NISSAN ALMERA PEROLEH 7,000 TEMPAHAN SELEPAS 2 MINGGU DILANCARKAN

KUALA LUMPUR, 19 November 2012 – Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini mengumumkan bahawa model yang baru dilancarkannya pada hujung Oktober lalu, Nissan ALMERA, sedan global Nissan paling laris telah menerima lebih 7,000 tempahan daripada pelanggan.

Para pelanggan nyata tertarik dengan harga mampu milik Nissan ALMERA yang bermula dari RM66,800.00 seunit. ALMERA juga memiliki ciri-ciri, teknologi dan keluasan mengagumkan yang lazimnya hanya ditemui pada kenderaan-kenderaan lebih premium.

Nissan ALMERA dibezakan melalui spesifikasi standard E, varian lengkap V dan VL yang memiliki spesifikasi penuh. Bagi menjadikannya lebih personal, para pelanggan boleh mendapatkan Aksesori Tambahan ALMERA yang eksklusif. Aksesori premium itu merangkumi konsol navigasi multimedia (dengan kamera pandang belakang, pemain DVD, sambungan iPod, USB dan kemampuan Bluetooth), plat LED serta tempat duduk kulit yang mewah. Aksesori sport daripada IMPUL Motor Racing Development yang telah dibangunkan khas untuk disesuaikan dengan jalan raya di Malaysia juga boleh diperolehi. Pakej lengkap Talaan IMPUL boleh didapati untuk semua gred dengan penambahan RM9,500.00. Semua varian ALMERA hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 km (mana-mana tiba dahulu).

Selain daripada harganya yang menarik, Nissan ALMERA turut menawarkan penggunaan minyak yang ekonomikal. Penyelenggaraan berjadual sejauh 10,000km, alat ganti mampu milik dan senang diperoleh juga membuatkan kos keseluruhan pemilikan ALMERA begitu menarik.

Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr Ang Bon Beng nyata gembira dengan maklum balas dan minat yang memberansangkan terhadap Nissan ALMERA.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 1957, Tan Chong dan Nissan telah menawarkan rakyat Malaysia dengan kereta-kereta ikonik yang sememangnya tidak dimakan masa. Bermula dengan generasi Sunny, diikuti oleh Sentra dan kini, kami meneruskan warisan itu menerusi sedan segmen B serba baharu, ALMERA. Penerimaan positif terhadap model terbaharu ini menjadi penunjuk kukuh mengenai kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia ke atas kenderaan, produk serta perkhidmatan kami,” katanya.

Dato’ Dr Ang juga menyatakan bahawa Tan Chong kini sudah mengambil langkah-langkah sewajarnya berkaitan saluran pengeluaran di kilang bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap ALMERA dan memastikan bekalan yang berterusan. Sehingga kini, Tan Chong Motor Group telah mengembangkan operasinya di kilangnya di Serendah dengan lebih banyak syif pengeluaran dan tenaga kerja tambahan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Sementara itu, para pelanggan terus teruja dengan ALMERA, sedan global Nissan paling laris. Mr. Lam Wei Hoong, an Export Executive dari Kuala Lumpur yang membuat tempahan dalam satu siri jelajah Nissan ALMERA baru-baru ini memberitahu beliau tertarik dengan harga mampu milik Nissan ALMERA serta ciri-ciri premiumnya, terutama kabin dan bonet yang luas. “Selain daripada ruang, saya juga melihat kepada penjimatan bahan api kerana saya perlu memandu jauh untuk ke pejabat. Berdasarkan kepada pandu uji dan rebiu media, ia sememangnya menunaikan janjinya mengenai aspek penjimatan minyak,” tambahnya.

ALMERA dibina di atas platform global “V” (versatile) serba baharu yang menggunakan kerangka ringan dan kukuh. Ia dikuasakan oleh enjin HR15DE empat silinder terkini Nissan bersesaran 1.5 liter yang menampilkan ciri Continuously Variable-valve Timing Control (CVTC). Enjin itu menawarkan penjimatan minyak mengagumkan iaitu 14.9km/l untuk transmisi automatik dan 15.9km/l bagi transmisi manual (laluan bercampur berdasarkan ujian Nissan), selain tahan lasak.

Nissan ALMERA turut menampilkan pelbagai ciri keselamatan seperti beg udara, Anti-lock Braking System (ABS) dengan Electronic Brake-force Distribution (EBD) dan Brake Assist, di samping sistem tempat duduk kanak-kanak ISOFIX. Nissan ALMERA hadir dalam lima warna menawan iaitu Bronze Gold, hitam (Sapphire Black), kelabu (Twilight Grey), perak (Tungsten Silver) dan putih (Brilliant White).

Silakan kongsi:

3 comments

    • M13 on 25/11/2012 at 5:59 PM
    • Reply

    4 drpd 10 artikel terakhir cerita nissan almera. 5 drpd 10 artikel terakhidr cerita psl nissan. Apa dah jadi ni?

    • Yoda on 28/11/2012 at 10:50 AM
    • Reply

    Dalam 7000 tu, termasuk akulah..oh almera

  1. @M13

    Sebab ETCM paling laju dan padu bagi bahan media dalam BM!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.