Honda Malaysia telah menambah rangkaian model yang dilengkapi dengan teknologi Honda SENSING apabila memperkenalkan model Odyssey rupa baharu (facelift) yang juga pelancaran pertama syarikat pada tahun ini.
Odyssey ini merupakan model ketiga selepas CR-V dan Accord Baharu yang dilengkapi Honda SENSING di mana ciri keselamatan itu memenangi anugerah dalam 2016 ASEAN NCAP Grand Prix bagi kategori “Teknologi Keselamatan Terbaik” oleh pengeluar kenderaan.
Pelancaran Odyssey Baharu melengkapkan model yang dilengkapi Honda SENSING di Malaysia dalam segmen sedan, “Sport-Utility Vehicle” (SUV) dan “Multipurpose Vehicle” (MPV).
Honda SENSING* pada Odyssey Baharu terdiri daripada enam ciri yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Keselamatan dan Kemudahan & Keselesaan:
1. Ciri-ciri keselamatan:
• Forward Collision Warning (FCW) akan mengeluarkan amaran secara visual dan bunyi kepada pemandu apabila kamera monokular dan radar gelombang millimeter mengesan wujud risiko perlanggaran dengan kenderaan di hadapan
• Collision Mitigation Braking System (CMBS) membantu menekan brek secara progresif apabila ia mengesan risiko berlakunya perlanggaran
• Lane Departure Warning (LDW) memantau posisi kenderaan menggunakan kamera dan memberi amaran kepada pemandu jika ia keluar melepasi garisan jalan
• Road Departure Mitigation (RDM) memberi amaran, menekan brek dan membantu mengekalkan stereng agar pemandu tidak terbabas keluar dari jalan raya
2. Ciri-ciri untuk Kemudahan & Keselesaan:
• Adaptive Cruise Control (ACC) menetapkan kelajuan dan selang jarak dengan kenderaan di hadapan
• Lane Keep Assist System (LKAS) menggunakan kamera untuk mengenal pasti garis jalan dan membantu pemandu agar kenderaan sentiasa berada di bahagian tengah laluannya
Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Encik Akkbar Danial berkata, “Dengan adanya Honda SENSING, Odyssey Baharu dijangka dapat meningkatkan penanda aras keselamatan segmen MPV di Malaysia menerusi ciri keselamatan premium yang tiada tandingannya.
Odyssey Baharu turut dilengkapi “Multi-view Camera System”, “Smart Parking Assist System” dan “Blind Spot Information” yang memberi amaran jika kenderaan lain berada dalam titik buta ketika pemandu menukar haluan.
“Cross Traffic Monitoring” pula memberikan bunyi amaran apabila wujud risiko perlanggaran dengan kenderaan yang menghampiri rapat, sekali gus melindungi MPV ini. Selain semua ciri yang eksklusif pada
Odyssey ini, Odyssey Baharu juga dilengkapi dengan enam beg udara.”
Ciri keselamatan luar biasa di dalam MPV ini disempurnakan lagi untuk penampilan luaran yang mewah.
Penampilannya diserlahkan dengan bampar hadapan baharu, gril hadapan baharu dan rekaan lampu belakang LED yang baharu. Di samping lampu kabus LED, rim aloi dua tona dengan rekaan baharu bersaiz 17”, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik dan cermin pandangan belakang auto ‘dim’.
Ruang kabin Odyssey Baharu juga menerima penambahbaikan yang lebih praktikal. Ini termasuklah perehat tangan yang lebih besar dibahagian pemandu, tempat duduk penumpang kuasa 4-cara, ruang penyimpanan barang tambahan dengan utiliti yang dipertingkatkan.
Tempat duduk Premium Captain lengkap dengan Ottoman yang dipasang pada baris kedua kini didatangkan dengan perehat kepala lebih besar untuk meningkatkan lagi keselesaan dan keseronokan penumpang terutama sewaktu melalui perjalanan yang jauh.
Pergerakan keluar masuk dimudahkan menerusi Platform Lantai Ultra Rendah Odyssey Baharu. Ia membuatkan MPV ini mempunyai kabin yang luas sama seperti sebuah MPV dari kelas lebih besar.
Odyssey Baharu mengekalkan ciri-ciri tersendiri dari model terdahulu yang tampil dengan ‘silhouette’ tersendiri dan cukup kemas, ruang dalaman luas dan elegan, serta dilengkapi pelbagai ciri moden untuk sebuah MPV.
Dari segi prestasi, Odyssey Baharu dikuasakan oleh enjin 2.4L DOHC i-VTEC dengan Earth Dreams Technology dan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT). Ia menawarkan pecutan yang dinamik dan terbaik dalam kelasnya dari segi penjimatan bahan api, sama ada dipandu di bandar mahupun lebuh raya.
Dengan Odyssey Baharu yang menawarkan lebih banyak ciri dan teknologi, Honda Malaysia yakin dapat meningkatkan nilai MPV yang bergaya ini.
Odyssey Baharu ditawarkan dalam satu varian, 2.4L EXV dengan Honda SENSING pada harga RM254,800 tanpa insurans (termasuk GST). Honda Malaysia telah menetapkan sasaran untuk menjual sebanyak 130 unit Odyssey Baharu setahun.
Ia akan didatangkan dalam tiga pilihan warna dengan dua daripadanya adalah yang pertama untuk model Honda. Warna baharu itu ialah Platinum Putih Mutiara (Platinum White Pearl) dan Premium Hitam Mutiara (Premium Twinkle Black Pearl). Manakala warna Perak Metalik (Super Platinum Metallic) yang popular dikekalkan.
Odyssey Baharu dengan Honda SENSING kini sudah dibuka untuk tempahan di semua 93 pengedar Honda di seluruh negara. Ia hadir bersama jaminan selama 5 tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000km untuk memberi pemilik lebih Keseronokan Membeli (Joy of Buying).