Dasar Automotif Nasional 2014

Slides Presentation NAP 2014 - YBM Presentation (4pm)-page-0

Pada 20 Januari lepas YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) telah mengumumkan Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014). Dasar baharu itu merupakan semakan kepada NAP 2009 dan telah mengambil masa selama 18 bulan untuk dikaji dan diumumkan. NAP 2014 yang ditunggu-tunggu itu memberi perhatian besar dan memberi indikasi ke mana hala tuju industri automotif negara.

Komponen pelan tindakan yang dinyatakan di dalam ucapan YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed mengandungi dua teras utama iaitu Teras Hala Tuju dan Teras Stratergi. Teras Hala Tuju merangkumi teras Pelaburan, Teknologi dan Kejuruteraan serta Peluasan Pasaran, manakala Teras Strategi pula meliputi teras Pembangunan Rantaian Pembekal Komponen dan Alat Ganti, Pembangunan Modal Insan, serta Keselamatan dan Alam Sekitar.

Fokus kerajaan kini adalah menjadikan Malaysia sebagai hab EEV (Kenderaan Cekap Tenaga) menjelang tahun 2015.

Selari dengan strategi tersebut kerajaan telah memperkenalkan ciri-ciri kenderaan yang layak untuk mendapatkan insentif customised di mana terdapat tiga penanda aras iaitu penggunaan minyak, berat kenderaan dan tahap emisi. Sementara menunggu kualiti minyak yang lebih baik, kerajaan akan menggunakan tahap penggunaan minyak yang efisien.

Definisi EEV

  • Berdasarkan amalan antarabangsa, EEV ditakrifkan sebagai kenderaan yang memenuhi spesifikasi yang ditetapkan bagi penggunaan bahan bakar secara lebih efisien dan pelepasan bahan asap, termasuk kenderaan konvensional bertenaga efisien, hibrid, kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan berbahan bakar alternatif seperti Compressed Natural Gas, Liqufied Petroleum Gas, Biodiesel, Etanol, Hidrogen dan Fuel Cell.

Strategi bagi menjadikan Malaysia sebagai hab EEV:

  1. Pengeluaran Lesen Pengilang baharu bagi kenderaan dalam kategori EEV bagi semua segmen kenderaan;
  2. Pemberian insentif customised bagi menarik lagi pelaburan strategik dalam kategori kenderaan EEV;
  3. Pemberian insentif customised bagi membangunkan sektor strategik supaya ekosistem automotif dapat dipertingkatkan. Antara sektor strategik adalah enjin, transmisi dan sistem kawalan, set dai dan acuan (die and mould), acuan aluminium dan non-ferrous.
  4. Dasar sedia ada bagi pengeluaran Lesen Pengilang baharu bagi segmen bukan EEV dikekalkan.

Kerajaan turut melanjutkan pengecualian cukai untuk kenderaan hibrid CKD manakala pengecualian cukai untuk kenderaan hibrid CBU (Honda CR-Z, Honda Insight, Toyota Prius dan Prius C, Lexus CT200h, Nissan Serena S-Hybrid) dihentikan untuk model yang diimport pada tahun 2014. Model CKD hibrid yang menikmati insentif cukai ialah Honda Jazz Hybrid dan Toyota Camry Hybrid yang bakal diperkenalkan hujung tahun ini.

  • Pemberian insentif pengecualian duti import dan duti eksais mulai 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2015 bagi kenderaan hibrid Completely Knocked Down (CKD) dan mulai 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2017 bagi kenderaan elektrik CKD.
  • Selepas itu, syarikat pemasang kenderaan hibrid dan elektrik secara CKD akan dipertimbangkan insentif customised. Pemberian insentif customised ini antara lain berdasarkan tahap pelaburan strategik oleh syarikat yang meliputi nilai pelaburan, jumlah pengeluaran, pemindahan teknologi, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan rantaian bekalan, peluang pekerjaan dan jumlah eksport.

Polisi Jangka Hayat Kenderaan

Cakap-cakap mengenai kerajaan bakal mewajibkan kenderaan yang berusia supaya dilupuskan telah menjadi isu hangat sebelum ini. Namun apa yang ingin dilakukan kerajaan ialah supaya kenderaan perlu menjalani pemeriksaan bagi menjamin keselamatan di atas jalan raya. Menyedari kekurangan yang bakal dihadapi di dalam pelaksanaan program tersebut kerajaan telah memperkenalkan program pemeriksaan kenderaan secara sukarela seperti berikut.

  • Pemeriksaan kenderaan secara sukarela yang diperkenalkan di bawah NAP 2014 adalah bukan bertujuan untuk melupuskan kenderaan berdasarkan jangka usia. Objektif utama langkah ini adalah bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna dan kenderaan di atas jalan raya melalui pemeriksaan tahunan.
  • Bagi memastikan pemeriksaan kenderaan secara sukarela ini dapat memberi manfaat kepada pengguna dan juga masyarakat perniagaan, pelan pelaksanaan pemeriksaan kenderaan dalam NAP 2014 menggariskan pelantikan pusat pemeriksaan kenderaan, tidak terhad kepada satu agensi atau syarikat sahaja tetapi memberi peluang perniagaan tambahan kepada syarikat yang layak. Ini juga akan memastikan kadar caj pemeriksaan kenderaan yang dikenakan akan lebih kompetitif berdasarkan permintaan pasaran.

Penurunan Harga Kereta 20% – 30%

Barisan Nasional telah membuat akujanji untuk menurunkan harga kereta dari 20% hingga 30% dalam masa 5 tahun. Setelah terpilih menjadi kerajaan, akujanji tersebut bakal dilaksanakan melalui Rangka Kerja Pengurangan Harga Kereta (CPR).

Penurunan harga dijangka bakal berlaku melalui proses liberalisasi di mana pengeluar kereta akan bersaing di dalam menawarkan produk mereka. Di antara kereta yang telah diturunkan harga melalui pelaburan domestik ialah Honda Jazz, Mazda CX-5, Nissan Almera dan Volkswagen Polo Sedan. Harga kereta nasional yang menjadi pilihan utama rakyat seperti Proton Saga SV, Persona SV dan Perodua Alza turut diturutkan.

Pada masa yang sama kerajaan dari semasa ke semasa turut mengkaji dasar fiskal dan sebarang penurunan cukai boleh dilakukan jika keadaan ekonomi negara mengizinkan. Ini bermakna kerajaan tidak akan menurunkan cukai atau duti sedia ada kecuali yang perlu dipatuhi seperti perjanjian perdagangan bebas.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.