Honda Malaysia telah melancarkan Honda City facelift (rupa baharu) yang dilengkapi pelbagai ciri ‘premium’ yang ada pada kereta segmen C tetapi pada harga kereta segmen B. Walaupun dengan penambahan kelengkapan tetapi harganya kekal dan turun untuk varian S.
Harga Honda City facelift varian E dan V sama seperti model sebelumnya iaitu RM84,600 dan RM92,000 manakala harga Honda City varian S ialah RM78,300 iaitu pengurangan sebanyak RM1,000 berbanding varian S+ sebelum ini.
City Baharu mengekalkan enjin Honda 1.5L i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi Continuous Variable Transmission (CVT) canggih yang dibangunkan di bawah Earth Dreams Technology Honda untuk keseimbangan di antara prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api.
Tiga varian City – S, E dan V
Varian Honda City facelift masih sama seperti model sebelum iaitu S, E dan V. Cuma varian S Honda City facelift adalah naik taraf varian S+ sebelum ini.
Kesemua varian dilengkapi Sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup Enjin, Lampu Pencahayaan Siang (DRL) LED, Cermin Sisi Boleh Lipat Automatik dan Rim Aloi Dua Tona.
Varian berspesifikasi paling tinggi iaitu Honda City gred V lebih istimewa dengan beberapa kelengkapan eksklusif iaitu Lampu Depan LED dengan LED DRL, Lampu Kabus Hadapan LED, Lampu Belakang LED dan Ducktail Spoiler bersama Lampu Brek LED.
Honda City gred V juga lengkap dengan Tempat Duduk Kulit dan 8 unit Pembesar Suara, Pedal Penukar Gear (Paddle Shift) dan Kawalan Jelajah (Cruise Control) dan Kamera Undur Pelbagai Sudut.
Lebih kelengkapan keselamatan standard (VSA, HSA, ESS)
Tindakan yang harus dipuji apabila Honda Malaysia membekalkan kesemua varian Honda City facelift dengan beberapa kelengkapan keselamatan seperti Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).
Sama seperti model Honda berspesifikasi tinggi lain, City gred V turut dilengkapi 6 Beg Udara.
Ruang kargo setanding kereta segmen D
Ruang dalaman Honda City facelift dibangunkan di bawah prinsip reka bentuk Honda iaitu “Man Maximum, Machine Minimum” yang memaksimumkan ruang untuk pemandu, penumpang dan barangan.
Ruang kargo Honda City bersaiz 536 liter dan ia lebih besar pesaing lain dalam segmen-C, malah setara dengan sedan segmen-D.
Dari segi praktikaliti, tempat duduk belakang City facelift boleh dilipat pada konfigurasi 60:40 untuk menawarkan kemudahan kepada pemilik serta penumpang dan boleh diibaratkan seperti sedan yang memiliki utiliti sebuah hatchback.
Harga – Kekal dan turun
Suatu yang menarik apabila Honda Malaysia berjaya mengekalkan harga yang sama untuk varian E dan V manakala harga varian S sedikit rendah berbanding varian S+ sebelum ini.
Di sebalik penambahan ciri yang signifikan ke atas Honda City facelift, harga varian E dan V tidak berubah iaitu RM84,600 dan RM92,000 manakala harga varian S dikurangkan sebanyak RM1,000 berbanding varian S+. Harga varian S ialah RM78,300 dan ia lebih lengkap dengan tambahan ciri-ciri keselamatan dan kemudahan baharu.
Bagi memberi sentuhan lebih sporty dan individual, Honda Malaysia menawarkan Pakej Aksesori Tulen Honda pada harga bermula dari RM820.
Sasaran jualan 2,000 unit sebulan
Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual 2,000 unit City Baharu sebulan. Dengan pelancaran City Baharu disamping BR-V Serba Baharu dan dua lagi model yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, Honda Malaysia yakin dapat mencapai sasaran jualan 100,000 unit setahun.
Jaminan dan ganjaran ekstra
Honda City facelift didatangkan dengan waranti lima tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000km boleh dibuat di mana-mana 88 pengedar Honda di seluruh negara.
Selain itu, Honda Malaysia turut memberi ganjaran kepada pelanggan terutama sekali pemilik City facelift menerusi Promosi 3S (Jualan, Servis, Alat Ganti) di mana mereka boleh menikmati servis percuma (alat ganti & buruh) selama dua tahun.
Promosi 3S ini bukan sahaja terhad untuk pembeli Honda City facelift tetapi juga untuk kesemua pembeli kenderaan baharu Honda yang didaftarkan menerusi 88 pengedar sah Honda mulai 1 Mac hingga 30 April 2017.
City Baharu didatangkan dalam 5 warna iaitu Perak (Lunar Silver Metallic), Merah (Dark Ruby Red Pearl), Putih (Taffeta White), Kelabu (Modern Steel Metallic) dan Hitam (Crystal Black Pearl).
BACA LAGI: Honda City facelift – Perbezaan di antara tiga varian S, E dan V
Galeri gambar Honda City facelift: