Motosikal Dan Enjin Nasional (MODENAS) baru-baru ini telah melancarkan tiga buah motosikal sekaligus hasil kerjasama dengan Bajaj Auto Ltd iaitu PULSAR NS200 (naked street bike), PULSAR RS200 (race bike) dan V15 (café racer).
MODENAS mensasarkan peningkatan penguasaan pasaran sebanyak 22 peratus bagi segmen motosikal jalanan dan cruiser sport selepas setahun produk terbaharunya itu dilancarkan.
MODENAS ketika ini menguasai pegangan pasaran yang stabil sebanyak lapan peratus dalam segmen MOPED dan skuter tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi, Automotif, Kejuruteraan, Pembuatan dan Pengedaran DRB-Hicom, Dato’ Abdul Harith Abdullah, kerjasama yang dijalinkan dengan Bajaj Auto Ltd merupakan satu fasa semula jadi bagi MODENAS sebagai salah satu pengeluar motosikal terbesar di rantau ini, memandangkan syarikat berkenaan terkenal dengan barisan produknya yang berbeza dan disokong oleh pasukan R&D yang berinovasi serta kawalan mutu produk yang ketat.
“Saya amat berpuas hati dengan kerjasama terbaharu dengan Bajaj Auto Ltd ini kerana ia memberi peluang kepada kami untuk menembusi ke dalam satu segmen baru yang sedang pesat berkembang dan terus bertambah kukuh pada masa akan datang. Kami amat yakin bahawa kerjasama ini akan menjadi faktor pendorong yang diperlukan oleh MODENAS untuk mencapai cita-citanya”, tambah Abdul Harith.
MODENAS yakin ia mampu mengulangi kejayaan yang dikecapi oleh model terkenal PULSAR NS200, PULSAR RS200 dan V15 di sini memandangkan model berkenaan telah terbukti diterima di seluruh dunia dan menjadi peneraju dalam segmen masing-masing di 74 negara merentasi rantau Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia Selatan.
Kerjasama ini akan dimulakan secara berperingkat-peringkat termasuk pengedaran produk dan pembangunan hub pemasangan khusus di kilang MODENAS di Gurun, Kedah.
Hasil daripada kerjasama ini bakal menyaksikan pelancaran beberapa lagi model terbaharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan ia dijangka akan mendefinasikan semula segmen motosikal jalanan di Malaysia.
Pulsar NS200 – RM9,222 (di atas jalan tanpa insurans)
Pulsar NS200 dijana oleh enjin 199cc, SOHC, 4 lejang, penyejukan cecair, penyuntik bahan api silinder tunggal dan digital triple spark ignition. Model ini didatangkan dengan transmisi 6 kelajuan dengan kuasa maksimum 23.5 PS dan 24.5 PS @ 9500 RPM serta Tork pada 18.6 NM dan 18.3 NM @ 8000 RPM.
PULSAR NS200 telah direka agar tampak lebih sasa serta agresif dan didatangkan dalam skema warna serta grafik dua tona.
PULSAR RS200 – RM11,342 (di atas jalan tanpa insurans)
PULSAR RS200 pula bersifat lebih aerodinamik dan dibentuk agar lebih stabil pada kelajuan tinggi. Ia bakal menjadi motosikal bersaiz penuh pertama di Malaysia yang mempunyai sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran-tunggal yang memastikan keselamatan dan kestabilan walaupun pada kelajuan tinggi.
Model ini berkongsi enjin dan output kuasa yang sama dengan Pulsar NS200 iaitu 199cc, SOHC, 4 lejang, penyejukan cecair, penyuntik bahan api silinder tunggal dan digital triple spark ignition serta transmisi 6 kelajuan.
Kuasa maksimum ialah 23.5 PS dan 24.5 PS @ 9500 RPM serta Tork pada 18.6 NM dan 18.3 NM @ 8000 RPM.
V15 – RM5,989 (di atas jalan tanpa insurans)
V15 pula didatangkan dengan enjin 150cc digital twin-spark yang menggabungkan elemen terbaik gaya neo klasikal, keselesaan serta kuasa dan tork yang tepat bagi menghasilkan pengalaman menunggang yang sempurna.
Kuasa maksimumnya ialah 12 PS @ 7500 rpm ,Tork: 13 Nm @ 5500 rpm.
Kredit foto: Modenas (dengan suntingan)