Dunia automotif masa hadapan sudah boleh dilihat jejaknya pada masa sekarang. Dijangkakan bahawa kenderaan hijau atau mesra alam akan mengambil alih kenderaan konvensional yang menggunakan kuasa enjin tunggal. Kenderaan hibrid, elektrik dan mungkin juga hidrogen akan menjalar di atas jalan raya dan harapnya teknologi tersebut terus maju seterusnya menjadi matang di mana faedahnya dapat dimiliki segenap lapisan masyarakat. Pada masa kini, kenderaan hibrid terutama elektrik masih lagi mahal, jauh dari jangkauan pasaran massa. Mungkin senario itu bakal berubah dengan kerancakan pengenalan kenderaan mesra alam oleh pengeluar.
Nissan turut tidak terkecuali dengan perlumbaan itu, model kenderaan elektrik mereka iaitu LEAF telah pun dijual di pasaran terpilih dunia dan memenangi banyak anugerah automotif termasuklah World Car of the Year 2011. Nissan sangat hebat di dalam bidang kereta berprestasi dengan model GT-R dan pada masa yang sama turut hebat di dalam bidang kenderaan hijau, suatu senario yang seimbang. Tidak dilupakan Nissan turut mempunyai model nakal iaitu Juke. Datang Pameran Kenderaan Tokyo ke-42 nanti, Nissan bakal memperkenalkan kereta konsep PIVO 3 yang merupakan kereta konsep kenderaan elektrik (EV) mereka yang kelapan. Walau bagaimanapun model itu bukan sahaja kenderaan yang banyak menghabiskan masanya di atas pentas pameran tetapi turut menjadi bayangan kenderaan EV Nissan yang lebih realistik untuk masa hadapan.
Kesemuanya bermula pada tahun 2005 apabila PIVO 1 diperkenalkan pada Pameran Kenderaan Tokyo dan dengan model terbaru PIVO 3 ianya bakal melebarkan lagi portfolio kenderaan EV Nissan. Dibina berdasarkan model perintis PIVO 1 dan PIVO 2, model terbaru PIVO 3 merubah suatu imaginasi kepada kenderaan yang hampir kepada realistik untuk masa hadapan. Berbanding model PIVO 2 yang tampak sangat inovatif namun ianya hanyalah terhad sebagai model konsep sahaja. PIVO 3 pula adalah sebuah evolusi yang selari dengan komuniti bestari di mana model itu lebih tersaur (feasible), wibawa serta lebih berprestasi. Nissan percaya yang model PIVO 3 sangat hampir kepada kenderaan urban masa hadapan.
Sebagai sebahagian komitmen jangka masa panjang Nissan bagi menerajui kenderaan sifar emisi massa, PIVO 3 bakal menemani Nissan LEAF di dalam pendekatan yang praktikal untuk persekitaran lestari. Di mana Nissan LEAF adalah sebuah hac kompak, PIVO pula adalah model bandar ultra kompak dengan sasaran pasaran golongan bujang serta pasangan yang mempunyai gaya hidup urban.
Satu ciri canggih PIVO 3 adalah sistem Automated Valet Parking (AVP) yang bakal merevolusikan proses memakir kenderaan dengan menyambung dan memberi tindak balas terhadap infrastruktur. Pemandu tidak perlu lagi bersusah payah mencari slot parkir, memarkir dengan tenaga fizikal atau pun mengingati di mana lokasi parkir apabila PIVO 3 berupaya untuk mencari slot sendiri asalkan slot tersebut mempunyai perkakasan yang sepadan dengan teknologi PIVO 3. Sementara pemandu menyudahkan urusan mereka, PIVO 3 berupaya untuk mengecas kuasa elektrik dengan sendirinya atau menjual kembali kuasa lebihan melalui fasiliti grid elektrik. Paling hebat apabila PIVO 3 boleh bergerak sendiri ke lokasi pemandu dengan menggunakan telefon pintar. Fungsi AVP itu bukan sahaja dapat memberi lebih kebebasan kepada penggunanya bahkan mampu untuk menyumbang kepada masyarakat dengan membekalkan kuasa kepada grid elektrik. Konsepnya adalah mudah, guna apa yang perlu, pulangkan lebihan.
PIVO 3 adalah sangat kompak, berukuran tidak sampai 3 meter dengan konfigurasi tempat duduk 1+2. Badan yang kompak serta tayar yang slim dengan in-wheel motors (IWM) membolehkan model itu membelok dengan pusingan yang singkat. PIVO 3 sangat lincah dan mampu untuk masuk ke slot parkir yang sukar. Ciri-ciri tersebut juga membolehkan model itu untuk membuat pusingan U di atas jalan yang lebarnya 4 meter, saiz minimum kebanyakan jalan raya dunia. PIVO 3 mempunyai radius pusingan minimum yang sangat singkat iaitu 2 meter.
Francois Bancon, Naib Pengurus Besar Bahagian Strategi dan Perancangan Produk menerangkan “PIVO adalah salah satu jawapan untuk golongan urban yang aktif yang tinggal di dalam pasaran yang matang. Melalui ketiga-tiga model PIVO, kami telah memperolehi pemahaman yang mendalam keperluan mereka di dalam kawasan yang besar dan metropolitan. Setiap satu daripada lapan konsep yang kami bangunkan memenuhi keperluan, komuniti, gaya hidup dan pasaran berbeza. Itu menjadikan kenderaan zero emisi suatu cita-cita yang tinggi untuk kami, di Nissan, kami percaya dunia sedang berubah dan mobiliti mempunyai peranan yang besar untuk menjadikannya lebih baik.”
Newspress
-Md Uia-
1 comment
1st