Chana Era Star, Campervan Custom!

Chana Era Campervan 3 2013.01

Amboi, bukan main skema tajuk entri gua kali ini Patuh Kamus Dewan orang kata. Beberapa purnama sudah gua pernah paparkan berkenaan spesis kenderaan yang telah mengalami mutasi, daripada sebuah lori kecil  menjadi sebuah Campervan. Ianya telah dibuat secara dalaman (in house) oleh insan yang menaruh minat begitu mendalam terhadap aktiviti kembara sebegini. Lori Chana yang gua paparkan ini bukanlah yang pertama dan bukanlah yang terakhir hasil kerja tangan beliau. Kini beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya (eceh..ayat serupa Majalah3 pula gua rasa) terhadap kerja-kerja merestorasi semula mana-mana kenderaan yang sesuai untuk disumpah menjadi Campervan.

gt11

Sejujurnya, sewaktu kali pertama bertentang mata secara langsung dengannya, gua memang kagum di atas kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan. Untuk makluman semua, Campervan ini sememangnya telah menjalani kerja-kerja fabrikasi semula bagi membina bahagian belakang supaya fungsi asalnya bagi mengangkat muatan ringan dapat dijelmakan pula sebagai untuk mengangkut ahli keluarga bersaiz kecil (Dua dewasa + dua kanak-kanak) Iya, lori kecil ini sememangnya kecil. Tapi percayakah bahawasanya ruangan dalamannya mampu memuatkan empat tempat tidur dengan kadar keselesaannya bolehlah ditolak ansur. Tiga ruangan di bahagian belakang manakala satu ruangan tempat tidur turut ditempatkan di bahagian atas bumbung pemandu.

gt2

Di bahagian dalamannya juga dibina ruangan untuk membolehkan stok makanan dalam tin dapat disimpan dengan kemas sewaktu kegiatan kembara bersama ahli keluarga dijalankan. Satu ruangan khas juga telah dibina khusus untuk menempatkan alat penghawa dingin mudah alih bagi memastikan mimpi lena seluruh ahli keluarga tidak terganggu di malam hari. Manakala, alat untuk membekalkan kuasa tambahan selain daripada penggunaan sel bateri tambahan, (Campervan ini mempunyai sebuah unit bateri tambahan yang boleh digunakan sewaktu enjin dimatikan), sebuah soket turut ditempatkan di bahagian luar/ pintu masuk Campervan ini bagi menyalurkan kuasa elektrik tambahan sekaligus dapat menjimatkan penggunakan kuasa bateri simpanan tersebut.

Sebuah tandas bersaiz kapal terbang turut ditempatkan dibahagian belakang pemandu bagi memudahkan urusan sakit perut dapat diuruskan dengan pantas sewaktu bermalam di tapak perkhemahan. Cumanya untuk manusia bersaiz seperti gua ini barangkali tidak beberapa sesuai untuk menggunakannya. Leceh juga sebenarnya nak kena ganti pintu tandas terkopak nanti.  Memandangkan terdapatnya tandas, ini bermakna tangki simpanan air turut ditempatkan di dalam Campervan ini. Jadi, urusan membasuh periuk dan memasak bukanlah satu masalah yang besar.

gt3

Jika ada yang skeptikal tentang kuasa yang mampu dijana oleh Chana Era Star ini, usah khuatir kerana individu yang mengubahsuainya telah pun membuat pandu uji sendiri sehingga ke tanah tinggi Genting tanpa ada masalah besar. Masalah kecil gua tak pasti.  Jika ada yang bertanya cuba-cuba untuk merisik untuk membeli Chana Era, maaf kerana model ini hanyalah bersifat prototaip buat masa ini kerana urusan mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib belum mendapat kata putus. Berbalik kepada isu budaya Campervan ini di Malaysia, perjalanan untuk membudayakannya masih terlalu jauh. Jika hendak dibandingkan dengan New Zealand, mereka menjadikannya sebagai salah satu tarikan pelancong. Maka, gua rasa juga ianya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk menjelmakan Campervan ini sebagai salah satu tarikan pelancong ke negara kita suatu hari nanti. Langkah itu telah pun bermula sekarang. Kerana komuniti penggemar aktiviti sebegini telah mula menular sedikit demi sedikit. Cuma sedar dengan tidak sahaja.

-min-

Kredit : WingMotorhome

Silakan kongsi:

2 comments

    • Amar on 28/11/2013 at 5:13 PM
    • Reply

    salam .. bro, saya mmg lama dah mencari RV sebegini … tapi bagaimana dari sudut perundangan, adakah RV ini di bolehkan keujudan nya di Malaysia? kalau boleh, saya ada few lay out caravan… sebab benda ni praktikal utk family berkembara pd cuti sekolah ….

  1. Amar
    Kalau jenis yang custom made (daripada lori ditukarkan kepada kenderaan penumpang) masih belum mendapat kelulusan JPJ. Tetapi jika punya van penumpang bersaiz besar seperti Ford Transit misalannya boleh dibuat. Sila cari WingMotorhome di FB.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.