UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) ini telah menambah baik kelengkapan Toyota Corolla Altis dalam memberi lebih nilai kepada pelanggan. Penambah baikan ini selari dengan 50 tahun sejarah model itu dan sebagai falsafah kaizen (penambah baikan berterusan) yang diamalkan Toyota supaya setiap model baharu lebih baik sejak pengenalannya pada tahun 1960.
Varian Toyota Corolla Altis 2017 sama seperti sebelum ini iaitu 2.0V, 1.8G dan 1.8E. UMWT menawarkan dua warna baharu iaitu Phantom Brown Metallic dan Red Mica Metallic sebagai tambahan kepada empat warna sedia ada seperti Pearl White CS, Silver Metallic, Grey Metallic dan Attitude Black. Kesemua varian didatangkan dengan tona hitam untuk interior.
Baca: TOYOTA INNOVA BAHARU DILANCARKAN – RM109K Hingga RM126K
Baca: TOYOTA CAMRY 2017 – Kini Dengan 2 Varian Baharu dan Harga Lebih Rendah
Penambah baikan paling istimewa untuk Corolla Altis 2017 ialah 7 beg udara iaitu pada pemandu, penumpang, lutut pemandu, sisi dan tingkap. Tidak kurang elok ialah perkakasan Kawalan Penstabilan Kenderaan (VSC) pada kesemua varian Altis 2017 yang mana berfungsi dalam gelinciran terutama sekali sewaktu selekoh dan membantu sewaktu penukaran lorong secara mendadak apabila berlaku kecemasan atau mengelak dari kemalangan.
Melalui penambah baikan ini yang setara dengan kesemua varian di rantau ASEAN, Toyota menerima habuannya apabila dianugerahkan Rising Star Recognition Award daripada ASEAN NCAP baru-baru ini.
Kesemua varian Corolla Altis 2017 juga dilengkapi peringatan tali pinggang keledar pemandu dan penumpang serta pra tegangan dan pengehad bebanan, poin ISOFIX, sensor depan dan belakang, ABS dengan EBD dan BA. Corolla Altis dianugerahkan 5 bintang ASEAN NCAP dan mengikut Toyota adalah susulan struktur badan yang menjalani Global Outstanding Assessment (GOA).
Struktur badan Corolla Altis begitu tegar untuk melindungi penumpang sewaktu kemalangan dengan menyerap dan menyerakkan impak tenaga dari pelanggaran berdepan ke seluruh rangka badan seterusnya mengurangkan hentakan yang kuat kepada penumpang.
Juga baharu ialah cermin sisi Corolla Altis 2017 turut dipusing ke bawah secara automatik semasa mengundur yang dapat membantu pemandu untuk keluar parkir. UMWT turut menawarkan naik taraf sistem hiburan dan DVR untuk merakam pemanduan sewaktu pembelian Altis 2017.
Bahagian luaran turut menerima perubahan iaitu rekaan bampar depan dan belakang serta gril baharu. Kesemua varian juga dilengkapi lampu LED DRL supaya kenderaan lebih jelas dilihat.
Selari dengan model baharu UMWT, Corolla Altis 2017 didatangkan dengan waranti 5 tahun tanpa had batuan. Waranti sokongan penuh kilang ini boleh dipindahkan ke pemilik baharu di dalam tempoh masa tersebut.
Senarai harga Toyota Corolla Altis 2017 (di atas jalan) adalah seperti berikut:
Toyota Corolla Altis 2.0V – RM138,900.00
Toyota Corolla Altis 1.8G – RM123,900.00
Toyota Corolla Altis 1.8E – RM120,900.00