Honda Civic Hatchback 1.5 VTEC Turbo dijual secara rasmi di Thailand

Honda Civic Hatchback Thailand

Honda Civic Hatchback yang baru sahaja dilancarkan di Amerika Syarikat kini sudah tiba di negara jiran iaitu Thailand. Model itu akan berada di bilik Pameran Honda Thailand bermula 20 Mac ini. Untuk pasaran ASEAN, Thailand merupakan negara pertama yang menawarkan Civic Hatchback dan mungkin di antara beberapa negara sahaja di dunia yang menjualnya secara rasmi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Honda Automobile (Thailand) Co., Ltd., En. Pitak Pruittisarikorn, “Sebagai meraikan kejayaan Honda Civic generasi kesepuluh yang telah terjual sebanyak 35,000 unit sejak dilancarkan pada 2016 dan untuk menekankan jiwa sport Civic, kami sangat bangga untuk melancarkan Honda Civic Hatchback ini. Dengan gayaan sporti dan rekabentuk belakang yang menangkap mata dan dikuasakan oleh enjin VTEC Turbo, kereta ini menawarkan ciri-ciri yang diperlukan buat mereka dengan gaya hidup aktif dan sukakan rekabentuk yang menyerlah dengan adunan sporti.”

Dari segi luaran, Honda Civic Hatchback mempunyai identiti tersendiri berbanding Honda Civic Sedan. Paling jelas ialah bampar depan dan belakang dengan gayaan yang lebih sporti manakala beberapa identiti utama seperti lampu utama, cermin sisi dan garis badan yang merupakan identiti Civic dikekalkan.

Honda Civic Hatchback Thailand

Suatu yang lama tidak dilihat pada sebuah Civic ialah pintu but belakang dibuka secara menaik ke atas tipikal seperti sebuah kereta hatchback. Di pintu tersebut terdapat dua spoiler, satu di atas dan satu lagi di tengah yang nampak ‘comel’ merentasi cermin belakang dengan lampu brek ketiga.

Walaupun Civic Hatchback 112 mm lebih pendek dari Civic Sedan (4,518 & 4,630 mm), tetapi saiz ruang bagasi lebih besar apabila kerusi belakang dibaringkan dengan penuh. Civic Sedan walau bagaimanapun mempunyai ruang but lebih besar iaitu 519 liter jika dibandingkan dengan 414 liter pada Civic Hatchback.

Honda Civic Hatchback berkongsi enjin sama seperti Civic Sedan iaitu 1.5 liter DOHC VTEC TURBO dengan transmisi CVT di bawah Teknologi Earth Dreams Honda. Enjin 1.5 VTEC Turbo berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan tork maksimum 220 Nm bermula dari 1,700 hingga 5,500 rpm. Menurut Honda, kuasa enjin 1.5 liter VTEC Turbo seumpama kuasa enjin 2.4 liter dengan penggunaan minyak bersamaan enjin 1.8 liter.

Honda Civic Hatchback Thailand

Spesifikasi dalaman adalah sama seperti Honda Civic Sedan iaitu sistem Advanced Display Audio tujuh inci dengan fungsi Bluetooth, slot USB dan sambungan Apple CarPlay. Turut sama ialah butang Engine Remote Start yang boleh menghidupkan enjin kereta dari luar.

Honda Civic Hatchback dilengkapi pelbagai ciri keselamatan iaitu enam beg udara, Sistem Bantuan Penstabilan (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Anti-lock Braking System (ABS) dengan Electronic Brake Distribution (EBD).

Ciri-ciri lain ialah Multi-angle Rearview Camera, Electric Parking Brake, Auto Brake Hold, Emergency Stop Signal (ESS) dan Walk Away Auto Lock.

Honda Civic Hatchback Thailand

Terdapat lima warna Honda Civic Hatchback iaitu Midnight Burgundy Pearl, White Orchid Pearl, Crystal Black Pearl, Modern Steel Metallic dan Lunar Silver Metallic.

Mengenai harga pula, Honda Civic Hatchback 1.5 VTEC Turbo dijual pada RM 147,214 (THB 1,169,000) dan jika dibandingkan di Malaysia, harga tersebut sudah memasuki ruang Honda Accord dan Honda CR-V.

Berdasarkan pertanyaan yang dibuat oleh media, Honda Malaysia tidak mempunyai rancangan untuk memasarkan Honda Civic Hatchback secara rasmi melainkan ada permintaan yang kuat dari pasaran.

Mengikut perancangan Honda pada tahun ini, terdapat empat model yang akan diperkenalkan di mana dua sudah dilancarkan iaitu Honda BR-V dan Honda City rupa baharu.

Dua lagi model berkemungkinan ialah model hibrid dan SUV.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.