DRB-HICOM DAN PROTON MENGHADIAHKAN KERETA KEPADA JUARA SUKAN OLIMPIK MALAYSIA DI RIO 2016

Proton Hadiahkan Kereta Kepada Pemenang Olimpik Rio

Sebagai tanda penghargaan di atas pencapaian yang dicatatkan oleh kontinjen Olimpik Malaysia baru-baru ini di acara sukan Olimpik Rio, DRB-HICOM dan PROTON Holdings Bhd menghadiahkan sebanyak lapan buah kereta kepada wira-wira negara yang telah berjaya memperoleh pingat untuk negara.

Majlis telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Encik Khairy Jamaluddin, diiringi Chef-de-Mission kontinjen Olimpik Malaysia, YBhg Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM dan Pengerusi PROTON, Dato’ Sri Syed Faisal Albar.

Sebuah Proton Perdana dihadiahkan kepada Datuk Lee Chong Wei bagi pencapaiannya di Sukan Olimpik yang juga menjadikannya atlet Olimpik Malaysia paling berjaya dalam sejarah dengan pungutan tiga pingat perak. Pencapaian pingat perak yang pertama telah diperolehi dari Sukan Olimpik Beijing 2008 diikuti dengan pingat perak kedua dari Sukan Olimpik London 2012 dan pingat perak ketiga dari Sukan Olimpik Rio 2016 baru-baru ini.

Bagi pemenang pingat perak yang lain, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong (10m platform seirama wanita), Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (Beregu Campuran Badminton), dan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong (Beregu Lelaki Badminton) masing-masingnya dihadiahkan Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium.

Azizulhasni Awang, pelumba Malaysia pertama yang memenangi pingat di Sukan Olimpik tersebut, yang juga lebih dikenali sebagai Azizul the Pocket Rocket, menerima Proton Persona serba baharu yang baru sahaja dilancarkan bulan lepas, untuk pencapaian gangsanya.

“Bersempena dengan bulan kemerdekaan dan juga pada hari Malaysia yang akan diraikan tidak lama lagi, mereka yang telah berjuang bersungguh-sungguh pada Olimpik Rio 2016 baru-baru ini memberikan inspirasi kepada kita. Demi menghargai pengorbanan mereka ini, kami amat berbesar hati untuk menghadiahkan kereta-kereta nasional kepada atlet-atlet kita untuk meraikan kemenangan mereka pada pencapaian mereka di tahap yang tertinggi,” kata Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM dan Pengerusi PROTON.

Beliau menambah “Kami berharap agar dengan rekod pencapaian yang telah dicatatkan di Sukan Olimpik Rio 2016 baru-baru ini, akan menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menghasilkan pencapaian yang lebih membanggakan.”

DRB-HICOM dan PROTON mengucapkan tahniah kepada semua pemenang pingat yang telah mengharumkan nama negara.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.