4,000 unit Honda BR-V telah ditempah – tersasar jauh dari jangkaan 800 unit sebulan!

Honda Malaysia telah mengumumkan Honda BR-V, crossover tujuh tempat duduk yang baru saja dilancarkan tiga minggu lepas menerima sebanyak empat ribu tempahan. Jumlah itu jauh melepasi sasaran Honda iaitu sebanyak 800 unit sebulan dan rekod tersebut adalah bersamaan dengan sasaran jualan selama lima bulan.

Jaminan penghantaran

Dengan angka tempahan tersebut, Honda memberi jaminan bahawa tempoh penghantaran kepada pelanggan tetap tidak berubah iaitu dalam masa satu hingga 2 bulan.

Jaminan tersebut adalah berdasarkan keupayaan kilang pemasangan Honda untuk melaras semula jadual produksi yang kini menggunakan dua baris pengeluaran.

Varian laku keras

Dari empat ribu tempahan yang diterima, 83 peratus adalah dari varian tertinggi V manakala baki 17 peratus untuk model E. Tempahan tinggi yang diterima adalah refleksi kepada tarikan BR-V buat pelanggan bandar dan luar bandar di seluruh Malaysia. Menariknya ciri-ciri praktikal dan harga mampu milik BR-V telah berjaya mempengaruhi ramai pelanggan yang belum pernah memiliki kenderaan Honda sebelum ini.

Ciri-ciri

BR-V ditawarkan dalam satu pakej lengkap merangkumi aspek keselamatan, jarak ketinggian dari tanah yang tinggi, ruang kabin luas dan prestasi terbaik.

Singkatan nama BR-V adalah merujuk kepada Bold Runabout Vehicle dan dibangunkan khas oleh Honda R&D Asia Pacific Co., Ltd. (HRAP) untuk pasaran Asia dan Oceania. BR-V dikuasakan oleh enjin 1.5L i-VTEC dan dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT).

Varian V tampil dengan lebih menarik menerusi pelbagai ciri premium untuk segmen B seperti Paparan Audio bersaiz 6.1” dan Pendingin Hawa Automatik, Butang Penghidup Enjin dan Kemasukan Pintar, kemasan kulit, stereng dibalut kulit dan butang kawalan audio.

Kerusi BR-V mempunyai pelbagai konfigurasi di mana tempat duduk barisan kedua boleh dilipat dan dinaikkan (One Touch Tilt & Tumble) menjadi pisahan 60:40 hanya melalui satu sentuhan manakala tempat duduk baris ketiga pula hadir dengan konfigurasi Tilt & Tumble 50:50. Terdapat 11 pemegang tempat minuman untuk memberi kemudahan kepada sebuah keluarga besar.

Saiz ruang kargo ialah 223 liter apabila semua tempat duduk dinaikkan dan meningkat kepada 539 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

Keselamatan

BR-V menerima skor lima bintang keselamatan oleh ASEAN NCAP dan dilengkapi dua Beg Udara Hadapan SRS, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Pendakian (HSA), Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD) dan ISO Fix.

BR-V mempunyai lima opsyen warna iaitu Merah (Dark Ruby Red Pearl), Kelabu (Modern Steel Metallic), Perak (Lunar Silver Metallic), Putih (Taffeta White) dan warna baharu, Perang (Golden Brown Metallic).

Waranti

Di samping harga BR-V yang menarik, Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dengan selang servis 10,000km di mana-mana 88 buah pengedar Honda di seluruh negara.

Varian dan harga

Honda Malaysia menawarkan BR-V dalam dua varian iaitu E dan V. Kedua-dua varian ini direka untuk memenuhi keperluan berbeza dalam kalangan pelanggan BR-V serba baharu.

Varian E ditawarkan pada harga RM85,800 (Harga Atas Jalan dengan Insurans), manakala varian V pula berharga RM92,800 (Harga Atas Jalan dengan Insurans) seunit.

Percuma lukisan oleh CEO Honda Malaysia

Sebagai penghargaan kepada respon yang memberangsangkan, Honda Malaysia akan mengedarkan kad ucapan hari lahir yang mempunyai lukisan Honda BR-V kepada semua pelanggan mereka. Menariknya kad itu dilukis sendiri oleh Encik Katsuto Hayashi, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia.

Baca lagi: (35 Foto) Galeri Gambar Honda BR-V dan Kit Modulo

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.