Buat mereka yang tertanya-tanya mengenai Honda City 2014, tarikh pelancaran model baharu itu semakin dekat apabila Honda Malaysia kini membuka tempahan kepada orang ramai.
Honda City pertama kali diperkenalkan ke pasaran tempatan pada tahun 2003 dan telah menjadi salah satu model kegemaran rakyat Malaysia. Model generasi keempat itu menggunakan enjin 1.5l i-VTEC dan menariknya dipadankan dengan transmisi CVT yang merupakan salah satu siri teknologi Earth Dreams. Transmisi CVT pernah digunakan pada Honda City generasi kedua sebelum Honda kembali menggunakan transmisi automatik konvensional pada generasi ketiga. Transmisi CVT baharu itu dikatakan lebih jimat minyak dengan pecutan yang menyeronokkan. Dari segi keselamatan pula, varian premium City 2014 dilengkapkan dengan enam beg udara iaitu yang pertama di dalam segmennya selain sistem Vehicle Stability Assist.
Untuk tahun 2014, Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual sebanyak 76,000 kenderaan berbanding 51,550 pada tahun 2013 di mana pengeluar itu hanya ketinggalan 1.7% di belakang pendahulu pasaran segmen kereta penumpang bukan nasional. Beberapa perancangan telah dibuat untuk mencapai sasaran tahun ini antaranya memperkenalkan lima model yang terdiri dari model baharu, model generasi baharu (FMC) dan model wajah baharu (MMC). Salah satu model yang bakal diperkenalkan ialah CKD hibrid manakala Honda City 2014 adalah model pertama yang dijual di dalam barisan lima produk baharu tahun ini.
Klik untuk gambar Honda City 2014 dan Honda City Modulo 2014 (Thailand)
1 comment
Terbaik..ada promosi raya tak…masih blh uat tempahan..