Berita baik untuk penggemar kereta hybrid atau mereka yang mencari-cari MPV yang ekonomikal apabila Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) kini membuka tempahan untuk Nissan Serena S-Hybrid wajah baharu (facelift). Lebih manis model itu akan dipasang di dalam negara sempena kempen pemotongan cukai kenderaan cekap tenaga (EEV) seperti yang diumumkan di dalam Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014.
Model yang selama ini diimport masuk (CBU) di datangkan dengan dua versi iaitu Highway Star dan Premium Highway Star yang mana masing-masing akan dijual di bawah harga RM140 ribu dan RM150 ribu. Model ini juga didatangkan dengan kelengkapan seperti fasia depan dan kit badan baharu.
Varian Premium Highway Star dibezakan dengan Highway Star melalui skrin LCD bumbung bersaiz 10.1 inci, skrin navigator 6.5 inci dengan kamera undur, sambungan iPod, USB dan Bluetooth, spoiler bumbung, filem sekuriti V-Kool, visor pintu dan kerusi balutan kombinasi kulit.