Peugeot 308 R Concept: Hello VW GTi!

Peugeot 308 R Concept 2013.01

Sejarah Peugeot di Malaysia sebenarnya telah bermula berpuluh tahun lepas dan jenama dari Perancis itu mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Hak pengedaran Peugeot telah pun diambil alih oleh Kumpulan Naza dan jenama itu semakin kukuh dan stabil. Antara produk awal yang mendapat sambutan ialah Peugeot 206 atau Naza Bestari dan untuk masa sekarang, Peugeot 308 dilihat begitu dominan di atas jalan raya.

Untuk pasaran antarabangsa, Peugeot telah memperkenalkan model peganti 308 yang kelihatan lebih kemas dan seolah-olah ingin memberitahu kepada dunia bahawa ianya bersedia untuk berlawan dengan hatchback popular iaitu VW Golf. Tidak cukup dengan itu, Peugeot memperkenalkan pula 308 R Concept yang terang lagi bersuluh adalah saingan kepada VW Golf GTi. Model 308 baharu dijelmakan di dalam bentuk kereta berprestasi dengan rekabentuk yang menonjol dan berkualiti tinggi. Dengan jarak kelegaan yang hampir menyeret bumi, 308 R Concept dikuasakan oleh enjin baharu yang digunakan oleh Peugeot RCZ R dengan output kuasa setinggi 270bhp.

Peugeot 308 R Concept 2013.02

Kit badan yang dipasangkan pada 308 R Concept diperbuat daripada gentian kaca seperti pintu, bonet dan bampar dan yang menariknya ialah hanya bumbung dan bonet belakang sahaja yang sama dengan model 308 standard. Wajah depan tampak agresif dengan tiga ruang masukan udara yang menyembunyikan enjin 270 hp disebalik bampar tersebut. Badan 308 R Concept direndahkan sebanyak 26mm dan bahagian sisinya disempurnakan dengan roda aluminium bersaiz 19 inci dengan setiap roda tersebut mempunyai logo R berwarna merah.

Peugeot 308 R Concept 2013.03

Untuk pemandu, alat kawalannya jelas dan ringkas manakala sterengnya pula responsif. Saiznya yang kompak sebenarnya adalah sebahagian daripada agenda pengurangan berat kereta di samping menambah kelincahan dan keseronokan pemanduan. Panel instrumen pula diposisikan supaya pemandu dapat melihat di atas stereng dan bukan melaluinya supaya selari dengan pandangan mata. Dengan rekaan yang tepat, membuatkan bacaan dari enjin dapat dibaca dengan mudah dan secara spontan tanpa perlu mengalihkan mata dari jalan. Turut dibekalkan adalah skrin boleh sentuh bersaiz 9.7 inci.

Peugeot Sport telah membangunkan enjin dan suspensi yang akan membuatkan mereka yang berada di dalam kereta berasa teruja. Di sebalik bonet adalah sebuah enjin yang kompak, menjimatkan petrol yang sama seperti model RCZ R Sports Coupé yang baharu sahaja dilancarkan. Pasukan juruteranya berjaya mengekstrak sebanyak 270bhp daripada enjin yang hanya bersaiz 1598cm3. Dengan kuasa enjin yang tinggi tersebut beberapa peralatan enjin diperkuatkan antaranya blok enjin telah melalui proses pemanasan sebelum dimesinkan manakala omboh pula menggunakan sejenis gred aluminium yang biasa digunakan di dalam perlumbaan.

Peugeot 308 R Concept 2013.05

Proses tersebut membolehkan enjin 1.6 liter THP 270 menghasilkan kuasa maksimum pada 6,000rpm dengan sebaran tork pada julat kuasa yang lebih luas iaitu 330Nm dari 1900 hingga 5500rpm. Kuasa itu dijanakan ke atas jalan raya melalui pacuan roda depan melalui transmisi enam kelajuan manual. Untuk menghentikan kereta berkuasa ini, cakera brek Alcon dipasangkan dengan saiz diameter depan 380mm yang setebal 32mm manakala cakera belakang pula berdiameter 330mm dengan tebal 22mm. Dipasang pada hub aluminium ialah angkup brek empat omboh untuk menghentikan tayar bersaiz 235/35 R19.

Peugeot 308 R Concept 2013.04

Pasaran hatchback berprestasi sebenarnya sudah pun sesak dengan jenama terkemuka dunia. Bermula dengan VW Golf GTi dan kini Mercedes menawarkan A-Class, BMW dengan 1 series, Renault dengan Megane RS, Ford dengan Focus ST dan Honda pula sedang giat membangunkan Civic Euro Type R. Peugeot pula tidak berselindung dengan memperkenalkan model konsep 308 R ini dan boleh jadi ianya akan tampil sebagai 308 GTi, abang kepada Peugeot 208 GTi yang sudah pun dilancarkan di Eropah. Harus tahu 208 GTi sebenarnya adalah pesaing kepada VW Polo GTi dan jika model kedua-dua model GTi daripada VW boleh dijual kenapa model-model GTi daripada Peugeot tidak boleh dijual dan mempunyai penggemarnya yang tersendiri?

Newspress

@muhd_gt

Klik untuk galeri penuh

Silakan kongsi:

Galeri: Proton Suprima S 2013

Proton Suprima S 2013.17

Gambar studio ini diperolehi selang beberapa hari selepas pelancaran Proton Suprima S. Dari dibiarkan sahaja di dalam cakera keras lebih baik di kongsikan galeri penuh model terbaharu dan sporty ini. Dengar khabar, Proton Suprima S R3 sedang di dalam pembangunan dan Suprima transmisi manual akan dilancarkan pada masa depan!

Enjoy!

@muhd_gt

Klik untuk galeri penuh

Silakan kongsi:

Pandu Uji Nissan Teana 2.5 V6 FL + Blind Watch System

Nissan Teana FL BWS 2013.01

Saya pernah memandu uji Nissan Teana 2.5 V6 sebelum ini dan ianya pengalaman yang memuaskan hati. Dibandingkan dengan pesaing yang lain di dalam segmen D, konsep binaan Teana sangat berbeza. Jika rekabentuk pesaing lain seperti Honda Accord, Kia Optima, Hyundai Sonata dan Toyota Camry lebih tajam dan aerodinamik, Teana pula melawan arus dengan rekabentuk yang konservatif. Jika disoroti model segmen D terdahulu seperti Cefiro A31 ianya sangat berbeza kerana model itu lebih sporty dengan bumbung yang rendah, badan yang lebar dan yang paling popular hingga kini ialah pacuan roda belakang. Masakan tidak kerana model itu sebenarnya berkongsi platform dengan Nissan Skyline R32. Tahun berganti tahun, Cefiro semakin hilang sifat itu yang dizahirkan kepada model peganti seperti Cefiro A32, Cefiro A33 (Excimo & Brougham) dan kemudiannya Teana generasi pertama (J31) dan paling baharu generasi kedua (J32). Boleh jadi pasaran yang disasarkan Nissan kurang berminat dengan rekabentuk sporty dan mahukan imej yang lebih eksekutif dan mewah.

Nissan Teana FL BWS 2013.12

Di pasaran global, Teana dikenali dengan beberapa nama seperti Altima di Amerika Syarikat yang telah dipasarkan dengan model serba baharu. Sementara di China pula jenama Teana masih dikekalkan tetapi sudah dibuat wajah baharu (facelift) dan pada Mac lepas model baharu yang sama seperti Altima di Amerika Syarikat dilancarkan. Semasa berita Teana tempatan ingin dilancarkan semula saya menjangkakan model yang akan dikeluarkan sama seperti Teana wajah baharu pasaran China. Nampaknya Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mempunyai pendapat lain dengan mengekalkan rekabentuk sama dengan model sedia ada tetapi dengan sentuhan minor seperti jeriji hadapan dengan bilah berwarna hitam serta aerokit yang lebih minimalis. Walaupun begitu, ada satu perubahan besar yang mendahului pesaing lain dengan penggunaan teknologi Blind Spot Warning System (BSW).

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

HONDA MALAYSIA LANCAR ACCORD SERBA BAHARU GENERASI KE-9

Photo 4 Mr. Yoichiro Ueno, MD and CEO, Mr Masao Nakano, A-LPL of All-New Accord

Setia Alam, 4 September 2013 – Honda Accord serba baharu generasi kesembilan yang sudah lama ditunggu-tunggu akhirnya tiba di Malaysia! Direka semula secara sepenuhnya dan dilengkapi pelbagai teknologi baharu dan canggih ciptaan Honda, Sedan Premium Pintar Termaju ini akan menetapkan satu penanda aras baru sebagai produk yang menerajui segmennya.

Accord menyerlahkan semenjak penghasilannya 37 tahun dahulu menerusi perubahan penuh ke atas lapan model sebelum ini. Dipasarkan di 160 buah negara, Accord kekal sebagai penanda aras dalam industri dengan jualan kumulatif mencecah 19 juta unit di seluruh dunia. Sejak membuat penampilan pertama pada tahun 1976, Accord telah menjadi model penting buat Honda. Ia juga mengalami evolusi teknologi bersama Honda demi memenuhi keperluan pengguna masa kini. Accord serba baharu dibina dengan gayaan inovatif yang diperhalusi serta ciri-ciri premium termaju. Ia pasti mampu menarik perhatian golongan yang gemarkan kemewahan, sama ada lelaki atau wanita yang ingin mendapatkan sebuah sedan mewah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn. Bhd., En. Yoichiro Ueno berkata, “Di Malaysia, Accord mempunyai ramai peminat setia untuk semua generasinya. Sehingga 31 Ogos 2013, lebih 51,500 unit Honda Accord telah terjual di seluruh Malaysia.

Photo 5 En. Roslan Abdullah, President and COO, Mr. Hideaki Kawano, Assistant to MD, Mr. Yoichiro Ueno, MD and CEO, Mr. Akkbar Danial, Head of Marketing, Mr Masao Nakano, A-LPL of All-New Accord

Accord serba baharu yang akan diperkenalkan kepada anda pada hari ini akan menetapkan satu penanda aras baru sebagai produk yang menerajui segmennya. Accord generasi kesembilan telah dibina dan direka dengan memberi keutamaan kepada para pelanggan kami. Ia berhasrat untuk mencipta keseimbangan di antara kemewahan dan prestasi yang merangkumi sistem keselamatan inovatif serta teknologi-teknologi termaju demi menawarkan keselesaan dan kemewahan terunggul,” tambah Encik Ueno.

Klik untuk bacaan seterusnya

Silakan kongsi:

Rasionalisasi Subsidi: Petrol RON 95 = RM2.10/liter, Diesel = RM2.00/liter

Rasionalisasi Subsidi

Kerajaan telah melakukan rasionalisasi subsidi terbaru dengan mengumumkan kenaikan harga petrol RON 95 meningkat RM0.20 kepada RM2.10 seliter manakala harga diesel pula RM2.00 seliter daripada RM1.80 bermula hari ini. Subsidi kerajaan untuk RON 95 ialah RM0.63 seliter.

Kenaikan harga yang pertama kali dibuat selepas Disember 2010 itu dikatakan bakal menjimatkan kos subsidi kerajaan sebanyak RM3.3 bilion setahun. Tindakan itu juga adalah sebahagian daripada proses berperingkat kerajaan untuk mengfokuskan subsidi kepada mereka yang memerlukan sahaja di mana sekarang ini subsidi itu turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi.

Peningkatan harga minyak itu kemudian akan ditebus kembali melalui program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai program bantuan 1Malaysia lain. Rakyat juga akan menikmati harga kereta sehingga 30% lebih murah dan sejuta unit rumah mampu milik seperti yang tertera di dalam akujanji Barisan Nasional sempena pilihan raya ke 13 baru-baru ini.

Sementara itu, harga petrol RON 97 yang dijual mengikut pasaran dunia tidak berubah dan kekal pada RM2.70 seliter.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Honda Civic Tourer: Made in Britain!

Honda Civic Tourer 2013.06

Civic merupakan antara model paling laris Honda sejak berpuluh tahun dahulu. Model itu dijual di serata dunia sama ada di Amerika, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Asia. Civic merupakan model global dan lazimnya seperti model-model lain antaranya Accord, CR-V dan Jazz kesemua pasaran akan menerima model yang sama tetapi dengan berbeza aksesori. Walau bagaimanapun stratergi produk untuk Civic tidak sama apabila model Eropah langsung berbeza dengan pasaran lain.

Di Eropah mereka menerima model hatch back dengan rekaan yang jauh berbeza daripada Civic sedan di pasaran lain. Melebarkan lagi jurang pasaran Eropah dengan benua lain ialah varian Civic paling baharu iaitu Civic Tourer yang dikongsi kepada umum pada September lepas dan akan mula dijual pada awal tahun depan. Model itu dibangun dan direkabentuk di Eropah oleh tenaga kerja penyelidikan dan pembangunan (P&P) Honda Eropah dan turut akan diproduksikan di kilang Honda di Swindon, United Kingdom yang turut memasang CR-V dan Jazz.

Honda Civic Tourer 2013.05

“Saya begitu bangga dengan rekabentuk luaran Civic Tourer yang sporty, kemas dan dinamik yang mana tidak menampakkan sifat dalamannya yang pelbagai fungsi dan versatil. Untuk mengeluarkan sesuatu keistimewaan daripada kereta kompak, perekabentuk akan menggunakan ruang kabin yang ada dengan sebaik mungkin yang kebiasaannya akan menjejaskan rekabentuk. Oleh kerana platform Civic yang pintar, para perekabentuk mempunyai kebebasan untuk mengoptimumkan pakej yang diberi. Hasilnya ialah kereta yang mempunyai pengaruh kereta sport. Untuk saya, kekuatan kereta ini ialah terletak pada sinergi di antara kebolehgunaan, versatil dan eksperinya” kata Adrian Killham, Ketua Projek Civic Tourer.

Honda Civic Tourer 2013.07

Rekabentuk luaran Civic Tourer nampak kemas dan sporty, penggayaannya dipengaruhi oleh garisan keras yang bersambung dari tiang A hinggalah ke tiang D yang seolah-olah seperti garisan bumbung yang terapung. Cermin sukuan belakang pula turut menutupi tiang D manakala bingkai bonet belakang pula dinaikkan kepada 17mm berbanding Civic hatchback bagi menampakkan garisan yang menonjol. Civic Tourer menggunakan teknik yang sama dengan Civic hatchback yang mempunyai tangki minyak di bahagian tengah kereta. Tangki tersebut dipasangkan dibawah kerusi hadapan yang membolehkan saiz interior menjadi luas dan kerusi boleh lipat ke atas yang dipanggil Magic Seats. Luas ruang kargonya dikatakan boleh memuatkan dua basikal bukit bersaiz penuh atau tiga beg Samsonite bersaiz besar. Angka saiznya ialah (lantai ke bumbung) 624 liter dan meningkat kepada 1668 liter jika kerusi belakang direbahkan.

Honda Civic Tourer 2013.03

Untuk penjanaan kuasa, Civic Tourer dibekalkan dengan dua opsyen enjin iaitu 1.6 i-DTEC daripada famili Earth Dreams Technology atau 1.8 i-VTEC yang dipadankan sama ada dengan transmisi manual atau automatik. Enjin i-DTEC diesel mula sekali dipasangkan Civic hatchback dan kemudian pada C-RV. Enjin tersebut merupakan siri pertama enjin Earth Dreams Technology yang diperkenalkan di Eropah. Falsafah disebalik teknologi tersebut ialah untuk mengimbangkan di antara kuasa dan penjimatan bahan api yang juga sesuai untuk imej Civic Tourer. Komponen enjin 1.6 i-DTEC terdiri daripada penutup silinder dan blok aluminium yang merupakan enjin diesel paling ringan di dalam kelasnya. Geseran mekanikal telah dikurangkan yang menjadikannya setara dengan enjin petrol. Kesemua peralatan yang berputar telah dioptimumkan untuk mengurangkan geseran yang membolehkan penggunaan bahan api dijimatkan dan pada masa yang sama seronok untuk dipandu. Harus tahu enjin 1.6 i-DTEC sebenarnya direka khusus untuk pasaran Eropah.

Civic Tourer turut menggunakan Adaptive Damper System (ADS) yang inovatif. Penggunaan rear adaptive system adalah yang pertama kali diperkenalkan pada kereta produksi dan ianya mempunyai tiga talaan iaitu Comfort, Normal dan Dynamic yang mana kesemuanya dibangunkan untuk memberikan lebih kestabilan dan keselesaan di dalam pelbagai muatan dan keadaan pemanduan. Hasilnya Civic Tourer tetap selesa sewaktu meluncur di lebuh raya dan pada masa yang sama tegar dan lincah apabila dipandu di dalam keadaan pengendalian yang berprestasi.

Honda Civic Tourer 2013.01

Jika diikutkan nampak seperti pasaran di Eropah lebih bertuah dengan model yang secantik ini di tambah pula dengan enjin diesel yang menjimatkan. Sebenarnya di negara kita tidaklah asing sangat dengan Civic Eropah kerana banyak pengimport kenderaan terpakai membawa masuk Accord Euro R dan Civic Type R Euro. Tidak salah rasanya jika saya kata Malaysia adalah syurga Type R memandangkan Honda Malaysia turut mengimport masuk Civic Type R dari Jepun dan Malaysia adalah pengimport rasmi pertama model itu di dunia. Kesemua model Type R cantik dan dan dengan sikap rakyat negara kita yang terbuka tiada masalah rasanya untuk Civic Tourer ini dijual di dalam pasaran tempatan. Lihat sahaja bagaimana Toyota Caldina begitu banyak terjual beberapa tahun lepas. Dengar kata Honda juga sedang giat membangunkan Civic Euro Type R baharu dan jika pengimport turut membawa model itu maka layaklah negara kita dipanggil Civic Land! (Maka tinggal lah Evo Land di dalam kenangan).

Newspress

@muhd_gt

Klik untuk galeri gambar penuh

Silakan kongsi:

Proton Lancar Hatchback Sporty Suprima S

Proton Suprima S 2013.01

Proton Holdings Berhad pada Sabtu lepas telah melancarkan hatchback sporty iaitu Suprima S. Model itu didatangkan dengan dua varian iaitu Executive yang berharga RM76,338.00 manakala varian Premium pula berharga RM79,638.00 di atas jalan. Proton Suprima S juga didatangkan dengan program 5 Star Proton di mana pemilik akan menikmati 5 tahun waranti atau 150,000 km (yang mana dahulu), 5 tahun bantuan percuma kerosakan di jalanan dan 5 bintang rating ANCAP (Australasian New Car Assesment Program)

Proton Suprima S 2013.06

Buat mereka yang tertanya, nama Suprima S berasal daripada perkataan “supreme” yang melambangkan kehebatan di dalam kejuruteraan, keselamatan dan prestasi yang terdapat pada hatchback baharu itu. Direkabentuk untuk memenuhi gaya hidup moden, Proton Suprima S ialah sebuah kereta dengan bentuk yang dinamik dan sporty selain daripada interior yang premium dan prestasi enjin yang memberangsangkan. Ianya adalah sebuah model Proton paling lengkap setakat ini dengan ciri-ciri yang tiada pada model Proton sebelum ini seperti sistem multimedia dengan sistem operasi Android, enam beg udara, Hill-Hold Assist dan lampu bantuan belakang LED.

Proton Suprima S 2013.03

Proton Suprima S dikuasakan oleh enjin 1.6 CFE dengan transmisi ProTronic CVT 7 kelajuan. Kuasanya bersamaan dengan enjin 2.0 liter standard iaitu 140 PS pada 5,000 rpm dengan tork maksmimum 205Nm dari 2000 hingga 4000 rpm.

Untuk sistem keselamatan pula, Suprima S mempunyai enam big udara, ABS, ESC dengan Traction Control. Varian premium ditambah dengan Park Assist yang terdiri daripada kamera undur serta sensor depan dan belakang. Terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Fire Red, Tranquility Black, Solid White, Genetic Silver dan warna baharu iaitu Atlantic Blue. Proton Suprima S juga mempunyai sedikit perbezaan pada wajah hadapan berbanding Proton Preve iaitu dengan gril baharu yang berbentuk heksagon atau sarang lebah. Proton Suprim S menggunakan roda aluminium bersaiz 16 inci untuk varian Executive dan 17 inci untuk varian Premium.

Suprima S sudah berada di bilik pameran dan mereka yang berminat boleh memandu uji bagi mengadili produk terkini Proton itu.

Proton Suprima S 2013.05

Silakan kongsi:

ETCM Terima “Anugerah Global Nissan 2013 Nissan” Untuk Empat Tahun Berturut-turut

Nissan group.201301

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berbangga untuk mengumumkan bahawa ia telah menerima pengiktirafan “Anugerah Global Nissan 2013” yang sebelum ini dikenali sebagai “Juara Pengedar Nissan” daripada Nissan Motor Co. untuk empat tahun berturut-turut sejak 2010. Pengiktirafan ini menjadi bukti kepada kesungguhan ETCM’s untuk mencapai kecemerlangan dalam perniagaan automotif.

Dalam ucapan tahniahnya, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan Motor Co., Ltd., Carlos Ghosn berkata, “Anugerah Global Nissan adalah bukti kerja kerja keras dan dedikasi pasukan anda demi mencapai prestasi cemerlang. Di sebalik cabaran-cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh industri kita dan bersaing dengan lebih 130 Syarikat Jualan Nasional (NSC), anda berjaya mencatat jualan, pertumbuhan dan keuntungan yang mengagumkan.”

Dalam ucapan berlainan, Naib Presiden Eksekutif Nissan Motor Co., Ltd., Takao KATAGIRI menyatakan bahawa ETCM adalah pemenang dalam Pasaram Kumpulan B (TIV saiz yang melebihi 100,000 kenderaan) di 2013 Anugerah Global Nissan. ETCM telah menunjukkan pencapaian terbaik dalam pelan perniagaannya melibatkan jualan kereta baharu dan kepuasan pelanggan menerusi peningkatan terbesar dalam perkongsian pasaran berbanding tahun sebelumnya. ETCM terbukti menjadi NCS yang terbaik daripada yang terbaik di peringkat global.

ETCM merupakan pengedar tunggal kenderaan Nissan di Malaysia sejak tahun 1957. Ia sentiasa fokus untuk menawarkan pelanggannya dengan perkhidmatan dan sokongan selepas jualan pada standard paling tinggi. Selain menawarkan produk-produk inovatif Nissan, ia juga terus komited untuk memberikan para pelanggan pengalaman pemilikan kenderaan yang memuaskan.

Anugerah Global Nissan 2013 mengiktiraf sumbangan besar terhadap ‘Kuasa Jualan’ Nissan yang merupakan salah satu daripada enam tiang utama Pelan Tempoh Sederhana Nissan yang dikenali sebagai ‘Nissan Power 88’. Pelan ini bermatlamat untuk mencapai perkongsian pasaran global sebanyak 8% di samping meningkatkan keuntungan operasi korporat kepada 8% menjelang tahun 2016.

Silakan kongsi: