Pandu Uji Nissan Sylphy 1.8VL

SONY DSC

Persaingan secara amnya merupakan suatu yang positif untuk pengguna. Banyak perkara yang dianggap mustahil dan ajaib sudah berubah 360 darjah. Contoh terdekat ialah bagaimana tiket penerbangan pada satu-satu masa setara dengan tiket pengangkutan darat dan harga komputer riba dan peribadi yang lebih murah dari telefon pintar yang saiznya hanya sebesar tapak tangan. Di dalam konteks industri automotif pula, perebutan pasaran tidak meruntuhkan harga kenderaan kerana impak yang besar pada pengguna dan rantaian perniagaan. Walau bagaimanapun, pengeluar dan pengedar tetap menurunkan harga tetapi di dalam julat yang kecil atau pun menebus kembali dengan menambah nilai dengan meningkatkan kelengkapan dan aksesori standard. Contoh mudah ialah apabila model rupa baru (facelift) Perodua Myvi yang dilengkapi pelbagai aksesori standard berbanding pertama kali diperkenalkan.

Di dalam segmen kenderaan C dan D, persaingan begitu sengit kerana harga dan nilai yang ditawarkan pengeluar Korea Selatan. Pengedar jenama Jepun yang sebelum ini selesa dengan status quo mereka tersentap dan harus menari mengikut rentak. Walaupun jenama Jepun masih memegang takhta namun itu bukanlah jaminan selamanya kerana produk Korea Selatan semakin hari semakin mengujakan. Bayangkan harga sebuah kereta Korea Selatan dengan sejumlah beg udara jauh lebih rendah berbanding kereta Jepun dengan empat atau dua beg udara. Jika tidak kerana pembelian kereta perlu mengambil kira kesan jangka masa panjang ada kemungkinan jenama kenderaan Jepun menerima nasib yang sama seperti pengeluar produk elektronik dan komunikasi yang pernah gah dan kini terumbang-ambing.

SONY DSC

Jika diperhatikan kebelakangan ini, tawaran pengedar kereta Jepun semakin menarik. Edaran Tan Chong Motor (ETCM) misalnya sudah melengkapi model-model baharu mereka dengan kelengkapan keselamatan setara dengan pasaran global. Jika dibuat perbandingan dengan dua lagi jenama seperti Toyota dan Honda anda boleh menilai bagaimana landskap permainan sudah berubah. Syukurlah, perancang produk di ETCM sedar dan mengambil tindakan sewajarnya supaya produk mereka kekal relevan dan tidak menjadi modal maklum balas negatif di media dalam talian.

Baru-baru ini saya diberi peluang memandu uji Nissan Sylphy 1.8VL (B17). Berbeza dengan Sylphy model terdahulu yang mempunyai opsyen enjin 2.0l, model baharu ini hanya dibekalkan enjin 1.8l dengan dua varian sahaja. Model gred VL yang dipandu uji ini dipasarkan pada harga RM125 ribu manakala Sylphy 1.8E pula pada harga RM115 ribu. Perbezaan signifikan di antara kedua-dua model ialah pengurangan kelengkapan pada varian 1.8E seperti sistem kemasukan pintar dengan butang penghidup, kerusi balutan kulit, kamera undur, lampu utama bi-xenon dan kawalan penyaman udara dual-zone. Walaupun begitu, suatu yang menarik dan terpuji apabila kedua-dua varian didatangkan standard dengan sistem kawalan cengkaman dan enam beg udara.

SONY DSC

Dari segi reka bentuk luaran, Sylphy B17 mengulang semula tema pada Nissan Teana. Rekaannya saling tidak tumpah malah seolah-olah Teana bersaiz kecil. Reka bentuk model terdahulu yang agak konvensional dan selamat digantikan dengan permukaan yang lebih dinamik dengan alunan beremosi. Bahagian depannya membujur dan bulat yang kemudiannya diteruskan dengan garis bahu yang beralun dan ditemukan dengan bahagian belakang yang kontras dengan bentuk bersegi. Jelas pereka Sylphy menjelmakan eksperimen mereka di dalam bentuk yang harmoni supaya kekal relevan dan segar untuk jangka masa yang lama.

Jika bahagian luar ibarat Teana, interior Sylphy turut dibayangi oleh model segmen D tersebut. Cuma bezanya ialah saiz yang lebih kecil. Kelihatan pereka dalaman Sylphy berusaha keras untuk bermain dengan dimensi yang diberikan dan secara visualnya nampak sedikit kekangan tetapi masih berpadanan untuk keluarga dengan dua anak kecil. Juga kelihatan plastik keras pada sesetengah bahagian namun boleh dimaafkan kerana ianya sudah menjadi standard industri. Kerusi pemandu pula selesa tetapi lebih baik jika disertakan dengan fungsi larasan automatik. Segala butang-butang kawalan pula mudah dicapai dan mesra pengguna melambangkan pengalaman lama yang dimiliki perekanya. Varian Sylphy VL dilengkapkan dengan kamera undur yang ditayangkan pada skrin papan pemuka namun kualiti dan saiznya boleh dipertingkatkan lagi terutama sekali pada waktu malam dan hujan. Setakat ini hanya sistem visual Nissan Elgrand yang berjaya memikat hati. Saiz ruang untuk penumpang belakang pula sederhana dengan kerusi yang boleh dikatakan selesa untuk perjalanan jauh. Bonet belakang pula luas dan boleh memuatkan pelbagai barangan dengan saiz keseluruhan berjumlah 510 liter.

SONY DSC

Memandu kereta untuk pasaran global ini memberikan pengalaman yang bercampur-campur. Sylphy 1.8 bukan dibina untuk berlumba dengan spesifikasi prestasi. Kereta ini dibangunkan untuk kegunaan harian sama ada ke tempat kerja atau membawa famili ke destinasi luar bandar dan ianya menjalankan tugas dengan baik. Menguasakan Sylphy ialah enjin 1.8l MRA8DE berkuasa 129hp dengan tork 191Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT X-Tronic generasi baharu dengan beberapa penambah baikan dalaman. Pengalaman awal memandu Sylphy terasa benar sterengnya mudah dikawal, keluar masuk parkir dengan teknologi EPA begitu menyenangkan. Bunyi enjin pula tenang dan tidak menceroboh masuk ke dalam ruang kabin. Saya menguji prestasi Sylphy di sekitar Lembah Klang dan menuju ke Bagan Lalang, Sepang untuk mengetahui karakternya.

Semasa pedal ditekan kuat, bunyi enjin dan ngauman transmisi terasa benar yang berusaha untuk melontarkan kereta ke depan. Kuasa tambahan pula boleh diperoleh melalui punat butang Sport pada tuil transmisi di mana enjin akan lebih berputar ligat. Rasanya pemain utama di dalam menentukan karakter enjin Sylphy ini ialah transmisi CVT dan pemandu yang mahukan sedikit prestasi lebih gemar jika dipadankan dengan transmisi automatik konvensional seperti kereta segmen C lain. Transmisi CVT X-Tronic memerlukan enjin yang lebih berkuasa supaya dapat menutup sifat melahunya di mana Nissan pernah membuktikannya dengan memadankan dengan enjin 2.5l V6 pada model Teana sebelum ini. Dari segi pengendalian dan pemanduan pula, jurutera Nissan mengubah talaan yang lembut pada model sebelum ini dengan menjadikannya sedikit tegar supaya lebih bersahaja semasa selekoh. Dengan tayar bersaiz 205/50 R17 terasa sedikit hentakan tetapi jenama Continental mencengkam jalan dengan baik dan senyap.

SONY DSC

Nissan Sylphy B17 menepati fungsinya sebagai mode pengangkutan eksekutif muda atau keluarga. Kereta ini mempunyai stail dari luar hingga ke dalam, bonetnya besar dan tiada masalah mengisi bagasi ke luar kota untuk mengembara atau pulang ke kampung. Jenama Nissan pula mempunyai reputasi yang bagus dan penggunaan minyak juga ekonomikal. Pakej keselamatan yang menjadi kelengkapan standard juga menggagumkan untuk segmen ini. Cuma apa yang saya perlukan ialah sedikit keseronokan supaya selari dengan reka bentuknya yang dinamik. Tambahan pula saya memang gemarkan kereta berprestasi dan sporty. Tetapi jika saya berada di dalam pasaran segmen ini boleh jadi saya akan pening memikirkan jenama mana yang hendak dibeli dengan pesaing yang tidak kurang hebatnya.

Secara keseluruhannya, Nissan menawarkan sesuatu yang wajar dan boleh ditimbang secara serius di dalam pasaran segmen C yang kompetitif dan sibuk ini. Jika Nissan Teana terlalu besar untuk anda, Nissan Sylphy sudah memadai dengan harga yang lebih rendah dan merupakan pilihan selamat. Dengan pakej yang dibekalkan, sukar untuk dikatakan bahawa Nissan Sylphy adalah pilihan yang silap kerana ETCM telah memposisikannya dengan betul.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.