Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd (ETCM) akan mula menerima tempahan bermula dari 13 Disember untuk Nissan X-Trail serba baharu pemasangan tempatan yang akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia. Nissan X-Trail serba baharu generasi ketiga itu melakukan debut di peringkat dunia pada acara Frankfurt Motor Show 2013, sebelum dilancarkan ke pasaran Jepun pada Januari 2014.
Kini menjadi salah sebuah model SUV terlaris di Jepun, Nissan X-Trail serba baharu sudah pun ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Filipina, Indonesia serta Thailand dan mula mencatat kejayaan yang memberangsangkan. Dengan rekaan berani dan bertenaga yang digabungkan bersama teknologi inovatif serta prestasi luar biasa, Nissan X-Trail serba baharu sememangnya sebuah SUV yang serba boleh untuk apa jua jenis cuaca.
Ketika mengumumkan ketibaan Nissan X-Trail serba baharu, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk, Tan Keng Meng berkata, “Sejak pelancaran globalnya pada awal tahun ini, Nissan telah menjual lebih 250,000 unit Nissan X-Trail serba baharu di seluruh dunia. Ia juga memenangi pelbagai anugerah di beberapa buah negara seperti Indonesia, Mexico dan UK. Dengan semua pencapaian ini, kami sangat teruja kerana dapat memperkenalkan salah sebuah SUV paling popular di dunia ke pasaran Malaysia. Kami juga yakin bahawa X-Trail akan menerajui segmennya di sini.”
Nissan X-Trail serba baharu menampilkan teknologi kawalan chasis termaju yang pertama seumpamanya di dunia, demi menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar dan menyeronokkan. Sistem Active Ride Control berfungsi mengurangkan pergerakan atau olengan tubuh kenderaan yang dirasai oleh pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek untuk meningkatkan keselesaan. Manakala sistem Active Engine Brake pula mengubah suai kuasa brek enjin untuk membantu pemandu mengurangkan kelajuan apabila membelok atau hendak memberhentikan kenderaan. Sebagai tambahan, sistem Active Trace Control – ‘pertama pada Nissan’ – berfungsi mengenakan tekanan brek kepada roda tertentu secara automatik untuk mengurangkan masalah understeer dan membantu pemandu mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh.
Nissan X-Trail serba baharu ditawarkan ke pasaran tempatan dalam dua varian, 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD. Varian tertinggi, 2.5L 4WD dikuasakan oleh unit enjin QR25DE-k2 dengan CVTC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 171PS @ 6,000rpm dan tork 233Nm @ 4,000rpm. Varian 2.0L 2WD pula dijana oleh enjin MR20DD bersama sistem pancitan terus bahan api dan Twin CVTC. Ia mampu menjana kuasa mencecah 144PS @ 6,000rpm dan tork 200Nm @ 4,400rpm. Kedua-dua varian ini dilengkapi kotak gear Xtronic CVT Generasi Seterusnya dengan mode manual 7 kelajuan serta sistem ECO mode untuk menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik, selain prestasi pemanduan lebih lancar dan berkuasa.
Varian 2.5L juga dilengkapi dengan sistem ALL MODE INTELLIGENT 4×4 (4×4-i) yang menawarkan pilihan di antara pacuan dua roda, Auto Mode atau Lock Mode untuk pacuan empat roda sepanjang masa.
Ciri-ciri lain yang memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada pelanggan ialah tempat duduk ‘Sifar Graviti’ yang membantu mengurangkan kepenatan serta sistem yang memudahkan urusan memarkir kenderaan iaitu 360° Around View Monitor, pertama dalam kelasnya.
Lima warna ditawarkan iaitu perak (Tungsten Silver), hijau zaitun (Titanium Olive), hitam (Diamond Black), biru (Graphite Blue) dan putih (Brilliant White). Nissan X-Trail serba baharu dijangka dijual pada harga bawah RM170,000 untuk varian 2.5L 4WD dan bawah RM150,000 untuk varian 2.0L 2WD.