SEAT Ibiza CUPRA: Dikuasakan oleh VW!

Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar pengeluar kereta bernama SEAT. Cara sebutan yang betul ialah “siyat” dan bukan seat seperti sebutan bahasa Inggeris. SEAT berasal dari Sepanyol yang merupakan satu-satunya syarikat yang mempunyai kapasiti penuh untuk merekabentuk, membangunkan, mengilangkan dan memasarkan kereta di negara itu. Lebih menarik, SEAT sebenarnya adalah salah satu jenama yang dinaungi oleh Volkswagen Group. Ibu pejabat SEAT terletak di Martorell, Barcelona dan paling menarik majoriti produksi kenderaan mereka tidak dijual di dalam negara malah sebanyak 80% dieksport ke 75 buah negara. Pada 2011, penghantaran kenderaan SEAT adalah sebanyak 350 ribu unit. Antara model-model SEAT ialah Ibiza, Leon, Alhambra, Mii dan Toledo.

Terkini SEAT melancarkan varian baharu Ibiza CUPRA yang katanya adalah lambang utama jenama itu yang ditonjolkan melalui rekabentuk yang cantik, prestasi tinggi dan teknologi canggih. Ciri-ciri tersebut dipakejkan di dalam model kompak Ibiza CUPRA sebagai sebuah kereta harian tetapi pada masa yang sama mempunyai karakter sporty. Kira-kiranya model itu boleh diibaratkan sebagai saudara yang berkongsi DNA dengan VW Polo. Sejarah Ibiza CUPRA sebenarnya bermula sejak 16 tahun lepas dengan nama CUPRA adalah untuk varian istimewa Ibiza yang dibina bagi meraikan kemenangan SEAT di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) bagi kategori 2.0 liter. Sejak dari itu, varian CUPRA sentiasa dipasarkan untuk model Ibiza dan Leon.

“Ibiza CUPRA adalah salah satu daripada ikon jenama SEAT,” kata James Muir, Presiden SEAT S.A. “Rekabentuknya yang cantik dan dinamik pemanduannya memberikan keseronokan sewaktu memandunya. Dengan teknologi yang inovatif, interior dengan kualiti yang dipertingkatkan, Ibiza CUPRA dengan jelas adalah indikator kepantasan dan konsisten jenama kami yang berterusan dibangunkan.”

Ibiza CUPRA Dikuasakan oleh enjin 1.4 liter TSI yang menghamburkan output 180 PS dengan tork 250Nm. Enjin tersebut sebenarnya adalah milik VW yang terkenal dengan dua kuasa desakan iaitu pengecas turbo dan supercharge serta suntikan terus. Di atas kertas, masa untuk mencapai 100km/j dari sifar hanya 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 228km/j. Unit kuasa TSI yang canggih mempunyai penggerak bunyi yang mengeluarkan bunyi yang lebih sporty sewaktu pemandu menguji pemanduan. Untuk menarik lebih penglibatan pemandu, trasmisinya adalah daripada jenis 7 kelajuan DSG dengan butang kawalan yang diletakkan di belakang stereng.

Chasis Ibiza Cupra telah ditala untuk kelincahan dan ketepatan. Ketinggian kereta direndahkan berbanding model standard. Sebagai opsyen, sistem brek AP Performance ditawarkan kepada pemandu yang berminat untuk kuasa pemberhentian yang sepadan dengan kuasa yang dimiliki. Sistem XDS electronic differential mengurangkan understeer dan menambah baik pengendalian sewaktu ‘melayan’ selekoh. Sistem kestabilan elektronik ESP dan hill start pula merupakan aksesori standard di dalam varian Ibiza CUPRA. Harus tahu, model itu telah dianugerahkan lima bintang maksimum di dalam ujian pelanggaran Euro NCAP.

Dr Matthias Rabe, Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan SEAT S.A, berkata: “Spontan, kuasa pecutan yang tinggi, pengendalian yang lincah, cengkaman yang bagus, dan brek yang responsif adalah ciri-ciri yang dimiliki oleh CUPRA. Ibiza CUPRA adalah contoh yang sempurna bagaimana staf SEAT mengguna pakai semula teknologi terbaharu dari VW Group.

Rekabentuk Ibiza CUPRA yang ekspresif sangat jelas boleh dilihat sewaktu pertama kali melihatnya. Wajahnya yang baharu mempunyai gril yang lebih lebar dan ruang masukan udara yang jelas bagi menampakkan keteguhan dan prestasi model itu. Lampu depan dengan rekaan yang sofistikated pula menunjukkan perincian hasil kualiti kerja SEAT. Tarikan emosi pada luaran Ibiza CUPRA diteruskan pada bahagian interiornya. Rekaan dalaman lebih kepada minimalis dengan kluster yang kemas. Pada stereng dipaparkan logo CUPRA manakala kerusinya pula mempunyai opsyen dua tona warna kulit sebagai lambang keistimewaan model itu.

Jika diikutkan SEAT tiada kena mengena pun dengan pasaran tempatan namun sudah banyak kali saya abaikan jenama itu semasa mencari bahan untuk ruangan ini. Setiap kali berita mengenai SEAT keluar saya rasa berat hati untuk menulisnya. Namun kali ini apa yang membuat saya tertarik ialah rekaannya yang jauh lari daripada VW yang nampak konservatif. Orang kata, isi sama tetapi luarnya saja yang lain. Boleh jadi juga jika Proton dimiliki oleh Kumpulan VW, strategi yang sama juga bakal digunakan. Namun semua itu sudah menjadi sejarah.

Newspress

Garaj Kosmo

@muhd_gt

Silakan kongsi:

2 comments

    • Mad Oren on 20/11/2012 at 11:01 PM
    • Reply

    ehhhhh….wahhh..wahhh…mmg peberet aku keta bentuk gini

    • megatputrakuning2012 on 04/12/2012 at 11:38 AM
    • Reply

    vw bunyi bass dia yg tersendiri,mcm vtec,boxer…org ckp identiti tersendiri…pergh…gua mcm juruckp vw laks…

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.