Balik Raya Punya Cerita 2012: Versi AngkatMuka [facelift]

Entri ini gua dah siarkan menjelang Raya tahun sudah. Kali ini gua keluarkan versi angkat muka [facelift] untuk buat pedoman nak balik raya minggu ini. Mana yang rasa elok, silalah praktikkan.

  1. Sebelum lu orang terfikir nak ke Sogo mahupun ke jalan TAR, ada eloknya duit yang ada tu gunakan dahulu untuk servis kereta masing-masing. Minyak hitam dalam enjin tu pun rasanya dah tak berapa nak hitam sangat dah.
  2. Mohon juga periksa keadaan bunga tayar tu. Jangan kata bunga, entah-entah daun aje yang tinggal kat tayar tu. Er, tarikh luput tayar pun lu orang wajib juga semak. Jangan pakai tayar yang sudah tamat tarikh luputnya waima bunganya masih lagi setebal buku teks Sejarah.
  3. Sebelum memulakan perjalanan, adalah afdal untuk lu orang membaca doa menaiki kenderaan. Kalau yang jenis tak berapa nak hafal, baca Bismillah pun memadai.
  4. Pemandu wajib berada dalam keadaan cukup cergas untuk memandu dalam keadaan yang mencabar. Mencabar bererti rohani dan jasmani harus bersedia dengan sebarang kebarangkalian menempuh kesesakan lalu lintas yang maha luar biasa. Leceh juga kalau mengantuk waktu-waktu macam ni.
  5. Untuk mengelakkan rasa mengantuk, ada eloknya juga orang yang duduk di sebelah pemandu adalah jenis yang Deejay Radio, banyak cakap. Boleh juga buat teman sembang. Tapi jangan sembang jenis mengumpat pula bimbang ditambah dosa pula.
  6. Sebelum bertolak pulang ke kampung, pastikan tahap petrol berada pada tahap yang paling cemerlang dan terbilang. Buat isian petrol sebelum memasuki lebuhraya di kawasan yang berdekatan dengan rumah. Dah tentu tak payah nak buang masa beratur sewaktu nak mengisi petrol.
  7. Jangan lupa juga membuat isian semula kad Sentuh & Pergi [Touch N Go] awal-awal. Jangan dah nak masuk lebuhraya, baru terhegeh-hegeh nak buat isian semula di kaunter tol. Tahukah anda betapa ramainya umat sibuk beratur waktu itu. Nak lebih afdal, gunakan saja Tag Pintar [Smart Tag].
  8. Kalau yang jenis sukakan cara konvensional, pastikan anda menyediakan tiket tol dan duitnya sebelum menghampiri Plaza Tol. Ramai sangat yang suka bila dah sampai depan Kakak Plaza Tol baru terhegeh-hegeh nak cari tiket sama beg duit. Yang duduk beratur kat belakang nak membayar pun boleh tahan banyak keretanya.
  9. Kalau dah beratur panjang sewaktu berada di Plaza Tol, jangan nak mengada-ngada menukar lorong. Tolong hormati sama hak asasi sesama manusia untuk beratur.
  10. Sewaktu memandu dengan laju di lebuhraya, cuba perhatikan sama kenderaan di hadapan dan yang lebih hadapan. Mana tahu, tiba-tiba tertekan brek kecemasan, sempat jugalah anda nak menekan brek sama. Tidaklah nanti sibuk penumpang sebelah nak kena brek pakai mulut.
  11. Kepada yang tidak tahu, Automated Enforcement System [AES] telah pun dipasang di sepanjang lebuhraya mahupun jalanraya yang berpotensi untuk dibuat kutipan saman secara besar-besaran. Jadi, silalah mematuhi had laju kebangsaan yang dibenarkan.
  12. Sewaktu memandu laju di lebuhraya, sila jangan memandu dengan sebelah tangan sahaja kerana dibimbangi jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan terhadapa tayar, kemungkinan untuk berlaku kemalangan berskala besar amatlah tinggi.
  13. Jikalau anda sedang memandu dengan had kelajuan kebangsaan dan berada di lorong paling kanan, mohon untuk beri laluan sekiranya ada kenderaan di belakang 8 batu lagi dah bagi lampu tinggi minta diberikan laluan. Jangan cuba jadi hero tak mahu beri laluan hanya kerana kenderaan tersebut dah mecapai had kelajuan ERL.
  14. Tali pinggang keledar tu jangan dah nampak sekatan jalanraya baru terhegeh-hegeh nak pasang. Tapi kalau anda jenis yang suka tercampak ke luar tingkat hadapan, tak pakai pun tak mengapa.
  15. Bagi yang menggunakan Jalan Persekutuan, tahap keberhati-hatian amat-amat diperlukan. Diulangi, amat-amat diperlukan! Jalan Kuala Lipis-Merapoh tu memang selalu masuk carta kemalangan ngeri. Jangan pernah pasang niat nak masuk carta tersebut.
  16. Tolong juga sedar diri dan sedar kemampuan kereta. Kalau setakat memandu Saga FLX, bubuh pula rim sukan bersaiz sampai berbelas-belas inci, penumpang mengalahkan MPV jangan cuba pasang niat untuk memotong bas bersaiz dua tingkat di hadapan. Kalau dah bertembung dengan kenderaan di hadapan, nak ingat Wad Kecemasan pun tiada gunanya lagi.
  17. Mana-mana kenderaan yang dah nak sampai kampung, sewaktu nak keluar masuk simpang, dengan rasa rendah diri gua memohon agar janganlah diacah-acah kepala kereta anda seperti hendak ke tak hendak keluar simpang. Kalau kenderaan lain masih lagi berada pada laluannya, berikan sahaja kerana anda yang harus mengalah. Jangan ikut amalan nak keluar simpang tapi kepala kereta terjulur keluar sampai makan setengah jalan. Ingat, mengambil hak orang lain itu berdosa.
  18. Ada orang berkata, sewaktu memandu tu ingatlah yang tersayang. Sesekali tu, ingatlah sama insan yang ada tak berapa nak sayang, Doktor sama pemandu Ambulan misalannya. Tapi sebenarnya, ingatlah Allah itu paling afdal sebenarnya.
  19. Dalam kereta pastikan sekurangnya ada sebotol dua air mineral, bimbang kalau-kalau suhu enjin kereta mendadak naik tahap kepanasannya di kala menempuh jem yang menggila.
  20. Kalau ada yang bertembung dengan kereta yang mengalami kerosakan sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas yang luarbiasa, janganlah dihina dan dicaci. Sesungguhnya, tiada siapa yang mahu mengalami sebarang masalah sewaktu nak balik raya ni. Ada baiknya lu orang berdoa, moga-moga kereta yang mengalami masalah tersebut dipermudahkan urusannya.

Kalau semua perkara yang di atas lu orang dah amalkan tetapi masih juga mengalami sebarang kecelakaan, anggap sahaja ianya takdir dariNya. Yang penting kena Redha.

p/s: Kalau nak tolong kongsi dengan orang lain pun silakan. Dapat juga gua tambah pahala.

-C27-

Silakan kongsi:

7 comments

Skip to comment form

    • pendita gila on 13/08/2012 at 9:39 AM
    • Reply

    Zakat jgn lupa..sekian

    • matmus on 13/08/2012 at 12:33 PM
    • Reply

    print dan laminate sendiri, lekat kat dashboard keta masing2 panduan ini.

    • perdanaburuk on 13/08/2012 at 2:58 PM
    • Reply

    Betul… Betul… Betul….

    • the123code on 13/08/2012 at 5:10 PM
    • Reply

    gua xbace byk2 ni. klau ade gmbr bru gua pham.

    • epi on 13/08/2012 at 6:34 PM
    • Reply

    versi FL (facelift)…tahun dpn versi Bolt plak min…hehehe

  1. selamat hari raya semua.. mlm ni gua bertolak pulang ke kg wife di Tandop Alor staq.. raya kelima ada kek kolo pilah.. sape2 nak melepak bagitau la

    • belalang_kontot on 17/08/2012 at 3:05 AM
    • Reply

    da nak raya da?mean hampir setahun peristiwa hitam gua berlalu (siap ade versi FL lagi peristiwa hitam gua)… selamathari raya aidil fitri semua… tahun ni raya 1st gua keje… kalo tuju lagu kat radio tu jangan lupe sebut nama gua…

    p/s: sopek, ekau oghang pilah ko? colah mano kampung kau? kok sudi moh la lepak sekali… tompi den bawak waja bughuk yo… huhu….

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.