Tahun 2016 adalah tempoh yang cukup mencabar untuk industri automotif apabila Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) 2016 jatuh sebanyak 13% berbanding 2015 kepada 580,124 unit. Buat buat pertama kali dalam tempoh enam tahun, TIV berada di bawah 600,000.
Honda Malaysia walau bagaimanapun berjaya mengharungi cabaran tersebut dan mencatat jualan memberangsangkan serta melepasi sasaran yang telah ditetapkan dengan jumlah jualan sebanyak 91,830 unit.
Pencapaian yang memberangsangkan itu diterjemahkan kepada 15.8% perkongsian pasaran yang merupakan perkongsian pasaran kedua tertinggi dalam operasi automobil Honda di peringkat global. Di Malaysia, peratusan itu membolehkan Honda mengekalkan kedudukan No. 1 dalam segmen Bukan Nasional untuk dua tahun berturut-turut.
Di samping itu, jualan keseluruhan Honda juga membantu meletakkan syarikat untuk berada di kedudukan kedua dalam TIV keseluruhan buat pertama kalinya di Malaysia.
Sasaran jualan 100,000 unit
Bagi tahun 2017, Honda Malaysia sekali lagi ingin mengulangi kejayaan tersebut dan berazam untuk meningkatkan lagi pencapaian.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, En. Katsuto Hayashi berkata, biarpun kebanyakan analisis menjangkakan perkembangan yang kurang baik, kami percaya industri automotif akan mempunyai perkembangan positif pada tahun 2017 dengan sentimen pasaran di rantau ini akan beransur-ansur pulih. Justeru, kami menjangkakan TIV untuk tahun 2017 akan mencecah 600,000 unit.
Dengan jangkaan TIV 600,000 unit, Honda Malaysia telah menetapkan sasaran sebanyak 100,000 unit pada tahun ini, meningkat 8% berbanding tahun lalu. Ini bagi mengekalkan posisinya selaku peneraju pasaran.
Pencapaian 2016
Pada tahun 2016, Honda Malaysia telah melancarkan dua model baharu. Civic serba baharu dan Accord baharu jelas menetapkan satu penanda aras baru menerusi pakej pemanduan, reka bentuk, keselamatan dan ciri-ciri termaju yang luar biasa yang mendahului kelasnya.
Sehingga kini, kedua-dua model itu mencatat jualan No. 1 dan menerajui segmen masing-masing.
Revolusi Civic Generasi ke-10 mencatatkan peningkatan yang mengagumkan sebanyak 165% berbanding jualan model sama pada tahun 2015. Ia menjadi peneraju segmen dengan penguasaan pasaran sebanyak 68% dalam tempoh enam bulan sejak dilancarkan.
BACA LAGI: Honda Civic Baharu Dilancarkan – RM113.8K Untuk 1.8 i-VTEC, RM127.8K Untuk 1.5 VTEC Turbo
Accord pula sentiasa menjadi model utama Honda Malaysia mengakhiri tahun lalu dengan mengungguli segmennya menerusi jualan 2,400 unit.
Empat model baharu untuk 2017
Untuk tahun 2017, Honda Malaysia bakal memperkenalkan 4 model baharu. Pada awal Januari lalu, BR-V serba baharu telah diperkenalkan ke dalam keluarga Honda untuk melengkapkan lagi tawaran kenderaan utiliti Honda, sekali gus menawarkan pilihan yang lebih luas kepada rakyat Malaysia.
Bagi rangkaian produk ini, CR-V menjadi perintis dalam segmen SUV apabila menawarkan satu pakej ruang dan versatiliti yang terbaik. HR-V yang dilancarkan pada 2015 mencetuskan revolusi dalam segmen Kenderaan Utiliti Sukan Kompak (SUV).
Tahun lepas, HR-V telah mencatatkan jualan hampir 25,000 unit dan menjadi model Honda yang kedua terlaris dalam jualan keseluruhan Honda tahun 2016.
BR-V serba baharu yang baru dilancarkan meneruskan momentum itu yang merancakkan kembali segmen kenderaan 7 tempat duduk.
BR-V terima sambutan luar biasa
BR-V mencatat penerimaan pasaran yang luar biasa dan memulakan tahun baru dengan sangat positif buat Honda Malaysia. Sebanyak 7,000 unit telah diterima dalam tempoh sebulan yang bersamaan dengan sasaran jualan selama lapan bulan model tersebut dan sasaran jualan untuk tahun pertama boleh dicapai.
Berdasarkan nisbah tempahan, 83% pelanggan memilih varian V yang berspesifikasi tinggi, sekali gus melepasi ekspektasi Honda Malaysia. Manakala 17% lagi adalah untuk varian E.
Selain fokus kepada produk yang memberi nilai terbaik kepada wang, Honda Malaysia turut memberi penekanan terhadap aspek kepuasan pelanggan.
BACA LAGI: (35 Foto) Galeri Gambar Honda BR-V dan Kit Modulo
Tempahan Honda City facelift
Honda Malaysia telah membuka tempahan untuk City baharu pada 1 Februari 2017. City merupakan peneraju segmen B apabila lebih 100,000 unit berjaya dijual sejak ia dilancarkan pada Mac 2014.
Honda City menawarkan ciri segmen C pada harga segmen B. City baharu diiktiraf sebagai Kenderaan Jimat Tenaga (EEV) dengan model facelift dilengkapi ciri-ciri dari C-segmen seperti Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA), butang penghidup enjin dengan sistem kemasukan pintar dan rim aloi dua tona akan ditawarkan sebagai ciri standard pada semua varian.
BACA LAGI: Honda City facelift kini boleh dilihat di Siri Jelajah Honda
BACA LAGI: Honda City facelift kini dilancarkan – Harga bermula dari RM78.3K hingga RM92K
BACA LAGI: Honda City facelift – Perbezaan di antara tiga varian S, E dan V
350,000 kenderaan terjual dalam tempoh lima tahun
Sejak lima tahun lalu, jualan Honda Malaysia telah mengalami pertumbuhan yang amat memberangsangkan dengan lebih 350,000 unit kenderaannya berjaya dijual.
Honda Malaysia merancang untuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur bagi memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman pemilikan yang terbaik dari segi khidmat jualan dan selepas jualan.
Dengan memberi keutamaan kepada kepuasan pelanggan, Honda Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan setiap rakyat Malaysia dapat merasai pengalaman Joy of Buying (keseronokan membeli).
Honda Malaysia yakin bahawa melalui strategi yang dirangka dan semangat jitu, sasaran jualan sebanyak 100,000 akan dapat dicapai dan terus memenuhi ekspektasi pasaran serta mencapai kepuasan pelanggan pada tahun 2017.