My Auto Fest 2016 berlangsung di dalam dewan dan suasana sederhana namun terdapat dua model kereta yang menjadi perhatian utama. Selain dari Honda Civic baharu, turut dipamerkan di sebelah ruang Honda ialah Proton Perdana baharu. Model itu ditutup kemas dengan selubung hitam namun Proton membuat sedikit selingan dengan mendedahkan bucu lampu hadapan dan belakang.
Di sebalik bungkusan itu, terserlah saiz Perdana yang panjang dan lebar menampakkan bentuk badan yang sporty dan eksekutif. Berbeza dengan Perdana semasa previu media, model yang dipamerkan kali ini hadir tanpa riasan dua tona pada kit badan dan dicat mengikut warna badan. Moden pada kelongsong lampu utama ialah nyalaan projektor Xenon dengan drl LED yang juga sama pada lampu belakang, kemas dengan pencahayaan LED. Kit badan penuh memberi indikasi bahawa model ini ialah versi 2.4 i-VTEC yang merupakan varian tertinggi. Sebuah lagi model ialah bersesaran 2.0 i-VTEC di mana kedua-dua versi dipadankan dengan transmisi automatik Honda lima kelajuan.
Model flagship Proton ini khabarnya bakal dilancarkan di dalam masa terdekat dengan harga di antara RM100 ribu hingga RM150 ribu. Proton Perdana berada di dalam segmen D iaitu yang bakal bersaing dengan kereta eksekutif seperti Honda Accord, Mazda6, Toyota Camry, Kia Optima K5, Hyundai Sonata dan Ford Mondeo.
Selain dari itu, hadir senyap tanpa hebahan besar ialah Proton Suprima Active Concept. Masih ingat Proton Iriz Active Concept susulan pelancaran Proton Iriz? Nampaknya Proton semakin serius dengan kenderaan gaya hidup aktif ini dengan membuat model susulan Active Concept. Menggunakan tema yang sama seperti Iriz Active Concept, badan kereta disalut warna kelabu dengan perincian jingga pada kit badan, rim dan kemasan interior. Suprima ini turut mempunyai ruang kelegaan bumi lebih tinggi dari model standard untuk menepati tema gaya hidup aktif. Adakah Proton bakal melancarkan segmen baharu yang belum diterokanya? Tidak mustahil. Model kereta lain yang menggunakan tema seperti ini ialah Volvo V40 Cross Country, Subaru XV dan Mercedes GLA.