ETCM MELANCARKAN NISSAN SYLPHY 2014 – Dari RM115,817

Nissan Sylphy 2014.09

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah melancarkan Nissan Sylphy generasi ketiga pada 29 April lepas. Sylphy Serba Baharu menawarkan pengguna di Malaysia dengan karekteristik pemanduan mengagumkan, reka bentuk elegan, ruang dalaman yang luas dan senyap. Ia juga dilengkapi dengan teknologi-teknologi terkini untuk prestasi dan penjimatan bahan api yang cemerlang. Nissan Sylphy Serba Baharu adalah salah satu model global utama Nissan yang dipasarkan di kira-kira 120 buah negara termasuklah Jepun, China, Thailand dan Australia (sebagai Pulsar) serta Amerika Syarikat (dikenali sebagai Sentra).

Pada majlis pelancarannya, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, En. Tan Keng Meng berkata, “ETCM berbangga untuk memperkenalkan Nissan Sylphy generasi ketiga serba baharu kepada pengguna di Malaysia. Ia dibina menggunakan platform dan reka bentuk serba baharu yang membuktikan penambahbaikan pada semua aspek. Menerusi pakej sofistikated yang menggabungkan rekaan premium, keselesaan dan keluasan ruang yang menlangkaui kelasnya; ditambah pula dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaik dalam segmennya, kami percaya bahawa Sylphy serba baharu akan menawarkan pilihan bernilai tinggi kepada pengguna. Nissan Sylphy serba baharu diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand.”

Nissan Sylphy 2014.07

Nissan Sylphy Serba Baharu dikuasakan oleh enjin MRA8DE Twin CVTC yang baru. Enjin Nissan serba baharu ini amat efisien, kompak dan ringan. Ia dilengkapi teknologi-teknologi baru dan kawalan injap pemasaan berterusan (CVTC) pada bahagian pengambilan dan ekzos. Reka bentuk lejang yang panjang menawarkan penghantaran kuasa tork yang lebih baik bagi meningkatkan aspek pecutan ketika berada pada kelajuan rendah. Enjin serba baharu ini kemudian dipadankan dengan kotak gear XCVT (Xtronic Continuously Variable Transmission) generasi seterusnya bersama satu gear sub-planetari untuk penukaran gear yang lancar dan kehilangan kuasa dapat diminimumkan. Rekaan badan baharu yang aerodinamik menawarkan halangan udara yang rendah serta mengoptimumkan laluan angin pada bahagian bawah kenderaan untuk mencapai kadar seretan hanya 0.29. Maka, dengan semua teknologi ini, Nissan Sylphy Serba Baharu adalah lebih menjimatkan.

Rekaan ruang dalaman Nissan Sylphy Serba Baharu generasi ketiga mengekspresikan rasa yang dinamik dan premium, pada masa sama meningkatkan kefungsiannya. Gril hadapan bersepadu tiga dimensi berwarna krom yang menjadi signatur Nissan diintegrasikan dengan enam lampu utama LED yang menyerlah dan memberikan rekaan menarik kepada Nissan Sylphy serba baharu. Melihat dari arah sisi, garis karekternya bergerak dari lekuk dapra hadapan hingga ke lampu belakang yang menampilkan reka bentuk ladam kuda yang besar bersama lampu LED.

Nissan Sylphy 2014.13

Tambahan kepada perubahan signifikan bahagian luarannya, Nissan Sylphy serba baharu menawarkan keselesaan melangkaui kelasnya dengan ruang yang luas serta kehalusan rekaan dalamannya. Keselesaan ruang dalaman ditingkatkan dengan menambah 30mm untuk ruang bahu dan sebanyak 680mm pada ruang kaki. , Nissan Sylphy Serba Baharu juga memiliki kapasiti ruang kargo sehingga 510 liter, terbaik dalam kelasnya.

Untuk ruang kabin, panel instrumen menampilkan seksyen atas dan tengah yang saling melengkapi, selain penggunaan kemasan pad lembut bagi memberikan rasa yang premium. Material-material yang dipilih dan digabungkan dengan berhati-hati digunakan pada kemasan akhir panel tengah nyata memberikan rasa kualiti tinggi yang melangkaui kelasnya di seluruh ruang kabin. Permukaan ‘butiran mikro’ mengurangkan silau pada cermin utama. Sekali gus mengurangkan ketidakselesaan dan gangguan kepada pemandu. Kluster Meter Fine Vision dengan Paparan Multi-maklumat (MID) dan indikator mode ECO merupakan satu lagi ciri yang menawarkan pemanduan lebih selesa serta tidak memenatkan.

Kabin Nissan Sylphy Serba Baharu menawarkan pengalaman yang lebih selesa dan senyap menerusi penambahbaikan yang mengurangkan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH). Ketegaran badan yang diperkukuhkan, material penebat akustik yang diletak dengan berkesan dan penggunaan suspensi menyerap getaran menawarkan kesenyapan serta pemanduan selesa. Ciri-ciri lain termasuklah sistem Kawalan Suhu Dua Zon Automatik yang menghasilkan persekitaran selesa untuk semua penumpang. Darjah penglihatan pemandu juga ditingkatkan melalui tingkap yang besar. Manakala bonet yang ‘curam’ membuatkan bucu-bucu kereta dapat dilihat dengan lebih senang dan memudahkannya untuk mengubah haluan.

Nissan Sylphy 2014.14

Nissan Sylphy Serba Baharu menawarkan ciri keselamatan terbaik yang memberi keutamaan kepada pemandu dan para penumpangnya. Ia dilengkapi dengan enam beg udara SRS yang mendahului kelasnya, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama sejumlah sistem kawalan keselamatan seperti ABS (Anti-locking braking system), EBD (Electronic Brakeforce distribution), BA (Brake Assist System) dan TCS (Traction Control System) membantu pemandu mengawal kenderaan serta mengelak daripada bahaya dalam situasi-situasi kecemasan. Ciri-ciri termaju ini meningkatkan kestabilan kenderaan dan menghalangnya daripada tergelincir di atas jalan yang licin. Sylphy Serba Baharu hadir dengan sistem brek cakera pada keempat-empat rodanya. Ciri keselamatan lain termasuklah lampu utama jenis Xenon dengan pengarasan automatik dan pembersih (varian 1.8L sahaja), kamera pandang belakang (1.8L sahaja), tali pinggang hadapan dengan pengehad beban dan pra-regangan, binaan badan yang kukuh serta rekaan bahagian hadapan untuk melindungi pejalan kaki.

Sewaktu melancarkan tema Nissan Sylphy Serba Baharu, Tan berkata, “ Embrace Distinction” menjadi slogan kata buat Nissan Sylphy Serba Baharu kerana ia melambangkan sikap dan gaya yang mencipta nilai-nilai sesuai dengan identiti peribadi seseorang. Dalam erti kata lain, Nissan Sylphy Serba Baharu menawarkan satu proposisi unik yang melangkaui segmen C dari segi kecantikannya serta ciri-ciri mendahului kelasnya ketika ia melangkah ke skala yang lebih premium.”

Nissan Sylphy 2014.11

Nissan Sylphy serba baharu didatangkan dalam dua varian, 1.8 E dan 1.8 VL. Terdapat lima pilihan warna iaitu merah (Cayenne Red), hitam (Premium Black), emas (Bronze Gold), putih Diamond White) dan perak (Brilliant Silver).

Nissan Sylphy serba baharu hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000km mana-mana tiba dahulu. Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di bilik-bilik pameran Nissan di seluruh negara.

Sempena pelancaran Nissan Sylphy serba baharu, ETCM menawarkan pemasangan lapisan cermin (tinting) Solar Gard Armorcoat secara percuma kepada 1,000 pelanggan terawal.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.