Suzuki Swift Sport 2012

Varian berprestasi Suzuki Swift sama ada model lama seperti Cultus GTi atau model baharu seperti Swift Sport tidak pernah gagal untuk menarik perhatian saya. Masih segar dalam fikiran beberapa tahun lepas pengalaman menyaksikan kelajuan Cultus GTi yang ibarat lipas kudung, paling menarik enjin model itu hanyalah bersesaran 1.3 liter. Selepas itu kemasyhuran Cultus GTi terganggu dek kerana akronim GTi sebenarnya adalah milik VW. Hasil perbincangan luar mahkamah Suzuki mengugurkannya dan menggunakan nama GT dan kini model berprestasi Swift lebih selesa menggunakan nama Swift Sport. Jika kelajuan Cultus GTi ibarat lipas kudung, Swift Sport pula membuat saya kagum dengan ciri-ciri keselamatannya, bayangkan sebuah kereta kompak dengan enam beg udara sebagai ciri standard, tidakkah anda akan turut berasa kagum? Berbeza dengan kebanyakan kereta yang dipasarkan di dalam negara dengan hanya dua beg udara.

Baru-baru ini Suzuki telah melancarkan model pengganti Swift Sport yang bakal dijual bermula tahun depan di pasaran terpilih global. Swift Sport adalah model flagship untuk varian Swift yang menawarkan tahap penalaan serta prestasi pengendalian dan pemberhentian lebih tinggi berbanding model standard. Dek kerana ciri-ciri sporty dan praktikaliti hariannya Swift Sport mempunyai ramai peminat sejati di lebih kurang 40 buah negara serata dunia. Swift Sport baharu mempunyai DNA yang sama seperti model sebelumnya cuma kali ini model itu lebih ekonomikal dan mesra alam sekitar bagi memenuhi kehendak semasa. Rekaan luaran Swift Sport adalah refleksi kepada evolusi ke arah rupa yang lebih sporty. Peralatan aerodinamik yang eksklusif untuk Swift Sport baharu mengawal aliran udara, menahan daya angkat dan memberi imej yang lebih rendah ke bumi. Lampu utama jenis High-Intensity Discharge (HID) dengan lapisan warna kelabu metalik serta rekaan lampu kombinasi baru menyerlahkan lagi kedinamikan rekaan luaran model itu.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Wira Angkasa

Perh, sesekali gua bubuh tajuk mengancam macam ni pasti lu orang berasa curiga. Baiklah, untuk yang tahu dan rasanya ramai memang tak tahu, Wira Angkasa adalah merupakan sebuah filem pada tahun 1987 yang dilakon oleh pelakon popular pada zaman itu, Sabree Fadzil, Yusoff Haslam, Aznah Hamid dan juga Noreen Noor. Ianya berkisah tentang dua orang pemuda yang sama-sama masuk Tentera Udara . Perh, itu jam gua rasa cerita ini ada unsur-unsur Top Gun sikit. Kepada anak muda masa kini yang taktau tentang filem ni, gua rasa itu hari Astro ada buat ulang tayang cerita ni. Mungkin lu orang boleh request sama Astro suruh ulang tayang balik.

Ok, berbalik kepada cerita kereta yang gua paparkan ini, kereta ini sekali imbas memang tak nampak macam kereta. Lebih kepada jet pejuang. [Ada seorang brader ni gua terdengar dia sembang mengatakan ini adalah kereta Batman]. Pada perkiraan gua, kereta ini sebenarnya boleh tahan banyak juga dosanya sebab berjaya menipu ramai pengunjung untuk meneka kereta apakah ini. Memang hilang habis identiti asal.

Sewaktu gua membelek bahagian depan kereta, memang gua tak tahu langsung nak kata kereta apa. Kembang sana sini tak tentu hala. Sejengkal jari gua ini pun masih belum tentu menyamai jumlah pengembangan yang berlaku akibat daripada proses luluhawa yang telah terjadi ke atas kereta tersebut. [Gila punya tinggi tatabahasa yang gua guna] Bila gua cuba menjeling sikit bahagian lampu hadapan pun gua masih merasakan bahawa kereta ini memang telah berjaya memperdayakan gua tanpa mengesyaki bahawa kereta ini sebenarnya mempunyai IC tempatan.

 

Belek di bahagian belakang pun gua masih lagi berasa keliru. Pelik sepelik-peliknya. Gua tengok lampu belakang memang payah betul gua nak cam. Gua ingat, suruh jawab soalan SPM subjek Sejarah pun tidaklah sesusah macam ni. Entah mana dapat idea nak bubuh kit badan macam ni punya rupa pun gua tak faham. Tapi itulah dia, bila mana kepala otak berpaksikan kreatif, apa gaya pun boleh jadi. Cuma bila mana gua perhati di bahagian dalam kokpit, barulah gua tersedar akan keturunan sebenar kereta ini.

Untuk pengetahuan lu orang, kereta ini sebenarnya merupakan milik Adams Digital yang dijadikan sebagai kereta demo untuk mempamerkan kehebatan bunyi dodongceng sewaktu HIN itu hari. Dia punya bunyi ngam-ngam untuk mengejutkan orang yang liat bangun Subuh. Untuk pengetahuan lu orang juga, untuk membuka bonet dibahagian belakang tidaklah mudah di mana tenaga 3 orang jejaka yang gagah perkasa diperlukan. Memang berat.

Er, rasanya gua macam takde idea macam mana nak habiskan entri ni. Nak buat kesimpulan pun macam tak berapa nak reti. Hujung-hujung tahun ni kepala otak memang ada rasa tepu sikit. Jadi, lu orang silalah nak komen apa benda yang patut dikomen. Sekian, terima kasih.

-C27-

 

Silakan kongsi:

SUBARU BRZ: Boxer Engine, Rear Wheel Drive, Zenith

Subaru pada Pameran Kereta Tokyo baru-baru ini telah melancarkan model sport yang ditunggu ramai iaitu BRZ. Berkuasa 200PS dan tork maksimum 151lb/ft untuk kereta dengan berat 1,220kg, BRZ adalah kereta yang direka untuk pemanduan yang menyeronokkan. Antara formula keseronokan tersebut ialah dengan capaian graviti serendah mungkin. BRZ sebenarnya adalah projek usaha sama dengan Toyota di mana model itu turut dizahirkan dengan dua lagi kembar iaitu Toyota GT86 dan Scion FRS. Memandangkan projek itu secara langsung melibatkan Toyota yang pakar dalam bisnes kejuruteraan maka tidak hairanlah ianya berkongsi tiga jenama bagi meraih skala ekonomi. Sekali pandang ketiga-tiga model itu seolah-olah hanya melibatkan pertukaran lencana sahaja.

Subaru BRZ direka dan dibangunkan sejak dari awal lagi untuk menjadikannya sebuah kereta yang seronok untuk dipandu dengan pengendalian yang mantap di samping ciri-ciri lazim Toyota iaitu boleh dipercayai dan selamat. Pakejing enjin yang dibuat secara berhati-hati membolehkan enjin Boxer yang terkenal sebagai trademark Subaru itu dipasang rendah. Disekalikan dengan casis yang ringan serta material pembinaan yang ringan menjadikan BRZ mempunyai karakter pengendalian yang bagus. Enjin aspirasi normal (N/A) yang dipasang rendah itu menjadikan kereta tampak rendah dan lebar dengan ukuran tingginya 1,300mm manakala dan lebarnya 1,775mm. Walau bagaimanapun, kata Subaru ruang bonetnya masih selesa, memadai untuk pemanduan hujung minggu dan pemanduan harian.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Subsidi Minyak Bulan Disember 2011

Ini adalah entri bergambar.

Cuti panjang pergi berjalan,

Pergi berjalan jangan lupa beli buah tangan.

Pulang nanti boleh dikirim sama Matpon.

Sekian dan selamat bercuti.

-Matpon-

Silakan kongsi:

Pandu Uji Singkat: Proton Exora Bold

Sudah terang lagi bersuluh, Proton dah pun selamat melancarkan enjin Campro CFE melalui Proton Exora Bold/Prime. Gua rasa ini adalah pencapaian yang tinggi dan sangat bagus untuk industri automotif lokal. Pencapaian tersebut patut dipuji dan gua rasa lu orang pun patut tumpang sekaki dengan gua puji sekali. Sudah terang lagi bersuluh ada juga daripada kita yang terlampau suka sangat mengutuk, menghina dan mengeji Proton. Gua pun tak kisah kalau ada yang macam tu cuma gua nak kata, tersalah kutuk akan menunjukkan setakat mana sahaja ilmu dan luas pengetahuan dalam bidang automotif. Senang kata, salah kutuk akan buat kita nampak bangang, paling dahsyat kita tak sedar yang kita dok tau mende.

Sebenarnya gua nak cerita pasal pengalaman pandu uji singkat (PAS) hari Ahad lepas. Kebelakangan ini gua agak sibuk dan banyak juga pelancaran model yang gua tak sempat nak ambil port. Jadinya disebabkan enjin turbo ini dekat di hati maka gua meluangkan masa jugalah untuk pandu uji Exora Bold. Tapi sebenarnya gua tak ada niat pun nak pandu uji, gua nak tengok Exora Prime lebih dekat memandangkan gua minat dengan konfigurasi kerusi kaptennya. Memandangkan Exora Prime hanya ada di Mutiara Damansara maka gua pun pandulah Myvi cap Siam gua ke sana. Lepas parkir sesedap rasa betul-betul depan lorong nak masuk ke bilik pameran gua disambut mesra oleh eksekutif jualan Proton Edar. Kali ini gua tengok dia orang ada skil yang gua suka, iaitu skil profesional. Maknanya tak ada stok cerita yang bangang-bangang macam pelanggan adalah orang yang know nothing about cars. Disebabkan tawaran eksekutif tersebutlah juga gua dapat peluang pandu uji walaupun pada mulanya gua agak 50-50 nak cuba.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

HIN KL 2011

Gua rasa tentu dah ramai yang sedia maklum tentang penganjuran autoshow yang terkemuka, HIN KL 2011 sabtu lepas. Acara ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat-peminat tegar konsep modifikasi yang begitu merindui acara autoshow di dalam dewan seperti mana yang pernah dianjurkan oleh Majalah Kereta beberapa tahun sudah. Acara yang didatangkan khas oleh HIN Indonesia ini sudah tentu memberikan pengalaman yang baru tentang bagaimana autoshow itu sepatutnya dianjurkan. Berdasarkan pengalaman gua sendiri yang pernah menghadiri AutoBlackThrough sebelum ini, ternyata penganjuran HIN KL ini tarafnya hampir sama seperti yang diadakan di Indonesia! [Ramai kru dari Indonesia pak]Walaupun promosi yang dijalankan bolehlah dikatakan sebagai indie sahaja, namun menurut kata Baii yang gua jumpa di pintu masuk mengatakan jumlah pengunjung pada hari Sabtu amatlah memberangsangkan.

Ok, sekarang ni mari gua kongsikan tentang pengalaman gua menghadirinya pada pagi hari Ahad. Gua memang sengaja datang awal pagi, sebab gua percaya orang takkan ramai sangat, jadi senanglah gua nak membelek kereta lama sikit. Untuk memasuki ke dalam stadium, RM20 diperlukan. Kalau ada yang bertanya mahal ke tidak, boleh gua katakan mahal memandangkan keadaan duit  dalam dompet gua yang mengalami keuzuran yang amat sangat. Walaupun kepala otak gua ligat supaya bertanyakan boleh atau tidak sistem barter diguna pakai. Tapi apa benda tah yang gua nak tukar gantikan. Akhirnya gua mengalah jua demi HIN. Gua redha melepaskan duit belanja makan tengahari gua selama seminggu ini. Tapi sebenarnya RM20 tu bolehlah gua katakan agar berbaloi juga sebenarnya memandangkan kualiti penganjuran yang diadakan. Selepas duit RM20 bertukar tangan dengan sekeping poster/kalender 2012 dan juga Majalah HIN edisi lama, gua segera memasuki pintu masuk ke dalam stadium. Hajat dihati nak jugalah beli cenderahati dari HIN KL ni, cuma booth nya bolehlah dikatakan agak miskin juga berbanding dengan ABT yang gua pergi sebelum ni. Tak banyak benda yang boleh gua beli. Gua cuma sambar cap sama langyard. Mujur tukang jual tu tak minta duit Rupiah dengan gua.

Memasuki stadium sahaja, gua dapat perhatikan ruangan pameran kereta memang kosong. Ada beberapa kerat sahaja orang awam. Pengunjung yang sampai awal pagi bolehlah dikatakan jenis Mat Belia yang rajin bangun pagi macam gua. Memandangkan awal-awal pagi ni tak ramai orang, maka sesi mengambil gambar dan membelek kereta boleh dikatakan agak senang juga. Makwe seksi pun jenis tak bangun pagi barangkali. Sekali lagi tugas gua mengambil gambar menjadi lebih mudah. Cuma bila menjelang tengahari, pengunjung dah mula ramai. Nak mengambil gambar kereta pun kadang-kadang terambil gambar betis makwe lalu lalang. Gua delete aja gambar macam tu. Dan waktu-waktu macam inilah, lebih ramai jantan sebenarnya yang sibuk nak mengambil dan bergambar sama dengan makwe seksi tersebut. Entah apa yang seronok sangat pun gua tak faham. Mujur juga Iman gua masih lagi kuat di kala itu, cheewah.

Bahagian dalam stadium antara kereta yang dipamerkan termasuklah empat buah kereta Honda yang terdiri daripada CR-Z, City dengan kit badan melebar tah berapa inci, serta 2 buah Civic [salah satunya Type-R yang digunakan dalam MME]. Kereta Godzilla, R35 pun boleh dikatakan agak bersepah juga. Tiba-tiba gua jadi tak berapa bernafsu dengan R35 ni. Gua lebih tertarik dengan Skyline R34 yang berenjinkan V8 [cover MK sebelum-sebelum ni] dengan warna flat black. Nampak macam tak berapa nak garang, tapi sebenarnya memang garang.

Gua tak pasti kalau pengunjung lain perasan tentang ujian dyno yang dijalankan. Mujur juga gua cepat perasaan dan terus keluar di bahagian penjuru stadium untuk menyaksikan ujian dyno yang dijalankan. Kali ini gua agak bertuah juga sebab ada Evo  betul-betul berada di atas mesin uji dyno. Dia punya pekikan memang gua terpaksa mengalah. Terpampang 817 hp di skrin pada ujian pertama. Gua dapat tengok muka owner dia macam tak puas hati. Barangkali ada yang tidak kena. Tak cukup power orang kata. Setelah puas digodek-godek, ujian dilakukan sekali lagi. Kali ni gua betul-betul berdiri dekat. Perh, gua ingat bunyi jet pejuang pun tak kuat macam ni. Kali ni terpampang pula 896 hp!! Gua fikir kalau jokinya baca Bismillah ke apa, senang-senang kot boleh dapat 900 hp. Di perkarangan parkir dalam stadium ini juga sebenarnya turut dipamerkan kereta-kereta yang hebat. Ada Evo X dengan mount intercooler di bahagian tepi bonet, Imperza v10, Forester STi, DC5, Myvi dengan kit badan ala Kapten Adudu, Hyundai Coupe dan tak lupa juga kereta lagenda, CR-Z!

Oh ya, lupa gua nak kasik tau lu orang. Gua tak pasti sesiapa yang pergi ada perasan atau tidak tentang kehadiran Matpon. Dengar kata, gambar Veyron yang pada bunting HIN ni merupakan milik Matpon.

Gua tahu, tentu ada Sekutu yang tak dapat hadir kerana pelbagai komitmen. Tapi lu orang jangan bimbang,  ini baru permulaan. Kalau takde aral, tahun depan barangkali akan ada HIN bersiri punya, khas untuk Malaysia. Jadi lu orang ada masa untuk mempersiapkan jentera bagi memasuki HIN ini. Teringin juga nak tengok kereta Wira modified masuk kepala R35, belakang kasik masuk DC5. Papan pemuka sahaja kekalkan biar orang senang cam, takdelah krisis identiti sangat.

Sebelum gua membuat kesimpulan, gua ada terbaca dalam forum yang lain mengatakan bahawa HIN KL ni boring dan bosan. Bosan sebab tak ramai makwe seksi katannya. Nak kata sumbu, tak sampai hati pula, tapi sendiri boleh fikir yang dia datang tengok ni adalah autoshow bukannya show yang tak senonoh tu. Dan untuk makluman lu orang, HIN KL ni sebenarnya jauh lebih senonoh daripada KLIMS itu hari. Kesimpulan yang boleh gua buat untuk HIN yang julung kalinya diadakan ini, ianya masih lagi boleh dianggap baik. Bayar RM20 lu orang boleh tengok kereta betul dan kereta mainan [RC] dan tak lupa juga ada konsert Awie [gua dapat tengok diaorang tengah sound check siangnya tu]. Dari segi kualiti kereta yang dipertandingkan tu, gua fikir masih lagi boleh diterima. Keseluruhannya, gua boleh bagi 3 bintang daripada 5 untuk acara yang pertama kali dianjurkan ini. Cuma, kalau dapat beli iklan bubuh dalam siaran tv arus perdana gua fikir sambutannya pasti lagi akan memberangsangkan. Silap-silap mau ada orang meniaga tiket haram.

-C27-

 P/S: Untuk gambar penuh, boleh tengok FB gua – cari nama Rzmin Carragher

Silakan kongsi:

Mazda Taja Donington Park

Memandangkan Mazda agak kurang aktif dalam dunia sukan permotoran arus perdana, salah satu cara untuk menebus kembali agar jenama Mazda ini tidak dilupakan begitu sahaja adalah melalui penajaan. Untuk itu, Mazda telah bersetuju untuk menaja Litar Donington Park sebagai kenderaan rasmi bagi musim 2012. Deretan jenama Mazda seperti Mazda 3, Mazda 6 dan tak lupa juga CX-7 akan dibekalkan untuk kegunaan di litar yang terletak di Midlands.

Kereta jenama Mazda ini akan digunakan sebagai kereta keselamatan, perubatan dan tak lupa juga untuk mengangkut mana-mana Datuk dan Tan Sri  [VIP] Cawangan UK  keluar-masuk di kawasan litar.

Menurut kata Pengarah Mazda UK Graeme Fudge, Litar Donington Park memerlukan kenderaan yang boleh dipercayai dengan pengendalian yang responsif, penggayaan yang sporty serta keupayaan prestasi untuk memandu bagi penggunaan dalam dan di luar trek, yang mana ianya dimiliki oleh kenderaan jenama Mazda.

Selain dari itu, litar ini akan turut dijadikan sebagai trek utama untuk menguji jentera lumba Mazda, MX-5 GT bagi tahun 2012 dimana kereta lumba ini telah bertanding dalam Kejohanan Pengeluaran Britcar Dunlop GTN  bagi musim 2011.

C27-

Sumber: Newspress

Silakan kongsi:

Proton Exora Bold dan Exora Prime

SUBANG JAYA, 15 DISEMBER – Proton Holding Berhad pada hari ini mengumumkan penjualan varian baru MPV pertama Malaysia iaitu Exora yang dilengkapi enjin 1.6 liter Campro Charge Fuel Efficiency (CFE) dengan prestasi yang boleh dibandingkan dengan enjin 2 liter.

Enjin CFE tersebut didatangkan pada varian Exora Bold Premium dan Exora Prime yang turut disertakan dengan transmisi CVT.

“Kombinasi enjin Campro CFE dengan transmisi CVT mejadikan kedua varian itu lebih efisyen dan ekonomikal,” kata Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengarah Urusan Grup Proton Holding Berhad.

Exora Bold turut ditawarkan dengan varian executive dengan enjin 1.6 liter Campro CPS transmisi manual dan automatik. Turut ditawarkan ialah varian standard dengan enjin dan transmisi yang sama.

Exora Prime pula lebih eksklusif dengan hanya enam tempat duduk dan beberapa perkakasan standard lain seperti cermin sisi elektrik boleh lipat, brek cakera belakang, roda aloi 16 inci dan warna baru iaitu Absolute Brown.

Bahagian interior pula didominasi dengan balutan kulit dan dimewahkan lagi dengan panel tengah, panel gear dan corong penyaman udara berwana kayu (walnut). Exora Prime turut dilengkapkan dengan kerusi kapten pada barisan kedua, dua monitor pada perehat kepala dan sistem audio dengan navigasi dan kamera undur.

Sejak dilancarkan pada April 2009, sebanyak 65,049 unit Exora telah terjual dengan 82,854 unit tempahan. Purata jualan sebulan Exora pula ialah sebanyak 1,800 unit dan Proton optimistik untuk mencapai jualan sebanyak 2,000 unit dengan pengenalan varian baru itu.

Exora Bold Premium dan Exora Prime akan mula didaftarkan pada minggu kedua Januari 2012 dan pelanggan yang memandu uji pada 16 – 18 Disember akan menerima cenderamata sempena kempen Proton 4 U Day. Walau bagaimanapun, Exora Prime hanya boleh dilihat dan dipandu uji   di Bilik Pameran Kristal di Juru, Plentong dan Mutiara Damansara.

Klik untuk galeri gambar

Silakan kongsi: