Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini melancarkan secara rasmi Pikap Paling Unggul, Nissan NP300 Navara serba baharu.
Majlis tersebut diadakan di Pusat 4S ETCM Glenmarie serta dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Yang Berhormat Dato’ Seri Ong Ka Chuan. Beliau ditemani oleh Presiden Tan Chong Motor Holdings, Yang Berbahagia Dato’ Tan Heng Chew. Nissan diwakili oleh Naib Presiden Kanan Nissan Motor Asia Pacific Co. Ltd, En. Kenji Naito. Sementara ETCM diwakili oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Yang Berbahagia Dato’ Dr Ang Bon Beng.
Sebagai pengganti kepada model popular Navara D40, pikap dwi kabin NP300 Navara menawarkan kombinasi terbaik dengan prestasi pemanduan yang dinamik, ketahanan luar biasa, reka bentuk berani dan teknologi termaju. Ia menjadi trak pikap buatan Jepun pertama di Malaysia yang menggunakan suspensi belakang jenis multi-link. Suspensi ini mampu memberi pengalaman pemanduan dan pengendalian yang selesa seperti sebuah SUV – walaupun ketika membawa beban maksimum seberat satu tan.
DNA reka bentuk dan warisan Nissan pada NP300 Navara nyata tersendiri. Lampu utama LED sepenuhnya dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL) berbentuk boomerang yang pertama dalan kelasnya menyempurnakan rekaan gril signatur ‘V-motion’ Nissan. Sekali gus menyerlahkan lagi nilai estetik NP300 Navara. Spoiler belakang yang baru meningkatkan aspek aerodinamik. Manakala rim aloi bersaiz 18 inci menambahkan lagi elemen sportynya.
NP300 Navara ini dikuasakan oleh enjin 2.5L YD25DDTi dengan sistem geometri boleh ubah (VGS) turbo intercooler. Ia dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan bersama mode manual yang pertama dalam kelasnya untuk lebih kuasa dan pecutan lebih lancar. Kuasa maksimum mencecah 190PS dan tork 450Nm/2,000rpm menjadikannya trak pikap paling berkuasa dalam kelasnya.
NP300 Navara menawarkan keselesaan dan kemewahan yang boleh didapati pada model-model premium Nissan yang lain. Tempat duduk yang diinspirasikan daripada graviti sifar (Zero Gravity Inspired Seats) yang pertama dalam kelasnya memberi sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan. Sementara sudut tempat menyandar untuk tempat duduk belakang yang telah ditambah baik bersama corong pendingin hawa memastikan keselesaan penumpang belakang pada setiap masa. Skrin warna Advanced Drive Assist Display (ADAD) bersaiz lima inci memaparkan maklumat kenderaan untuk memudahkan pemanduan. Sementara stereng yang sporty bersama butang kawalan memberikan pemandu akses terus ke atas sistem audio dan kawalan jelajah di hujung jari sahaja.
Ciri-ciri keselamatan utama yang ada pada NP300 Navara ialah Hill Start Assist, Hill Descent Control dan Active Brake Limited Slip untuk menawarkan kawalan cengkaman serta meningkatkan kestabilan kenderaan. Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah cagak tempat duduk kanak-kanak (ISOFIX dengan tether), Vehicle Dynamic Control dan Traction Control System, Anti-locking Braking System, Electronic Brake Force distribution serta Brake Assist.
NP300 Navara turut menawarkan satu varian kabin tunggal yang paling berkuasa di pasaran. Varian itu dilengkapi dengan badan besi untuk menyokong beban penuh seberat satu tan. Ia juga hadir bersama suspensi belakang jenis multi-dedaun serta ruang kargo rendah yang pertama dalam kelasnya.
Menurut Dato’ Dr. Ang Bon Beng, NP300 Navara serba baharu direka untuk mengharungi apa jua bentuk muka bumi. “Kami namakan NP300 Navara sebagai Pikap Paling Unggul. Ini kerana ia memiliki fleksibiliti untuk menjadi kenderaan yang boleh dipercayai dan lasak dalam melaksanakan tugas. Pada masa sama selesa serta luas untuk kegunaan riadah dan perjalanan di hujung minggu. Sejak ETCM membuka pra-tempahan pada pertengahan Oktober, kami telah mengumpul lebih 1,000 tempahan Nissan NP300 Navara. Maklum balas yang memberangsangkan ini sememangnya menguatkan lagi semangat kami untuk bekerja lebih keras demi memastikan Pikap Paling Unggul ini mampu menempatkan dirinya sebagai pesaing utama dalam segmen trak pikap di Malaysia – kemudian menjadi trak pikap pilihan rakyat Malaysia.”
Diimport sepenuhnya dari Thailand, enam varian 4WD ditawarkan ke pasaran Malaysia:
Dwi Kabin |
2.5 VL (7-kelajuan AT) |
Kabin Tunggal |
2.5 L (6-kelajuan MT) |
2.5 V (7-kelajuan AT) |
|||
2.5 SE (7-kelajuan AT) |
|||
2.5 SE (6-kelajuan MT) |
|||
2.5 E (6-kelajuan MT) |
Nissan NP300 Navara hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu). Empat warna ditawarkan iaitu Perak (Tungsten Silver), Hitam (Diamond Black), Putih (Brilliant White) dan satu pilihan warna baharu, Oren Savana (Savanna Orange).