bentuk trapezoid pada pintu dan untuk mengelakkan sisi belakang nampak kosong, ditarik satu garisan badan halus yang berjaya merias badan kereta. Bahagian belakang pula kemas dengan garisan krom melintang pada bonet dengan lampu belakang comel membujur seperti buah Avocado.
2. Sistem keselamatan – Kereta Proton dahulu tidak boleh disamakan dengan kereta Proton sekarang. Imej kereta tin Milo langsung tidak boleh dipakai buat masa kini. Tambahan pula piawaian keselamatan tempatan semakin rigid dengan pengenalan ujian pelanggaran ASEAN NCAP. Kereta Proton kini lebih selamat malah ciri-ciri itu sudah mula diterapkan pada Proton Waja, 16 tahun yang lalu. Jika diperhatikan, trend kemalangan ialah sama ada secara berdepan atau terbabas. Menariknya apabila Persona tidak terlalu bergantung kepada sistem bantuan elektronik seperti ESC dan Traction Control untuk mengawal kereta sewaktu kecemasan seperti diselekoh atau pembelokan mengejut. Talaan pengendalian terasa natural seolah-olah sistem bantuan elektronik yang mengambil alih kereta tetapi hakikatnya tidak. Sistem bantuan elektronik atau ESC dan TC hanya mengambil alih di saat genting atau tidak terkawal dan saya pada mulanya tersalah sangka bahawa kereta ini membosankan kerana dikawal oleh sistem elektronik. Selepas berkali-kali mengelilingi litar ujian dan diterangkan oleh jurutera barulah saya sedar bahawa Persona ini begitu stabil dan di dalam kawalan atau in control. Breknya juga bagus, menghentikan kereta di dalam masa yang singkat dan pendek tanpa tersasar atau berdoa di dalam hati bilakah kereta hendak berhenti terutama sekali di dalam situasi brek mengejut. Lebih meyakinkan apabila Persona Premium dilengkapi enam beg udara.
3. Pemanduan dan pengendalian (R&H) – Waja, Gen.2, Persona, Neo dan Savvy mempunyai talaan pengendalian yang boleh dikatakan ‘hardcore’ dan itulah yang mendefinisikan kereta Proton selama ini. Bahagian depan kereta tajam memasuki selekoh mengikut putaran stereng dan arahan pemandu. Bahkan saya juga seronok memandu Iriz tetapi jurutera Proton telah mengelaskan semula model mana yang patut menerima talaan yang lebih tajam dan responsif. Model hatchback seperti Suprima S dan Iriz mempunyai tahap pengendalian yang berbeza dan lebih ‘direct’ manakala model sedan seperti Preve lebih sopan dan tenang. Begitu juga dengan Persona, kereta ini lebih ‘budiman’ sesuai dengan imejnya sebagai sebuah kereta keluarga. Bagaimana Persona bertindak balas sewaktu selekoh boleh dikelaskan sebagai kereta yang berjaya mengharungi tekanan tanpa emosi, kereta ini melakukan tugasnya dengan bersahaja. Namun, diasaskan dari Iriz dengan badan yang tinggi, Persona tidak dapat lari dari terasa terapung-apung sewaktu kelajuan melebihi 100km/j dan sekali lagi tim jurutera melakukan tugas yang berkesan dengan mengurangkan efek itu hasil dari kombinasi talaan suspensi yang mantap menjadikan penumpang kurang ‘gayat’ pada kelajuan 110km/j hingga 120km/j.
4. Keselesaan – Laras duduk pemandu adalah penting kerana di situlah kawalan utama kereta. Sama seperti Iriz, memandu Persona tidak memenatkan, kerusinya tegap dan suis kawalan boleh dicapai dengan mudah. Tiang A tidak menghalang visual di mana pemandu boleh membelok dengan jelas. Chasis dan talaan suspensi yang bagus menyerap hentak gegaran atau lubang yang ‘melintas jalan secara tiba-tiba’ dengan baik tanpa menceroboh ruang dalaman kereta. Kerusi belakang pula diolah semula dan lebih lembut menyerap badan penumpang. Saiz dalaman sederhana, tidak luas dan tidak pula sempit yang memadai untuk dinaiki empat orang dewasa. Cuma penumpang belakang dengan saiz yang tinggi mungkin merasakan perehat kepala terlalu pendek untuk mereka.
Tidak ketinggalan ialah perlumbaan saiz bonet belakang yang besar oleh pengeluar kereta. Di dalam perlumbaan bonet siapa yang lebih besar adalah penting memastikan juga penumpang berasa selesa. Jika bonet sahaja besar tetapi keselesaan penumpang dikompromi lebih baik muatkan sahaja penumpang di dalam bonet. Syukurlah Proton tidak kemaruk dengan permainan ini. Saiz bonet Persona ialah 510 liter yang bukan sahaja jauh terperosok ke dalam malah juga luas secara menegak. Untuk ruang yang lebih besar, kerusi belakang boleh dilipat secara 60:40.
5. Pakejing – Tahukah anda apa yang membuatkan produk Honda bagus dan pembeli tidak ralat untuk memilikinya? Ianya adalah pakejing. Honda tidak bagus di dalam semua perkara malah terdapat ciri-ciri model pesaing yang lebih baik namun apa yang menjadikan Honda pilihan utama ialah bagaimana produk Honda dipakejkan. Proton Persona baharu menanda kesemua kotak untuk menjadikannya sebuah kereta yang lengkap dan sempurna. Jika model kereta Proton dahulu terlalu asyik dengan pemanduan dan pengendalian kini ianya tampil memberi definisi apa yang dimaksudkan dengan kereta yang diperlukan dan dikehendaki pengguna umum. Proton Persona baharu mempunyai rekabentuk yang kontemporari, sistem keselamatan moden yang ditala secara harmoni dengan pemanduan dan pengendalian menjadikannya kereta yang selamat dan selesa untuk pemandu dan penumpang. Persona mewakili definisi baharu pemanduan dan pengendalian Proton yang disebatikan dengan sistem keselamatan moden.
Kesimpulan
Suka juga saya kongsikan kenapa Proton Persona setanding produk import ialah kerana ini kali pertama sejak sekian lama saya berpendapat bahawa produk baharu Proton ini mempunyai segala resepi untuk meneroka dan kembali mewakili negara di pasaran luar. Sebelum ini, mengenali karenah kereta Proton saya agak khuatir produk tersebut hanya akan memberi imej tidak elok jika pemiliknya mempunyai pengalaman negatif. Dengan buku baharu, dipasarkan dengan betul, Persona ini mampu untuk mengisi legasi yang ditinggalkan Saga dan Persona (Wira) di luar negara.
Dengan 5 poin di atas, mungkin ada yang tertanya berapakah harga Proton Persona baharu. Untuk makluman, harga rasmi masih belum didedahkan tambahan pula Proton perlu berhati-hati memandangkan terdapat dua lagi model bakal dilancarkan juga di dalam tahun ini yang menyasarkan kelompok pembeli yang lebih kurang sama iaitu Saga dan MPV kompak Suzuki Ertiga. Harga muktamad bakal diketahui pada 23 Ogos nanti apabila kereta ini dilancarkan dan sebagai indikator, harga Proton Iriz bermula dari RM50 ribu hingga RM60 ribu.
Proton Persona baharu ditawarkan melalui 4 varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Premium SE dengan kit badan penuh. Terdapat dua kategori transmisi yang dipasarkan iaitu manual dan CVT yang dipadankan dengan opsyen enjin tunggal dan terkini iaitu 1.6 VVT.
1 comment
PROTON BARU SAMA TARAF KERETA IMPORT. TAPI MASIH SPEDO METER STANDART LAMA, JIKA IKUT ERA TERKINI METER DIGITAL DAN KITA NAK PROTON HIDUPKAN SEMULA PIKUP SAPERTI PROTON ARENA KESELESAAN BUAT PENGGUNA YANG KINI SIBUK DENGAN PENGGANKUTAN PELBAGAI.