Lexus CT200h Siri F-Sport

Sebelum ini saya pernah berikrar dengan seorang rakan yang saya tidak akan membeli kenderaan Toyota moden kecuali Lexus. Walaupun jenama itu asal-usulnya daripada Toyota namun Lexus difungsikan sebagai kemuncak kesempurnaan Toyota. Jika rekaan Toyota boleh dikatakan sebagai biasa-biasa Lexus pula lebih elegan. Rekaannya bersahaja tetapi tajam dan segak. Istilah Inggeris yang biasa digunakan ialah sharp. Harus tahu mereka yang bekerja di Lexus bukan calang-calang orang, mereka sangat mahir dan teliti dalam bidang masing-masing. Sehinggakan enjin diuji dengan telinga melalui steteskop bagi memeriksa jika ada bunyi yang berbeza daripada kebiasaan. Mereka yang mahir ini dipanggil sebagai Master Craftsmen atau gambaran lebih jelasnya ialah seperti pengukir kayu di negara kita. Hasil ukiran yang halus datang daripada pengukir yang mahir serta berpengalaman yang mana boleh membuatkan kita kagum dengan hasil kerja mereka. Lebih halus lebih tinggi nilainya jadi tidak hairanlah ukiran dengan ukuran hanya sekaki dua mahal harganya. Dan begitulah juga dengan Lexus, proses pra produksinya saja sudah meletihkan dan menjadikan harganya terletak di dalam kategori premium walaupun hakikatnya nadi atau platform adalah sama dengan kenderaan Toyota.

Lexus sebenarnya disasarkan di dalam pasaran mewah yang sudah sinonim dengan jenama dari Jerman seperti BMW dan Mercedes. Oleh itu, setiap model BMW dan Mercedes pasti akan ada pencabar yang serupa daripada Lexus. Lawan dari Asia. Model CT200h keluaran Lexus boleh dilihat sebagai pencabar BMW 1 series atau Mercedes B class. Saiz CT200h tidaklah besar mana bahkan ianya kelihatan seperti model IS250 yang dipendekkan, walaupun begitu storan belakang tidaklah sempit atau rekaan yang sekadar cukup makan. Nampak agak luas juga. Apa pun, paling menarik tentang CT200h adalah harganya yang murah, atau lebih tepat paling murah di antara model-model Lexus lain. Dengan harga kira-kira RM173 ribu anda boleh memiliki CT200h yang menggunakan sistem hibrid sama seperti Prius. Kereta mewah yang ekonomikal. Dek kerana memakai jenama Lexus maka harganya lebih mahal daripada Prius yang berharga sekitar RM140 ribu.

Tidak cukup dengan bertarung secara berdepan dengan variasi Mercedes dan BMW, Lexus juga turut mempunyai pesaing bagi model berprestasi kedua-dua jenama itu seperti AMG untuk Mercedes dan BMW. F-Sport adalah gred sporty bagi kenderaan Lexus dan lebih jelas dilihat melalui penggayaan baharu seperti spoiler belakangan yang lebih besar, skirt sisi yang mengembang, gril depan serta bampar yang lebih aerodinamik. Di keempat-empat sudut rodanya pula dipasangkan rim aloi 17 inci dengan warna gelap. Di dalam kabin, apa yang membezakan model F-Sport dengan yang biasa ialah sterengnya yang rata pada bahagian bawah dan pedal dan scuff plates yang diperbuat daripada aluminium.

CT200h F-Sport turut dilengkapkan dengan cruise control, kerusi kulit F-Sport berwarna hitam, kerusi depan yang mempunyai pemanas, kerusi pemandu yang boleh laras secara automatik, cermin sisi dengan electrochromatic (auto dimming) dan kamera parkir dengan  visual pada cermin pandang belakang. Jika itu masih tidak memadai, pembeli boleh menambah lagi resipi kemewahan dengan menambah beberapa perkakasan seperti sistem navigasi HDD yang digabungkan dengan kawalan Remote Touch Lexus, cermin pandang belakang dengan tahap cahaya boleh laras, monitor panduan belakang dan pakej pembesar suara 10 unit. Sensor parkir depan dan belakang serta cermin suria juga turut terdapat sebagai opsyen pembelian.

Untuk pengendalian dan pemanduan yang lebih mantap, Lexus telah menala suspensi model ini agar lebih ‘engaged’ dengan pemandu. Standard untuk F-Sport ialah teknologi lateral damping manakala kadar kekenyalan spring telah ditukar dan penyerap hentak standard Showa pula telah digantikan dengan set jenama Kayaba yang lebih berorientasikan pemanduan sporty. Sistem lateral damping yang merupakan unik di dalam kelas CT200h berjaya mengurangkan gegaran badan kereta seterusnya menyumbang kepada ‘feel’ stereng yang lebih linear seterusnya menjadikan pemanduan lebih asyik dan memberi lebih keselesaan untuk penumpang kereta.

Dengan pelanjutan pengecualian cukai terhadap kenderaan hibrid tidak mustahil model F-Sport akan dibawa masuk ke dalam pasaran negara. Suatu ketika dulu pun dengan cukai yang tinggi agak mustahil untuk rakyat merasa teknologi termaju automotif tetapi kini dengan insentif cukai hibrid itu apa yang ditawarkan di pasaran global itulah yang dapat kita beli. Walaupun kita sudah tertinggal jauh dalam industri kereta massa tetapi negara mempunyai peluang yang luas di dalam bidang teknologi hijau. Bahkan jika pasaran kenderaan diliberalisasikan dalam masa beberapa tahun akan datang kenderaan hibrid dijangka akan kalis penurunan harga kerana faktor harga yang realistik dengan sedikit fi cukai. Di United Kingdom, Lexus CT 200h F-Sport dipasarkan pada permulaan harga GBP27,850 iaitu kira-kira RM137 ribu. Secara relatifnya harga di UK berada pada paras harga Toyota Prius di sini. Saya yakin Lexus Malaysia, UMW Toyota dan kerajaan mempunyai kira-kira tersendiri mengapa harga kenderaan hibrid di sini berbeza dengan di UK. Mungkin juga spesifikasinya berbeza di antara sesebuah pasaran lain.

-Mak/d Uia-

Silakan kongsi:

7 comments

Skip to comment form

    • kete_hitam on 17/11/2011 at 12:30 AM
    • Reply

    semat sungguh. mmg teringin kereta nk pakai hibrid nih.

    • kete_hitam on 17/11/2011 at 12:31 AM
    • Reply

    semat sungguh. mmg teringin nk pakai kereta hibrid nih.

    • pelug on 17/11/2011 at 10:25 AM
    • Reply

    hibrid eksoz perang….

    • coupe on 17/11/2011 at 12:08 PM
    • Reply

    byk yg kita blh jimat bila guna enjin hibrid nie…

    • megatputrakuning on 17/11/2011 at 12:32 PM
    • Reply

    hrg kt msia cmne ek?

    • Alteja on 17/11/2011 at 2:09 PM
    • Reply

    Dari segi ekonomikal, berbaloi lagi beli Prius sebab enjin sama & saiz lebih kurang. Hanya dibezakan dgn ropa & nama… apapun, ke2-2nyan tak termasuk dlm senarai kreta yg aku nak….

    • smut_liar on 18/11/2011 at 2:16 PM
    • Reply

    mmg smart keta cangini..
    wa stuju ngan goku..model toyo yg biasa jer kat m.sia ni..

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.