Entri Khas: GearTinggi Setahun!

GTdanKwn2.001

Seperti media lain yang sambut ulangtahun diaorang akan ada entri khas dan saya pun samalah nak ambil kesempatan ini untuk menulis seterusnya berkongsi dengan sekutu tentang sejarah, hal ehwal semasa dan masa depan GT. Dengan ini saya harap GT dan sekutu lebih dekat dan oklah tanpa membuang masa selamat membaca!

Bagaimana GT bermula?

GT bermula lebih dari setahun lepas, segalanya bermula kerana rali. Pada pusingan pertama Kejohanan Rali Malaysia [MRC] 2009 di Cyberjaya saya emelkan siaran akhbar kepada dua editor blog automotif yang terkenal dan mempunyai ramai pengikut. Hanya seorang yang menjawab dan membuat liputan rali tersebut. Mungkin bengang kerana tidak mendapat respons tambahan pula rali semakin lama semakin kurang mendapat pendedahan di media saya membuat keputusan untuk membina blog sendiri. Orang pertama saya hubungi ialah Pipiyapong.

Shelby Eleanor

Saya berjumpa dan berbincang dengan Pipi di Restoran Kereta yang kini dah menjadi sejarah. Idea kitaorang masa itu ringkas sahaja, kita nak buat blog yang menyeronokkan, selamba dan dengan format bahasa Melayu. Mengenangkan ramai pembeli kereta bertutur bahasa Melayu dan kurangnya rujukan untuk mereka dalam web BM menjadikan saya lebih bersemangat untuk menulis tambahan pula pada waktu tersebut negara tengah hangat dengan isu PPSMI.

Semasa di RK kitaorang borak panjang lebar sambil sedut teh o ais. Kereta-kereta yang kitaorang nak tulis pun sempoi sahaja, Pajero kerajaan, Jengkaut, Lori dan Teksi. Selepas itu baru saya hubungi Baii, dan dia pun ok saja. Seterusnya ialah proses pembinaan blog. Untuk pengetahuan sekutu, nama GearTinggi sebenarnya adalah hasil tinjauan pasaran [market survey] di beberapa forum kereta. Beberapa opsyen diberikan iaitu Gear Tinggi, Gear Atas dan Abis Gear, hasil undian ramai memilih GearTinggi dan begitulah nama GT dirasmikan sebagai blog automotif rasmi saya, Pipi, Baii dan Amid. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada ahli forum Satria Neo Club, SAVOC, C99 Limited dan GSR Community sebab undian lu orang semua.

GTdanKwn2.003

Selepas itu bermulalah siri dalam talian, sebelum GT dilancarkan saya ada buat dua blog ujian, satu di WordPress dan satu lagi di Blogspot. Menggunakan platform tersebut pelbagai ujian dilakukan seperti grafik, suntingan paparan dan saya beberapa kali berulang alik ke pejabat Kereta berjumpa dengan Pipi dan Baii. Proses ini sahaja mengambil masa sebulan lebih sebab maklumlah kitaorang bertiga memang buta IT. Saya sukakan nombor yang cantik dan bila tarikh 9/6/9 semakin dekat ianya menjadi panggilan kejut tidur untuk GT didaftarkan secara rasmi. Pada malam 8/6 GT didaftarkan di alam maya dan keesokan harinya GT berlegar-legar tanpa sebarang entri. Pada masa ini Kumprinx dan Vovin banyak membantu, kalau sekutu nak tau diaorang lah yang menjadi pakar IT GT. Kitaorang memang terhutang budi pada lu dua.

GTdanKwn2.002

Matpon

Bila sebut pasal Matpon saja saya memang nak tergelak atau memang gelak pun. Memang tak boleh blah. Si Matpon ni dia pengganti Mat Kacau sebenarnya. Semasa sesi perbincangan dengan Baii memang saya nak lantik Mat Kacau saja tolong jaga blog dan balas komen. Saat-saat akhir Baii ubah fikiran dan mencadangkan Matpon saja buat kerja Mat Kacau. Memang lintang pukang jadinya blog ini. Kalau sekutu nak tau mana Baii dapat Matpon boleh tanya pada dia, saya nak tulis panjang pun tak boleh sebab bila teringat pada dia atau baca dia punya komen memang saya nak tergelak bahkan berkali-kali terkantoi gelak sorang-sorang. Di sebabkan Matpon juga saya kena tukar nama dari Mat Uia jadi Mak Uia sebab pangkal nama sama, nanti pening nak baca lu orang tegur saya atau Matpon. Dan orang Kelantan tidak memanggil nama Mat sebagai Mat tetapi Mak dan kalau sekutu nak tau Mat tu dalam bahasa Arab maksudnya tak berapa elok.

Entri Dulu-Dulu

Dengan idea gila-gila entri pertama GT adalah pada 15/6 iaitu Shelby Eleanor, kereta sekolah lama milik Pipi. Sambutan hari pertama ok la, tidak silap saya ada 700 hits sebab Pipi terbitkan juga pada blog Hilangpunca miliknya dan sehingga kini pun ramai pengunjung GT adalah dari Hilangpunca. Selepas pada itu bersusunlah entri-entri di GT, semuanya sempoi-sempoi dan kami berharap sekutu semua mendapat maklumat dan isi di samping gaya penulisan yang santai.

Pada bulan pertama wujudnya GT, saya agak terkejut jugalah dengan sambutan yang diterima dan bermula dari situ siri-siri penghargaan untuk pembaca, kitaorang berikan pelekat GT percuma dan kemudian wujudkan pula pertandingan raya dan rali, dan dari situ kami mula mendapat tajaan korporat daripada tidak lain tidak bukan GSR Pennzoil. Sekutu bertuah mendapat tempias, ada yang dapat servis kereta percuma dan yang akan datang ini GSR Pennzoil – GearTinggi Taxi Ride.

GTdanKwn2.006

Ghairah Memblog

Pelbagai entri diterbitkan sejak mula GT ditubuhkan tetapi ada masalah besar di sebalik keghairahan kitaorang memblog. Entri-entri tersebut menggunakan benda haram. Perisian cetak rompak, gambar yang diambil tanpa izin dan lain-lain lagi. Tidak guna kita mengutuk Zionis jika kita membuat perkara sama seperti diaorang. Oleh itu ratusan entri GT dihilangkan dari pembaca dan bertitik tolak dari kesedaran tersebut kini GT menggunakan perisian percuma dan lebih berhati-hati bab soal hakcipta. Kitaorang sebolehnya tidak mahu menjadi pencuri maya.

Suka saya nak ingatkan yang bila kita letak gambar atau salin balik [copy & paste] bahan milik orang dan kemudian letak pautan asal tidak bermakna pemilik asal memberi kebenaran, baca dulu ruangan hakcipta atau minta izin dengan pemilik bahan.

Dengan ini juga saya harap sekutu yang ada blog supaya berhati-hati dalam memblog, pastikan kita tidak mencuri hak orang dan juga kalau nak baca GT jangan salah guna masa dan harta pejabat, kalau minta izin dulu tak apa.

Isu tentang blog bukan setakat itu sahaja, dalam ghairah memblog juga saya terlupa tentang beberapa perkara lagi yang penting. Banyak gambar yang mempunyai unsur-unsur yang tidak dibenarkan perlu diberi perhatian. Gambar yang tidak menutup aurat, logo syarikat riba semuanya tak boleh dipamerkan sebab sama macam kita promosikan benda-benda tersebut.

Jadi itulah dia…

GTdanKwn2.007

Masa Depan GT

Antara matlamat GT ialah mempromosikan ilmu kejuruteraan automotif dan mendokong industri automotif negara. Benda ini penting sebab ianya jalan mencapai kemajuan. Negara yang kuat adalah negara maju dan untuk menjadi negara maju kita perlu mempunyai industri. Dan salah satu yang sudah kita teroka ialah automotif. Kata apa sahaja mengenai barangan buatan tempatan dan secara logiknya kita perlu bertatih, merangkak, berjalan sebelum boleh berlari pantas.

Kalau ikut perancangan kitaorang ada bermacam idea dan salah satunya ialah menerbitkan majalah GearTinggi. Awal lagi nak cerita pasal majalah GT dan kalau menjadi kenyataan saya harap sekutu semua memberi sokongan.

Dari segi bahan pula kami akan cuba tampilkan tim-tim dan acara yang kurang mendapat sambutan dan rasanya rali kini sudah kembali diberi perhatian oleh peminat sukan permotoran. Pembaca pun sudah kembali mengingati Saladin Mazlan dan pemandu rali lain dan sentiasa ternanti-nanti keputusan perlumbaan rali baik di dalam dan luar negara. Walaupun sekutu tidak pergi menonton tapi memberi sokongan dari jauh pun seperti memberi komen dalam entri pun sudah besar ertinya. Sekurang-kurangnya ada alternatif nak diberi perhatian selain bahan bacaan berunsur Mempelam. Selain dari itu kalau sekutu semua ada projek baik nak cadang pada skru, kita orang ok saja, manalah tau ada hartawan yang nampak prospek GT dan boleh saja email kitaorang.

GTdanKwn2.004

Terima Kasih Semua!

Akhir sekali GT mungkin tidak sempurna dan sementara itu kitaorang terhutang budi kepada semua yang menyokong, penaja dan sekutu semua. Kalau dulu entri di GT hanya sekali sehari tetapi kini atas respons pembaca setia  kami meningkatkan jumlah bahan kepada 2 atau 3 sehari. Walaupun Encik Matpon tulis pasal Selingan Mata pun kira jadilah dan saya terkejut sebenarnya sebab boleh tahan juga ramai yang meneka cuma si Matpon dia main ngelat padam orang punya jawapan ikut suka dia. Dahlah dialek Kelate, Ganu, Nogori dia tunggang-langgang.

Apapun, setiap klik dalam GT adalah penghargaan buat kami dan rasanya memang dah panjang gila saya menulis ni dan sampai di sini sajalah, kita berjumpa lagi dalam entri lain. Selepas ini ada satu lagi entri khas sempena setahun GT. Over to you Matpon.

Matpon: Yeaaahhh!! Baby…!!! I Lap Uuuu!!!!

Terima kassseyyyyyy……..!!!!!!!!!!

-Mak Uia-

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.