Honda Malaysia Membuat Panggilan Semula City 2014 dan Jazz 2015 Untuk Kemaskini Perisian CVT

Honda City Malaysia 2014.04

Honda Malaysia pada minggu lepas membuat pengumuman bagi memanggil semula City generasi ke-4 (2014) dan Jazz generasi ke-3 (2015). Panggilan semula itu melibatkan 12,232 unit Honda City dan 97 unit Honda Jazz yang dikatakan mempunyai masalah dengan perisian yang mengawal kotak gear CVT. Kerosakan itu perlu diperbaiki melalui kemaskini perisian CVT pada Powertrain Control Module (PCM).

Menurut Honda Malaysia, apabila pedal minyak ditekan dan dilepaskan dengan cepat pada kelajuan tinggi, tekanan hidraulik yang tinggi akan menghasilkan bebanan besar pada aci takal pemacu dan boleh menyebabkan pemacu patah dan kenderaan kehilangan kuasa sewaktu memandu.

Walau bagaimanapun sehingga kini, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan di Malaysia. Honda Malaysia mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pelanggan dan menyesali kesukaran yang dihadapi pengguna. Model Honda lain tidak terlibat dengan panggilan semula ini. Honda Malaysia ingin memaklumkan pelanggan bahawa syarikat komited di dalam misinya untuk mengeluarkan produk yang terbaik dan langkah proaktif ini adalah untuk mengelak sebarang risiko kemalangan.

Honda Jazz 2014.01

Kesemua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan melalui surat yang mengandungi butiran kemaskini pembaikan tersebut. Pelanggan yang menerima surat adalah dinasihatkan untuk menghantar kenderaan mereka ke pusat servis Honda terdekat untuk pemeriksaan. Sebarang caj pembaikan ditanggung oleh Honda Malaysia.

Pelanggan juga boleh memeriksa status kenderaan mereka dengan membuat panggilan ke talian bebas tol Honda iaitu 1-800-88-2020.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.