BMW M6 Gran Coupé: Empat Pintu, Bumbung Low Rider!

Di dalam dunia rekabentuk kenderaan sekarang ini terdapat gayaan baharu yang dikenali sebagai coupé. Terma tersebut bukanlah baharu dan sebelum ini dirujuk kepada kereta dua pintu dengan bentuk sporty tetapi mempunyai bonet. Paling dekat dengan kita ialah Proton Putra, Hyundai Coupé atau pun Kia Forte Koup. Kereta berbentuk begitu banyak ditawarkan di Amerika Syarikat. Harus tahu, Honda Accord mempunyai versi coupé di pasaran sana. Sekarang ini, coupé telah didefinisikan semula dan tidak terhad kepada kereta dua pintu sahaja. Contoh coupé generasi baharu ialah Mercedes CLS,VW (Passat) CC dan Hyundai Sonata. Identiti coupé boleh dilihat pada bentuk bumbung yang rendah dan menariknya mempunyai empat pintu. Senang kata, coupé generasi baharu ialah kereta penumpang dengan bumbung yang rendah dan gayaan sleek. Lebih menarik, Hyundai Sonata misalnya mempunyai saiz interior yang luas dengan kelegaan kepala yang selesa walaupun dari luar nampak seperti berlaga bumbung.

Rekaan tersebut dicapai melalui manipulasi perkadaran (proportion) yang dilakukan oleh perekanya. Arus rekabentuk masakini juga berubah apabila banyak kereta menggunakan konsep kotak 2.5 berbanding kotak tiga. Kotak pertama merujuk kepada bonet depan, kotak kedua merujuk kepada ruang pemandu dan penumpang manakala kotak ketiga pula ialah bonet belakang. Dari segi visual, kereta moden nampak seperti mempunyai bonet belakang yang pendek dan saiz yang sempit. Hakikatnya melalui kaedah kotak 2.5, bonet belakang ditarik ke bahagian penumpang belakang dan sebab itu yang nampak pada mata kasar hanyalah suku daripada saiz sebenar bonet. Jika dibuka, ruangnya jauh terperosok ke dalam.

BMW mengeksploitasi gayaan coupé tersebut pada model baharunya, M6 Gran Coupé. Model tersebut nampak begitu sleek seperti peluru. M6 Gran Coupé adalah varian ketiga di dalam famili M6. Model itu membawa jenama prestasi M yang dipakejkan dengan ciri-ciri kemewahan dan penampilan astetik. Bahagian depan M6 Gran Coupé itu didominasi oleh corong masukan udara yang besar, lampu utama LED adaptive dan gril krom M yang direka khas untuk model itu. Dari sisi, model empat pintu coupé yang pertama keluaran BMW M GmbH itu nampak jelas berbeza dengan model M6 Coupé melalui pintu belakang ekstra dan jarak titik roda yang lebih panjang. Garisan bumbung yang rendah pula ‘didaratkan’ dengan molek ke bahagian belakang. Arca roda yang mengembang pula menunjukkan saiz yang lebar spesifik untuk model M6 Gran Coupé. Cermin sisi aerodinamik, rim aloi M bersaiz 20 inci dan ekzos berkembar pula adalah signatur jenama M.

Pada bahagian apron belakang terdapat peresap (diffuser) yang diperbuat daripada Gentian Kaca yang diperkukuhkan dengan Plastik (CFRP) yang mengoptimumkan aliran udara pada bahagian bawah kereta. Menariknya, material yang kuat itu turut digunakan pada bahagian bumbung. Struktur gentian tersebut jelas boleh dilihat yang menarik dan agresif dipandang dan begitu juga lekuk aerodinamik pada bahagian tengah bumbung kereta. Pada bahagian interior, ruangnya dipenuhi dengan kerusi pemandu dan penumpang M Sport dengan balutan kulit Merino. Kerusi belakang nampak seperti khusus untuk dua penumpang sahaja dan walaupun model itu adalah sporty namun penyandarnya boleh direbahkan mengikut format 40:60 seterusnya memberi ruang tambah bonet meningkat dari 460 liter kepada 1,265 liter.

Kemas dibawah bonet depan yang panjang ialah enjin V8 M TwinPower Turbo berkuasa 560hp. Enjin tersebut mempunyai pengecas turbo twin-scroll, manifold ekzos cross-bank, Sistem Pancitan Petrol Berketepatan Tinggi, injap pemasaan boleh ubah VALVETRONICdan Double Vanos. Enjin bersesaran 4,395cc tersebut mempunyai tork setinggi 680Nm dan putaran enjin maksimum 7,200 rpm. Pecutan dari sifar ke 100km/j hanya mengambil masa 4.2 saat dengan kelajuan maksimum 249.45km/j. Walau bagaimanapun, kelajuan tersebut bukanlah prestasi sebenar memandangkan ianya disekat melalui kawalan elektronik.

Bertanggungjawab dalam mengalih kuasa ke atas jalan ialah transmisi M Double Clutch dengan DRIVELOGIC. Sistem pengurusan elektronik transmisi tersebut memastikan seleksi gear yang betul untuk traksi yang optimum. Selain daripada itu, pemandu disediakan sistem Launch Control untuk pecutan maksimum, Low Speed Assistance untuk lebih keselesaan dan Auto Start-Stop untuk menambah lagi kecekapan bahan api. Untuk pemanduan dan pengendalian berkesan terutama sekali pecutan selepas keluar selekoh dan dalam keadaan jalan dan cuaca yang mencabar, sistem Active M Differential pada gandar belakang akan membahagikan kuasa di antara roda-roda untuk mendapatkan cengkaman yang maksimum. Limited Slip Differential (LSD) multi-disc yang dikawal secara elektronik pula sama-sama bekerja dengan sistem Dynamic Stability Control (DSC) dalam membahagikan pacuan kuasa di antara roda kanan dan kiri belakang dengan pantas dan tepat mengikut keadaan situasi pemanduan. Bagi menghentikan kereta ini, BMW memberi opsyen kepada pembeli brek seramik gentian M. Diperbuat daripada gentian kaca kompaun seramik, cakera tersebut lebih tahan terhadap suhu panas, lebih ringan dan tahan lama.

Ciri-ciri lain pada M6 Gran Coupé ialah Head-up Display dan Park Distance Control. Opsyen berasingan yang ditawarkan ialah kamera undur, Bantuan Lampu Puncak, Info Had Kelajuan, Amaran Penukaran Lorong, Lane Departure Warning, Surround View dan BMW Night Vision dengan pengecaman pejalan kaki. Lebih menarik, pengguna boleh menyambung telefon pintar mereka kepada kereta dan menggunakan aplikasi berasaskan internet. Apabila dipasarkan kelak pada Mei tahun depan, harga yang ditawarkan bermula dari GBP 97,490 atau kira-kira RM 485 ribu. Harga tersebut adalah biasa-biasa untuk kereta sport namun apa yang luar biasa ialah, M6 Gran Coupé ini boleh memuatkan empat penumpang dewasa. Maka tidak relevanlah mereka yang berhujah nakal tetapi logik mengenai kereta sport iaitu harga mahal tetapi hanya boleh dinaiki dua orang sahaja!

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

2 comments

  1. OMG

  2. lampu blakang dah mcam VW-CC 😀

Leave a Reply to gigikukuCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.