Sime Darby Auto Performance (SDAP) selaku pengimport dan pengedar kenderaan Porsche di Malaysia telah melancarkan dua model baharu iaitu 718 Cayman dan 718 Cayman S. Kedua-dua model itu bukan sahaja dilengkapi enjin baharu malah pelbagai teknologi canggih sesuai dengan peredaran masa dan keperluan undang-undang.
Porsche 718 Cayman dan 718 Cayman S adalah dari keluarga 718 Boxster yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu.
Nadi kuasa
Seperti 718 Boxster yang dilancarkan, 718 Cayman menggunakan enjin ‘flat four’ (bentangan mendatar empat silinder) baharu manakala 718 Cayman S pula dengan enjin flat four 2.5 liter turbo.
Enjin 2.0 liter turbo pada 718 Cayman itu berkuasa 300 hp manakala enjin 2.5 liter pada Cayman S pula menggunakan teknologi turbo dengan geometri turbin boleh laras (VTG) berkuasa 350 hp. Enjin Cayman S itu lebih 25 hp berkuasa berbanding angka sebelum ini dengan 90 Nm tujahan lebih tinggi yang boleh dicapai dari bawah 2,000 rpm.
Prestasi
Video pertama GearTinggi TV – gt//tv
Enjin baharu Cayman turut dilengkapi Dynamic Boost untuk pecutan segera dan bertindak balas secara spontan seperti mana enjin aspirasi normal (n/a). Model 718 Cayman yang dipadankan dengan transmisi PDK dan Pakej Sports Chrono berupaya untuk memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 4.7 saat iaitu 0.7 saat lebih pantas dari sebelum ini manakala model 718 Cayman S pula dalam masa 4.2 saat iaitu 0.5 saat lebih pantas berbanding model lama.
Kelajuan maksimum 718 Cayman ialah 275 km/j manakala 285 km/j untuk model 718 Cayman S. Angka kelajuan tersebut boleh ditambah lagi melalui seleksi mod Sport pada tetapan Porsche Stability Management (PSM).
Spoiler belakang yang merupakan peralatan identiti rasmi Porsche pula akan diaktifkan secara automatik pada kelajuan bermula 120 km/j.
Casis
Casis Cayman telah diperbaharui untuk pengendalian di selekoh yang lebih dinamik dan selesa. Pemilik 718 Cayman yang mahukan pemanduan lebih jitu boleh memesan Porsche Active Suspension Management (PASM) yang merendahkan kereta sebanyak 10 mm dari ketinggian standard dan pertama kali untuk 718 Cayman S ialah suspensi sport PASM yang merendahkan kereta lebih dekat ke bumi iaitu sebanyak 20 mm.
Penggunaan bahan api
Kedua-dua 718 Cayman dan 718 Cayman S bukan sahaja lebih berkuasa dan berprestasi berbanding model sebelum ini malah ia lebih jimat bahan api. Enjin empat silinder dengan transmisi PDK mencatatkan penggunaan minyak 6.9 liter untuk setiap 100 km manakala 718 Cayman S pula ialah 7.3 liter untuk 100 km perjalanan. Kedua-dua bacaan itu mengikut standard ukuran New European Driving Cycle (NEDC).
Interior
Perkakasan dalaman seperti panel instrumen dan papan pemuka telah direka semula dan turut diambil dari model lain seperti stereng sport lebih kecil yang digunakan pada model 918 Spyder. Turut dilengkapi ialah skrin berwarna 4.6 inci di sisi bacaan rpm di tengah instrumen meter.
Sistem Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sentuh tujuh inci pula didatangkan sebagai ciri standard untuk model Cayman dan mempunyai beberapa fungsi seperti modul Connect, Navigasi dan Connect Plus. Sistem itu turut mempunyai sambungan USB untuk iPod dan fungsi Apple CarPlay dengan kawalan suara.
Teknologi bantuan pemanduan
Porsche 718 Cayman turut ditawarkan dengan beberapa kelengkapan pilihan seperti sistem kawalan jelajah (cruise control) yang berupaya untuk memperlahankan kereta apabila kelajuan yang ditetapkan telah dicapai sebagai contoh semasa memandu menuruni bukit.
Sistem Adaptive Cruise Control pula disesuaikan dengan transmisi PDK yang apabila memandu secara berturut dengan kenderaan lain di hadapan, klac akan berada pada posisi bebas seterusnya menjimatkan penggunaan minyak.
Fungsi bantuan penukaran lorong (lane change assist) pula akan mengawasi kenderaan di belakang serta kawasan titik buta melalui radar dan akan memberi amaran kepada pemandu melalui nyalaan lampu LED pada segi tiga cermin sisi.
Harga dan waranti
SDAP menawarkan Porsche 718 Cayman pada harga bermula dari RM530,000* manakala Porsche 718 Cayman S pula dari RM700,000*. Kenderaan Porsche yang dijual SDAP didatangkan dengan pakej empat tahun waranti dan penyelenggaraan percuma yang merangkumi servis, peralatan dan caj buruh.
*Harga termasuk duti tanpa caj pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Galeri gambar Porsche 718 Cayman
Galeri gambar Porsche 718 Cayman S