Honda Accord dan Accord Coupe 2013

Honda pada kelmarin telah mendedahkan kepada umum model baharu, Accord Sedan dan Accord Coupe 2013. Dakwa Honda, model baharu itu adalah Accord yang paling berseni dengan interior yang lebih luas dan mewah yang direka untuk kalis masa.

Mengadili daripada set gambar, Accord Sedan lebih kepada penggayaan yang konservatif. Tidak agresif mana seperti Accord terdahulu yang lebih tajam dan berani. Accord baharu ini lebih sesuai kepada pelanggan matang yang mahukan imej sofistikated dan kemas. Tidak meninggalkan imej sporty secara total, Honda menyelamatkan keadaan dengan model Accord Coupe.

Soichiro Honda pernah berkata, “If Honda does not race, there is no Honda”.

Klik untuk lebih gambar dan siaran media rasmi

Silakan kongsi:

Honda Freed S – RM99,800

Seperti yang kita sedia maklum, Honda Freed kurang atau perkataan yang tepat ialah langsung tidak mendapat sambutan. Daripada pemerhatian, lebih ramai akak-akak atau makwe-makwe yang menggalas beg jenama Coach daripada jumlah Freed yang ada di atas jalan raya. Jika ada senarai kereta rare di Malaysia, Freed layak untuk disenaraikan sebaris dengan Hakosuka, Pagani Zonda atau pun Bugatti Veyron.

Boleh jadi faktor utama kegagalan jualan Freed adalah harganya yang tak masuk akal.  Mujur rakyat Malaysia masih lagi rasional dan menggunakan kuasa membeli memilih Toyota Rush, pesaing yang jauh lebih murah.

Kini mereka yang berada di dalam pasaran Toyota Rush mempunyai alternatif baharu. Tidak lain tidak bukan ialah Honda Freed S. Model ini dipasarkan semula dengan harga yang lebih murah iaitu RM99,800. Namun beberapa peralatan ditiadakan antaranya pintu gelongsor automatik yang digantikan secara manual, spoiler bumbung, signal isyarat pada cermin sisi. Pemain cakera padat juga berbeza daripada model Freed sebelum ini.

Suatu yang menggembirakan ialah disebalik pemotongan harga tersebut, Honda mengekalkan peralatan keselamatan seperti dua beg udara, ABS, EBD dan BA.

Klik untuk siaran media rasmi Honda

Silakan kongsi:

Audi RS 3 Sportback: Edisi Terhad Yang Istimewa!

Audi RS 3 Sportback merupakan sebuah kereta yang sangat istimewa. Pada tahun 2011, model itu ditawarkan di dalam edisi terhad iaitu hanya 500 unit sahaja. Dek kerana sambutan yang hangat RS 3 Sportback habis dijual di dalam masa yang singkat. Baru-baru ini, Audi UK mengumumkan semula penjualan model itu sekali lagi, kali ini dengan unit yang lebih terhad, iaitu hanya 250 unit sahaja. Harganya pula sama seperti edisi 2011 iaitu GBP 39,930 (RM194,000).

Audi RS 3 Sportback dikuasakan oleh enjin 2.5 liter dengan pengecas turbo dengan kuasa total 340ps dan 450Nm. Kuasa yang tinggi itu kemudiannya dipisahkan ke atas jalan raya melalui sistem Audi yang terkenal iaitu quattro all-wheel drive. Tenaga dari enjin diselerakkan oleh transmisi tujuh kelajuan klac berkembar S tronic tukaran cepat (rapid fire shifts). Prestasi kelajuan yang dicapai juga impresif iaitu dari pegun hingga 100km/j hanya mengambil masa 4.6 saat manakala kelajuan tertinggi pula ditetapkan melalui kawalan elektronik pada 249km/j.

Walaupun RS 3 Sportback adalah model prestasi namun itu tidak bermakna penggunaan minyak boleh dibiarkan sesuka hati. Prestasi tidak semestinya bermakna enjinnya dahagakan petrol. Oleh itu, bagi mendapatkan penggunaan minyak yang ekonomikal, model itu menggunakan sistem pam minyak (oil pump) berdasarkan permintaan (on demand) dan sistem penjanaan semula (regeneration) tenaga semasa nyahpecutan. Selain daripada itu, material blok enjin yang digunakan adalah daripada jenis vermicular graphite yang lebih kuat dan ringan daripada besi tuang (cast iron). Sayap depan pula menggunakan material gentian kaca yang diperkuatkan dengan polimer. Kedua-dua kaedah pembuatan tersebut adalah antara ciri-ciri yang menyumbang kepada berat badan sebanyak 1575kg dan 216ps untuk setiap tan nisbah kuasa kepada berat.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Team Toyota GB Kembali Berlumba Dengan GT86

Sebuah pasukan yang masyhur di dalam sukan permotoran British akan kembali ke litar perlumbaan pada September ini. Pasukan tersebut ialah Team Toyota GB yang akan bertanding di dalam perlumbaan paling mencabar di UK iaitu Britcar 24 Hours. Paling menarik untuk pasukan yang diberi nafas baharu itu ialah kereta yang akan digunakan iaitu Toyota GT86 yang akan bersaing di dalam kelas Produksi. Rekaan grafik yang digunakan pada GT86 itu mengambil inspirasi daripada AE86 yang bersaing di dalam British Touring Car Champhionship (BTCC) pada pertengahan era 80an.

Kerja-kerja pengubahsuaian GT86 sedang dilakukan di pusat teknikal GPRM di Buckinghamshire, firma yang sama yang mengubahsuai prototaip Toyota Avensis BTCC. Fokus utama pengubahsuaian ialah menjadikan kereta itu sebagai jentera perlumbaan yang kompetitif tetapi pada masa yang sama mengekalkan spesifikasi standard jalanan sebanyak mungkin.

Dua individu GPRM yang bertanggung jawab di dalam projek ini ialah Gary Blackham dan Roger King. Blackham yakin GT86 akan menjadi pesaing yang hebat. Kata Blackham, “Toyota baharu ini mempunyai segala ciri-ciri untuk menjadi kereta lumba yang hebat. Fokus kami ialah untuk meringankan dan menguatkan chasis serta memasang rangka keselamatan, alat keselamatan dan peralatan pengisian minyak pantas. Selain daripada itu, GT86 akan dikekalkan di dalam keadaan standard.

Dikuasakan oleh enjin boxer berkuasa 197bhp, Toyota GT86 adalah gabungan elemen daripada tiga buah model lagenda Toyota iaitu Sports 800, 2000GT dan AE86. Team Toyota GB masyhur pada era 80an dan 90an yang memenangi perlumbaan BTCC dan rali di UK. Penampilan terakhir pasukan ialah pada BTCC 1995 dengan kereta Toyota Carina Es.

Newspress

@muhd_gt

ps: Legend is back.

Silakan kongsi:

Honda HR412E: 1.6 Direct Injection Turbo!

Baru-baru ini Honda telah mengumumkan suatu perkara dan memberi signal yang sangat penting di dalam dunia automotif terutama sekali Honda Freaks seluruh dunia. Pengumuman yang dimaksudkan ialah enjin perlumbaan HR412E yang akan digunakan pada Civic WTCC di dalam FIA World Touring Car Championship.

Dibangunkan di Pusat P&P (R&D) Honda di Tochigi, Jepun, enjin HR412E bersesaran 1.6 liter 4 silinder yang didatangkan dengan pengecas turbo dan suntikan terus. Enjin itu mengikut undang-undang FIA untuk WTCC.

Daisuke Horiuchi, Ketua Projek Pembangunan WTCC di P&P Honda berkata, “Di dalam proses pembangunan teknologi enjin pembakaran dalaman (internal combustion) yang berterusan, kecekapan thermal (suhu) merupakan kunci utama kepada penambah baikan yang mana tidak terkecuali untuk enjin perlumbaan. Enjin HR412E dilahirkan daripada proses itu, dengan sasaran untuk mencapai lebih kecekapan. HR412E adalah simbol generasi baharu enjin perlumbaan daripada Honda. Kesemua jurutera di Pusat P&P di Tochigi bekerja keras untuk membangunkan enjin perlumbaan ini yang akan memberikan driveability yang bagus kepada pemandu kami tanpa kompromi pada puncak prestasi kuasa.

“Kami percaya inovasi yang mendorong kepada enjin yang revolusi ini akan memberi faedah bukan sahaja pada trek perlumbaan bahkan menambah kecekapan enjin normal kami.”

Enjin HR412-E telah dihantar ke bengkel Honda Racing Team JAS di Milan, Itali di mana Civic WTCC dibangunkan dan dengan jayanya melepasi kesemua ujian. Honda Civic WTCC akan dipandu oleh Gabriele Tarquini dan Tiago Monteiro.

Buat permulaan, Honda akan menghantar sebuah kereta dahulu yang dipandu oleh bekas pelumba Formula Satu iaitu Tiago Monteiro yang akan berlumba di dalam tiga perlumbaan bermula di Suzuka pada Oktober nanti. Honda R&D dan Mugen akan memberi sokongan kepada pasukan perlumbaan itu.

Newspress

@muhd_gt

ps: No Racing. No Honda.

Silakan kongsi:

Video: Melambung Langgar Lampu Isyarat

httpv://youtu.be/1liJz8SGxoc

Cerita banyak tak guna der. Di hari Jumaat ni gua nak ingatkan diri gua dan lu orang semua dan lu orang pulak ingatkan member-member pastu pulak member lu ingatkan member-member lampu kuning maknanya standby mambai nak brek bukan tekan lagi minyak macam nampak lampu drag race. Lepas sahur tunggu sampai Subuh kalau tak gua saspek leh terbabas.

Sekian daripada gua, sampai jumpa lagi. Ekekekekekek.

-Matpon-

 

Silakan kongsi:

Pandu Uji: Volvo S60 T5 2012

Jenama Volvo sentiasa berada di dalam radar pemerhatian saya. Namun perhatian terhadap produk Sweeden itu tidaklah serius sangat hinggalah seorang rakan yang dalam linkungan usia 30an membeli Volvo S40 baharu. Suatu yang janggal untuk golongan muda. Justifikasi beliau ialah kereta itu selamat. Kemudian Volvo terus meraih perhatian saya apabila melancarkan V40 baharu di beberapa negara Eropah. Apabila diberi peluang untuk memandu uji sebuah Volvo, peribahasa yang tepat untuk menggambarkan perasaan saya ialah ibarat orang mengantuk disorong bantal. Suka sungguh.

Model yang diberi pinjam ialah S60 T5 dan impresi pertama sewaktu melabuhkan punggung di atas kerusi kulit S60 ialah kereta itu tidaklah besar mana, lebih tepat kalau digambarkan sebagai sedang elok. Volvo semakin jelas arah tujunya, S60 diletakkan untuk bersaing secara berdepan dengan BMW 3 Series. Untuk itu pengeluarnya telah menggunakan formula paling berkesan untuk menarik perhatian iaitu dengan rekaan yang beremosi dan menambat hati. Rekaan berkotak dan bersegi yang dipegang Volvo selama berpuluh tahun lamanya sudah ditinggalkan dan kini digantikan dengan bahasa rekaan yang lebih lembut dan beralun. Interiornya pula kemas, sesuai dengan segmen premium di mana model itu berada.

Menilai keselesaan set kerusi, jelas ianya direka untuk pemanduan yang sporty di mana bentuknya menyokong belakang supaya pemandu berasa tegap sewaktu memaut stereng. Kerusi belakang juga begitu namun agak rumit untuk pereka interior memastikan kepala penumpang tidak menyentuh bumbung kereta. Ini kerana rekabentuk bumbungnya yang curam telah mencuri ruang kepala penumpang belakang. Solusi yang dibuat ialah mengurangkan saiz ketebalan dudukan seterusnya memberi kelegaan kepada penumpang. Namun itu tidak menyelesaikan masalah sepenuhnya apabila perehat kepala kerusi mendominasi ruang cermin belakang. Sekali lagi perekanya tampil dengan solusi mudah, perehat kepala boleh dijatuhkan secara automatik apabila tidak diperlukan dengan butang kawalan pada papan pemuka.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Fiat Punto 2012: Stail Bertemu Teknologi

Generasi muda sekarang boleh jadi tidak berapa mengenali jenama Fiat berbanding generasi saya atau generasi yang lebih senior. Ketika itu model-model Fiat seperti Punto, Coupe ataupun Multipla banyak di atas jalan raya Malaysia. Berbelas-belas tahun dahulu rekabentuk model-model tersebut mendahului zaman dan tidak hairanlah ramai yang menentang arus perdana dengan membeli kereta buatan Itali itu. Nampaknya formula rekabentuk yang cantik dan menawan hati bukanlah hak milik mutlak pengeluar kereta Korea sahaja malah terlebih dahulu digunakan oleh pengeluar lain. Melalui Fiat juga kita boleh belajar bahawa rekabentuk yang cantik sahaja tidak memadai kerana perlu ada model susulan yang sesuai. Dua tiga tahun lepas pengimportnya ada membawa beberapa model baharu seperti Punto dan 500 dan nampaknya gagal mendapat sambutan. Fiat di Malaysia kini telah pun lesap dari pasaran.

Barangkali Malaysia dan Asean bukanlah pasaran penting buat Fiat kerana mereka masih banyak produk untuk pasaran luar. Di United Kingdom misalnya, pembeli di sana sudah boleh membeli Fiat Punto 2012. Harus tahu, segmen supermini yang mana Punto berada adalah pasaran paling kompetitif dan dinamik di mana kira-kira satu per empat dari total keseluruhan kereta baharu yang terjual adalah daripada segmen tersebut. Masakan tidak kerana di dalam pasaran itu sahaja terdapat lebih kurang 30 model daripada pengeluar Eropah, Jepun dan Korea yang bersaing bagi merebut kek pasaran. Punto pula sejak dilancarkan pada tahun 1993 telah menjadi peneraju pasaran di mana sebanyak 8.5 juta unit telah terjual di seluruh Eropah. Punto baharu disasarkan untuk menyambung legasi tersebut.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi: