Jualan Honda City cecah 250 ribu unit – Honda Malaysia rai pemilik

Honda City facelift

Honda Malaysia telah mencatat kejayaan mengagumkan pada bulan ini apabila jualan Honda City telah mencecah 250,000 unit sejak generasi kedua kereta penumpang segmen B itu dilancarkan 16 tahun lepas.

Pencapaian itu adalah bukti sambutan baik pasaran dan terakui apabila Honda City rupa baharu (facelift) telah ditempah sebanyak 2,000 unit dalam masa 10 hari selepas dilancarkan pada 2 Mac lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, En. Katsuto Hayashi berkata, “Kami menghargai dan berterima kasih kepada kesemua 250,000 pemilik Honda City. Sokongan dan maklumbalas pelanggan telah mendorong kami untuk menghasilkan penanda aras baharu model ini pada setiap generasi yang dihasilkan. Sokongan pelanggan dan kepercayaan terhadap jenama Honda membolehkan model-model kenderaan kami menjadi peneraju segmen termasuk City yang merupakan peneraju kereta segmen B.

Honda City adalah model global dan menerima sambutan yang konsisten dari rakyat Malaysia setiap kali generasi baharu memasuki pasaran. Jualan City sebenarnya adalah penyumbang utama dalam melonjakkan Honda Malaysia sebagai syarikat kenderaan bukan nasional nombor satu untuk dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016. Selain daripada itu, City turut membantu Honda Malaysia menduduki tempat kedua dalam jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) pada 2016.”

Honda City dipasang secara terurai (CKD) di Malaysia sejak generasi kedua hingga generasi terkini. Berdasarkan rekod, City generasi kedua terjual lebih dari 61,000 unit manakala generasi ketiga pula lebih dari 84,000 unit. City generasi keempat adalah yang paling berjaya setakat ini dengan menguasai 33% pasaran kereta segmen B pada tahun ia dilancarkan iaitu 2014 dan meningkat kepada 39% pada penghujung Disember 2016.

City generasi keempat pula telah mencatat 100,000 unit jualan bermula dari Mac 2014 hingga Disember 2016 yang turut mewakili 38% jualan Honda dalam tempoh sama. Warna Taffeta White dan Modern Steel adalah dua warna paling popular di kalangan pembeli City.

Pembeli City yang ke 250,000 ialah En. Tan Kian Hui yang memilih varian V berwarna Modern Steel Metallic. Beliau yang tinggal di Klang, Selangor membeli model itu dari Tiong Nam Motor (M) Sdn. Bhd. Bagi meraikan pembelian tersebut, Honda Malaysia menghadiahkan beliau baucar servis bernilai RM1,000, set barangan Honda serta pakej Modulo Urban dan Utility yang bernilai RM5,300.

En. Tan juga adalah salah satu dari 25 pemenang bertuah baucar servis bernilai RM1,000 sempena sambutan ini dan masih terdapat lagi 24 baucar yang terbuka untuk pelanggan. Honda Malaysia turut menganjurkan beberapa program yang sedang berlangsung sekarang ini seperti Best Deals Promotion, Best Time to Get Best Protection with Ecotint dan The Digital Treasure Hunt Wall Contest.

BACA LAGI:

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.