Honda BR-V Terima Tempahan Luar Biasa – Hampir 11K Unit Dalam Masa 6 Bulan!

Honda BR-V adalah kenderaan serbaguna tujuh tempat duduk atau digelar sebagai crossover. Ia bukan sebuah kenderaan yang dibina untuk kelajuan tetapi jumlah jualannya begitu deras sekali.

Sewaktu melancarkannya, Honda Malaysia meletakkan sasaran jualan sebanyak 10,000 unit pada tahun ini namun sebaliknya yang berlaku apabila dalam tempoh enam bulan sahaja hampir 11,000 unit BR-V berjaya dijual.

Susulan pencapaian itu, Honda Malaysia menyasarkan angka jualan baharu iaitu sebanyak 15,000 unit memandangkan 2017 masih lagi berbaki lima bulan.

Honda BR-V adalah model keluaran Honda R&D Asia Pasific Co., Ltd. (HRAP) khusus untuk rantau ASEAN dan pertama kali dipasarkan di Malaysia.

Varian dan warna paling digemari

Varian V mendominasi jualan iaitu sebanyak 80 peratus manakala warna paling digemari ialah Tafetta White sebanyak 27 peratus manakala di tempat kedua ialah Modern Steel Metallic sebanyak 25 peratus. Warna Dark Ruby Red Pearl, Golden Brown Metallic dan Lunar Silver Metallic pula berkongsi populariti iaitu dari 16 hingga 17 peratus.

Jualan paling tinggi – Lembah Klang

Jualan paling tinggi ialah dari Lembah Klang sebanyak 44 peratus dan disusuli oleh wilayah Selatan dan Utara masing-masing sebanyak 20 dan 18 peratus. Jualan di Timur Malaysia juga menggalakkan iaitu sebanyak 10 peratus berbanding enam peratus sasaran awal. Jualan BR-V di sana mewakili 34 peratus jualan keseluruhan model Honda.

Pembeli

Majoriti pembeli ialah mereka yang bertukar dari kenderaan Nasional dan juga kenderaan bukan Nasional yang mahukan lebih. Pembeli juga turut terdiri daripada mereka yang pertama kali mendapatkan kereta iaitu sebanyak 14 peratus

Tempoh penghantaran

Honda Malaysia memberi jaminan tempoh penghantaran setiap tempahan BR-V ialah dari satu hingga dua bulan. Honda juga sedang mengambil langkah-langkah yang wajar bagi menghantar tempahan BR-V dengan segera dan efisien tanpa berkompromi pada kawalan kualiti.

Varian dan harga

Honda Malaysia menawarkan BR-V dalam dua varian iaitu E dan V. Kedua-dua varian ini direka untuk memenuhi keperluan berbeza dalam kalangan pelanggan BR-V serba baharu.

Varian E ditawarkan pada harga RM85,800 (Harga Atas Jalan dengan Insurans), manakala varian V pula berharga RM92,800 (Harga Atas Jalan dengan Insurans) seunit.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.