Honda Malaysia Lancar HR-V Sport Hybrid i-DCD dan HR-V RS

Honda Malaysia telah melancarkan varian baharu HR-V Sport Hybrid i-DCD. Pelancaran ini menjadikan Malaysia salah satu daripada hanya dua negara di dunia selain Jepun yang menawarkan sistem hibrid pintar Dual-Clutch Drive (i-DCD).

Sebelum ini, Honda Malaysia menawarkan model eksklusif Jazz Hybrid dan City Hybrid dengan teknologi i-DCD.

HR-V Sport Hybrid i-DCD dikuasakan oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang digabungkan dengan kotak gear klac berkembar 7 kelajuan dan Integrated High Power Motor.

Gabungan enjin dan motor yang dibantu oleh bateri lithium-ion itu mampu menawarkan kuasa seperti enjin bersesaran 2.0 liter. Sistem Sport Hybrid i-DCD juga membolehkan kenderaan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya dalam Mode EV.

Honda Malaysia merupakan perintis yang membawa teknologi hibrid ke Malaysia sejak tahun 2004. Ia juga menjadi pengeluar kenderaan pertama yang menghasilkan model hybrid dalam negara.

Mula dilancarkan pada tahun 2015, HR-V menerima maklum balas memberangsangkan dengan jumlah jualan lebih 72,300 unit setakat 2018.

Angka itu membolehkan HR-V menguasai 81 peratus, seterusnya mengekalkan posisi No. 1 dalam pasaran SUV kompak di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.

Honda HR-V RS

Selain varian hibrid, Honda Malaysia turut memperkenalkan HR-V RS yang menjadikannya varian RS pertama dilancarkan di Malaysia.

Setakat ini, lebih 4,600 uit HR-V baharu sudah ditempah pelanggan.

HR-V RS dijana oleh enjin 1.8L SOHC i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Ia juga dilengkapi sistem Variable Gear Ratio (VGR) untuk menawarkan pemanduan lebih sporty.

Disasarkan kepada pelanggan yang mahukan sebuah SUV lebih sporty, varian RS didatangkan dengan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci, gril hadapan baharu, serta bampar hadapan dan belakang berwarna hitam.

HR-V menetapkan penanda aras baharu dalam segmen SUV kompak apabila mengetengahkan beberapa ciri menarik. Antaranya ialah kamera pelbagai sudut, kerusi larasan elektrik (V & RS), kerusi balutan kulit (V & RS), Honda LaneWatch (V & RS), Kawalan Jelajah dan Paddle Shift.

SUV itu didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu merah mutiara (baharu), kelabu, perak, hitam dan putih mutiara.

Pelanggan juga boleh mendapatkan tiga pakej aksesori iaitu Modulo pada harga RM5,737 Urban Package (RM1,716) dan Utility Package (RM902).

Honda Malaysia menawarkan jamninan selama 8 tahun dengan perbatuan tanpa had untuk bateri hibrid. Sasaran jualan ialah 1,000 unit HR-V varian petrol dan 100 unit bagi model HR-V Sport Hybrid i-DCD.

HR-V Sport Hybrid i-DCD dijual pada harga RM 120,000 manakala HR-V RS pula pada harga RM 124,800.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.