Honda Super Cub C125 Kini Di Pasaran, RM 14K! BSH Turut Lancar CBR1000RR Fireblade SP dan CB1100 RS

Memulakan tahun 2019, Boon Siew Honda telah memperkenalkan tiga model baharu iaitu Super Cub C125, CBR1000RR Fireblade SP dan CB1100 RS.

Model-model ini dijangka akan sekali lagi mengujakan pengguna dan seterusnya menerajui industri motosikal di Malaysia pada tahun 2019.

Honda Super Cub C125

Super Cub C100 diperkenalkan pada tahun 1958 buat pertama kalinya dan model ini telah memberi keseronokan dan memainkan peranan penting dalam kehidupan orang ramai sepanjang era tersebut.

Selepas 60 tahun, ia terus menjadi motosikal paling popular sepanjang
masa dengan angka jualan mencecah 100 juta unit di seluruh dunia.

Setelah sekian lama, Boon Siew Honda memperkenalkan versi baharu Super Cub, iaitu Super Cub C125 ke pasaran tempatan.

Seiring dengan namanya, motosikal ini kini hadir dengan penyejuk udara bersesaran 125cc dan enjin SOHC empat lejang dengan sistem suntikan bahan
api yang mampu menjana kuasa 6.79 kW pada 7,500rpm bersama tork maksimum 9.98Nm pada 5,000rpm.

Di sebalik gayaan klasik, Super Cub C125 dilengkapi ciri keselamatan moden yang merangkumi lampu LED dan Sistem Kunci Pintar Honda.

Model ini dibekalkan tangki minyak berkapasiti 3.7 liter di bawah tempat duduknya yang boleh dibuka secara elektronik.

Super Cub C125 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu biru mutiara (Pearl Niltava Blue), merah mutiara (Pearl Nebula Red) dan hitam (Pearl Shinning Black).

Honda Super Cub C125 ditawarkan pada harga RM 13,999.00.

Honda CBR1000RR Fireblade SP

Selepas pengenalan CBR1000RR Fireblade pada acara Kuala Lumpur International Motorshow 2018, Boon Siew Honda melancarkan pula model CBR1000RR Fireblade SP.

Jentera ini menawarkan prestasi tunggangan lebih hebat, ringan dan dilengkapi teknologi canggih untuk pengguna yang mahukan pecutan dan gemar menunggang di litar.

Honda Fireblade SP membawakan konsep ‘Next Stage Total Control’ ke tahap yang berlainan berbanding model Fireblade.

Enjin 4 lejang DOHC dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,000cc itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 141kW pada 13,000rpm dan
tork 114Nm pada 11,000rpm.

CBR1000RR Fireblade SP adalah lebih ringan iaitu 195kg dengan tujahan kuasa yang sama dan menjadi motosikal Honda pertama yang dilengkapi Ohlin Smart Electronically Controlled Suspensions.

Ia juga hadir dengan tangki minyak titanium kompak berkapasiti 16L, Sistem Brek
Brembo, Quickshifter dan Cornering ABS.

Semua ini membolehkan CBR1000RR Fireblade SP menjadi sebuah model ke tahap yang lebih tinggi.

Dari segi luaran, Fireblade SP didatangkan dengan pelekat HRC Tricolor, bersama jalur berwarna putih dan biru yang menyerlahkan tradisi serta sejarah perlumbaan Honda.

Honda CBR1000RR Fireblade SP ditawarkan pada harga RM 114,999.00.

Honda CB1100 RS

Boon Siew Honda turut mengejutkan pasaran dengan pelancaran Honda CB1100 RS serba baharu yang menjadi penambahan terbaharu ke dalam barisan model berkuasa tingginya.

CB1100 RS mempunyai gaya sebuah motosikal sport tahun 70-an. Ia tampil dengan tangki minyak yang dihasilkan tanpa kesan pateri dan diserlahkan lagi dengan kehalusan kemahiran tangan.

Lampu utama tunggal berbentuk bulat dan dua dial instrumen memberikan siluet yang tidak ditelan zaman. Semua lampu kini adalah LED untuk rekaan yang lebih moden.

Jentera yang menawan ini dikuasakan oleh enjin DOHC empat injap empat lejang dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,140cc.

Ia mampu menjana kuasa mencecah 66kW pada 7,500rpm dan tork 91Nm pada 5,500rpm.

Gayaan sporty CB1100 RS disokong oleh chasis yang menggunakan geometri lebih tajam, selain dipadankan dengan suspensi hadapan Showa Dual Bending Valve (SDBV) yang lebih keras dan Twin Showa remote reservoir rear shocks.

Ia juga dilengkapi rim tempaan aluminium bersaiz 17 inci, dual radial-mount four-piston brake calipers dan ABS untuk tunggangan lebih baik.

Posisi tungangan yang lebih rendah dan kompak menolak berat penunggang ke hadapan, sekali gus menyempurnakan lagi perubahan chasis tersebut.

CB1100 RS boleh didapati dalam warna hitam metalik (Darkness Black Metallic) dan perak metalik (Mat Beta Silver Metallic) bersama kemasan kemas serta teliti.

Honda CB1100 RS ditawarkan pada harga RM 75,999.00.

Kesemua harga yang dinyatakan ialah harga cadangan di bilik pameran, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran.

Honda Super Cub C125

Honda CBR1000RR Fireblade SP

Honda CB1100 RS

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.