Berdasarkan rekod terbitan nampaknya GearTinggi.com kerap memaparkan pandu uji kereta buatan Nissan. Malah sejumlah artikel berkaitan Nissan juga banyak disiarkan di dalam blog ini. Trend tersebut bukan kerana hubungan istimewa dengan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) melainkan bahan yang mesra media. Harus tahu, ETCM menyediakan siaran media di dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Inggeris dan Cina yang merupakan amalan terpuji dan harus dicontohi firma lain yang gemar benar dengan bahasa Inggeris. Saya tidak pasti sejak bila bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi negara kita. ETCM juga setakat ini proaktif dan reaktif di dalam menyediakan kereta pandu uji. Untuk model Teana misalnya, ini adalah kali ketiga saya memandu uji di mana dua darinya merupakan model generasi kedua (J32) dan yang terkini ialah model baharu Teana generasi ketiga (L33).
Setelah beberapa kali memandu uji produk Nissan, satu perkara sinonim yang dapat saya kaitkan dengan pengeluar dari Jepun ini ialah mereka meletakkan keselesaan pemandu dan penumpang di satu tahap yang tinggi kecuali reka bentuk konservatif pada sesetengah model keluaran mereka. Nissan suka benar bereksperimen dengan reka bentuk, lihat sahaja beberapa model seperti GT-R, Juke, Almera dan Cube. Masing-masing membawa arah sendiri.
Walaupun reka bentuk adalah satu perkara yang subjektif namun jika diletakkan sebaris dengan pesaing lain tidak salah jika dikatakan gayaan Teana nampak lebih berusia berbanding Honda Accord dan Toyota Camry. Jadi apabila Nissan mula-mula mempamerkan Teana baharu di peringkat antarabangsa saya begitu teruja untuk melihatnya di depan mata dan menunggu-nunggu tarikh pelancaran tempatan. Nissan Teana generasi ketiga begitu berbeza, reka bentuknya lain dari model sebelumnya dan nampaknya mampu berdiri megah sebaris pesaing segmen D lain. Bahkan Teana baharu bukan sahaja dipersiapkan untuk bersaing dengan Toyota atau Honda tetapi turut bersedia dalam mempertahankan reputasinya dengan pengeluar dari Korea seperti Hyundai dan Kia.
Nissan Teana baharu masih mengekalkan DNA model terdahulu iaitu saiz badan yang besar. Cuba perhatikan atau berdiri di sebelah kereta ini rasanya susah untuk menafikan saiznya yang besar, kehadiran Teana jelas seolah-olah memberitahu orang ramai bahawa anda sudah pun tiba ke destinasi yang dituju. Berbanding dengan Teana generasi kedua, pereka model baharu telah mengolah semula reka bentuk daripada semata-mata besar kepada besar yang bergaya. Garisan-garisan keras telah dilembutkan dengan lengkukan dan sudut bujur, permukaan sisi pula lebih beralun manakala fender sisi dan bahagian depan kereta dibentuk mengikut aliran angin. Bahagian belakang yang dahulunya bersegi dan bersahaja diolah semula dan secara keseluruhannya menjadikan Teana sebagai sebuah sedan yang bergaya dan kontemporari.
Saya memilih untuk memandu uji Nissan Teana kerana dua pengalaman sebelum ini merupakan pemilihan yang tepat untuk membawa seisi keluarga dengan selesa. Memandangkan Teana adalah sebuah sedan dan bukannya SUV, kenyataan itu menunjukkan bahawa Teana bukanlah sekadar kereta eksekutif biasa tambahan pula destinasi kali ini ke Pulau Pinang selama tiga hari dua malam dengan jarak perjalanan melebihi 750 km.
Setibanya saya di ibu pejabat ETCM di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, Nissan Teana 2.0 XL berwarna Storm Blue sudah pun tersedia. ETCM menawarkan tiga varian Nissan Teana kepada pasaran iaitu 2.5XV, 2.0XL dan 2.0XE dengan perbezaan ketara pada kelengkapan elektronik, kemasan dalaman, sistem multimedia dan roda aluminium. Varian XL yang dipandu uji kali ini merupakan spesifikasi tertinggi untuk model bersesaran 2.0 liter yang dipasarkan pada harga RM149,800.
Sewaktu mula melabuhkan badan ke dalam Teana, perkara pertama yang saya perasan ialah suasana dalaman yang serba hitam dan sofistikated. Selain dari itu, reka bentuk dalaman Teana yang dahulunya luas kini secara visual dan fizikal terasa sedikit kecil. Mungkin juga faktor pengalaman memandu uji model lama dan Honda Accord generasi kesembilan yang terkenal dengan saiz dalaman yang mana perbezaan itu turut diakui oleh ahli keluarga saya. Menebus rasa itu ialah reka bentuk, susun atur dan material yang digunakan lebih kemas dan nampak mewah berbanding Teana lama. Seolah-olah berada di dalam kereta premium buatan Eropah dan tidak hairanlah kerana Nissan sendiri mempunyai jenama mewah iaitu Infiniti yang dipasarkan di pasaran antarabangsa termasuk Malaysia.
Suatu yang menggembirakan apabila Nissan tidak terbawa-bawa dengan trend interior hari ini yang didominasi plastik keras yang nampak murah dan cepat kusam. Kebanyakan peralatan Teana seperti papan pemuka dan pelapik pintu menggunakan material lembut (soft touch) yang mewujudkan suasana dan rasa mewah selari dengan segmen dan harganya. Plastik keras masih digunakan tetapi disorokkan pada bahagian kurang sensitif iaitu lokasi yang jarang wujud interaksi di antara pengguna dan peralatan. Sistem multimedia pula dilengkapi dengan pemain cakera padat, sambungan bluetooth dan kamera undur. Grafik multimedia disusun kemas dengan bahasa komunikasi seperti kereta premium dan tidak nampak seperti talaan murah. Cuma agak menggangu apabila panel papan pemuka direka condong ke depan dan memantulkan cahaya matahari ke skrin. Paparan visual undur pula walaupun menjalankan fungsinya tetapi lebih bagus jika diterangkan lagi. Selari dengan trend semasa, Teana baharu turut dilengkapi Paparan ADAD (Advanced Drive Assist Display) bersaiz empat inci dengan warna grafik 3D pada gugusan meter enjin. Fungsi paparan itu tidak dibiarkan dengan bacaan asas sahaja malah boleh dikatakan agak meriah dengan pelbagai fungsi dan talaan.
Mula memandu Nissan Teana saya mengimbas kembali pengalaman dua pandu uji model sebelum ini. Saya ingin merasa bagaimana set suspensi dan kerangka kereta ini menyerap hentakan yang berjaya dilakukan dengan baik oleh Teana generasi kedua. Nampaknya jurutera Nissan telah mengubah status tersebut menjadikan kereta ini lebih keras (firm). Hentakan dan getaran dirasai namun tidaklah setegar kereta sport, ianya tetap Teana yang saya kenali dengan unsur pengasingan di antara hentakan di luar dan keselesaan dalaman. Cuma reaksinya tidak sama seperti Teana generasi kedua yang ibarat sofa bergerak. Kerusi pemandu juga selesa tetapi kontur bahagian peha terasa kecil dan seperti perlukan lebih sokongan dan pautan. Teana baharu dilengkapi kerusi “Berinspirasikan kepada Sifar Graviti” yang membantu mengurangkan beban pada otot dan tulang belakang yang turut menambah baik aliran darah. Fungsi tersebut dikatakan dapat mengurangkan keletihan semasa memandu dalam tempoh yang lama. Selain daripada isu peha, harus diakui saya kurang berasa penat memandu tambahan pula trafik pulang dari Pulau Pinang agak sesak selepas cuti Deepavali dan Awal Muharam. Berehat di belakang juga selesa dengan corong penyaman udara di antara kerusi pemandu dan penumpang sisi. Cuma mungkin penggunaan warna hitam menjadikan suasana terasa kelam dan ruang kaki pula tidak terasa luas seperti Honda Accord. Membawa barangan untuk empat orang dewasa dan satu kanak-kanak pula tidak menjadi masalah dengan ruang kargo sebesar 516 liter. Ciri yang saya gemari pada kereta segmen D.
Dari segi pengendalian pula, Nissan menggunakan teknologi EHPS (Electro-Hydraulic Power Steering). Teknologi tersebut menjadikan stereng ringan untuk dipulas di dalam keadaan statik dan sangat menyenangkan untuk pergerakan masuk-keluar parkir. Stereng memberat semasa kelajuan tinggi dan agak patuh melalui laluan selekoh (corner line) yang di pilih. Cuma seperti model terdahulu, Teana masih terasa ringan semasa kelajuan tinggi dan perlukan lebih mendapan (down force) supaya lebih yakin meluncur laju. Olengan juga terasa agak banyak dan lebih harmoni jika disetarakan dengan ketegaran sistem suspensi yang ditala. Suatu perkara yang harus dipuji ialah peralatan standard merentasi varian bermula dari paling asas hingga tertinggi. Kesemua Teana dilengkapi Ciri AUC (Active Understeer Control) yang menggunakan logik kawalan pintar dan penggerak brek yang responsif untuk mengaktifkan brek pada bahagian dalam roda hadapan ketika mengambil selekoh tajam.
Juga standard ialah VDC (Vehicle Dynamic Control) dan TCS (Traction Control System) untuk membantu pemandu mengawal kereta serta belokan selamat dan lancar di atas jalan yang licin, basah atau berpasir. Selain dari itu kesemua varian Teana dilengkapi enam beg udara SRS selain daripada ABS (Anti-locking Braking System), EBD (Electronic Brakeforce Distribution) dan BA (Brake Assist System) yang membantu pemandu mengawal kenderaan dan di dalam situasi cemas supaya kereta kekal stabil terutama sekali di atas permukaan jalan licin. HSA (Hill Start Assist) turut dipasangkan yang sangat membantu supaya kereta tidak meluncur ke belakang selepas berhenti di atas permukaan curam. Juga harus dipuji ialah bagaimana jurutera akustik berjaya menjadikan kabin Teana begitu senyap. Di mana Honda menggunakan teknologi Active Noise Cancelling (ANC) untuk Accord, Nissan pula secara bersahaja menggunakan material yang menyerap bunyi. Pemandu tidak terasa terganggu manakala penumpang pula dapat berkomunikasi tanpa dipengaruhi bunyi asing dari luar.
Bagi menggerakkan Teana, Nissan masih mengekalkan enjin MR20DE pada varian 2.0XL dan 2.0XE. Enjin empat silinder, 16 injap bersesaran 1,997cc itu menawarkan kuasa maksimum 136hp dan tork 190Nm. Kesemua varian Teana dibekalkan dengan kotak gear XTRONIC CVT generasi baharu di mana 70% bahagian telah direka semula untuk mengurangkan tahap geseran dalaman dengan bentuk keseluruhan yang kini lebih kompak. Teana 2.0 tidak mempunyai masalah jika dipandu di dalam keadaan biasa dan budiman (gentleman) cuma apabila dikerah seperti memotong atau meningkatkan kelajuan terasa enjin MR20DE dan transmisi XCVT berkerja keras dalam mendapatkan kuasa. Pada masa ini saya merindui karakter enjin 2.5 V6 pada model terdahulu. Untuk pemanduan yang lebih ekonomikal, Nissan memasangkan butang Eco yang terus mengubah karakter enjin kepada lebih sedatif. Jika kedua-dua talaan normal dan Eco itu merencatkan keseronokan pemanduan, tekan sahaja butang Sport pada tuil gear yang meningkatkan putaran enjin dan menjadikannya lebih agresif. Dari Teana dengan enjin bersahaja kini bertukar sifat menjadi lebih galak di atas jalan raya.
Dari segi pakej dan nilai keseluruhan ternyata Nissan Teana mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya. Perancang produk ETCM telah melakukan kerja yang baik melalui kelengkapan yang tersedia pada Teana. Maklumlah, persaingan di dalam segmen D sengit sekali. Jika ditanya secara peribadi, saya sendiri berada di dalam keadaan dilema di antara memilih ruang dan keseronokan pemanduan yang ada pada Honda Accord atau pakej keseluruhan Nissan Teana yang nampaknya memberi lebih nilai. Jika dibuat perbandingan dengan model generasi kedua pula, saya rindukan pakej talaan suspensi yang selesa serta ruang luas di mana kedua-dua ciri itu merupakan kelebihan kompetitif Teana berbanding pesaing di dalam segmen. Walau bagaimanapun, reka bentuk luar dan dalam yang cantik dan sofistikated serta penggunaan material yang berkualiti pada model baharu menebus kembali ciri-ciri positif Teana generasi kedua.
Jika anda seorang yang berkira-kira dengan nilai keseluruhan dan tidak mementingkan pemanduan yang jitu, Nissan Teana 2.0XE menawarkan apa yang anda mahu. Pakej keseluruhan menjadikan Teana sebagai pilihan baik tambahan pula dengan gayaan mengikut peredaran masa.
Lokasi: 1926 Heritage Hotel, Pulau Pinang.
@muhd_gt